Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, December 1, 2009

Wanita tidak sedar jadi mangsa keganasan

Wanita tidak sedar jadi mangsa keganasan
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
JANGAN sesekali fikir keganasan terhadap wanita hanya berlaku apabila adanya tindakan fizikal seperti tamparan, tumbukan atau tendangan daripada lelaki sehingga menimbulkan kesan luka dan lebam di mana-mana bahagian badan.
Keganasan terhadap wanita juga berlaku melalui lima cara lain iaitu psikologi dan emosi, sosial, kewangan, seksual serta domestik.
Kebanyakan lelaki tidak menyedari perlakuan mereka mengugut, mencaci atau menengking wanita adalah salah satu bentuk keganasan yang disebut psikologi dan emosi.
Sikap ini akan membuatkan mangsa sentiasa berada dalam keadaan takut, hilang keyakinan dan mengehadkan kebebasan atau haknya untuk membuat pilihan sendiri.
Manakala, keganasan sosial berlaku apabila wanita dihalang bergaul atau ditakut-takutkan untuk bersosial dengan orang lain sehingga membuatkannya bergantung kepada pelaku.
Selain itu keganasan kewangan dikatakan wujud apabila wanita dihalang dan tidak dibenarkan bekerja, ditegah membelanjakan pendapatan untuk diri sendiri atau menyimpan wang gaji.
Dari segi keganasan seksual, ia timbul jika wanita diperlakukan seperti hamba seks ketika melakukan hubungan seks, kekasaran ke atas fizikal sehingga menimbulkan kesakitan atau dipaksa melakukan gaya seks membebankannya.
Ia juga boleh berlaku melalui perhubungan seks antara suami isteri, perbuatan rogol atau liwat.
Cara keganasan domestik adalah hampir sama dengan keganasan kewangan cuma bezanya lelaki terbabit akan bertindak menguasai diri, kehidupan sosial atau kewangan wanita.
Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan berkata, setiap hari 10 wanita menjadi mangsa dera di negara ini namun itu hanya kes yang dilaporkan kepada polis, jadi tidak diketahui jumlah sebenar yang kemungkinan jauh lebih tinggi.
"Kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, tempat awam, jalan raya dan dalam kenderaan.
"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan orang yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Memerangi Jenayah Keganasan Terhadap Wanita: Tindakan Segera Menyelamatkan Nyawa sempena Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2009 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, majlis itu dihadiri lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada ahli parlimen, pengerusi dan ahli Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK), pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta penuntut universiti.
Majlis itu bertujuan memberi penerangan mengenai akta yang melindungi wanita dan kanak-kanak dalam kes keganasan.
Pada masa yang sama ia juga diharap dapat meningkatkan pengetahuan wanita mengenai keganasan terhadap mereka, di samping menjelaskan puncanya serta cara menangani jenayah berkenaan.
Selain itu, ia bagi mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan peranan semua pihak dalam menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita.
Chin Lan berkata, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.
Gejala ini katanya, berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.
"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.
Kebiasaannya, wanita yang menunjukkan sikap terlalu bergantung kepada lelaki, tidak mempunyai pengetahuan berhubung jenayah keganasan, tidak melawan, terlalu mendengar kata dan cuai dengan persekitaran sering menjadi mangsa.
Malangnya menurut Chin Lan, banyak wanita sendiri yang tidak menyedari mereka menjadi mangsa kerana menganggap keganasan hanya berlaku dalam bentuk fizikal iaitu apabila dipukul atau dikasari.
Sedangkan hakikatnya, keganasan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penderaan dari segi emosi.
"Ada juga wanita yang menyedari mereka mangsa keganasan tetapi mendiamkan diri kerana takut, malu atau lebih memikirkan kepentingan anak. Lebih teruk ada yang tidak tahu wujudnya undang-undang khas untuk kesalahan ini.
"Keadaan ini memang menyedihkan dan sudah tiba masanya untuk wanita sendiri berubah serta mengambil tahu nasib diri mereka," katanya.
Bercerita pengalaman sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota polis dan pakar motivasi bagi mangsa jenayah, Chin Lan berkata, beliau sudah berurusan dengan banyak kes termasuk yang amat menyedihkan.
"Saya pernah berurusan dengan seorang suri rumah yang mengorbankan masanya hampir 30 tahun untuk menguruskan rumah tangga, melayan suami dan membesarkan anak-anak.
"Wanita ini adalah seorang isteri dan ibu yang sangat setia kepada keluarga sehingga tidak tahu bersosial bersama masyarakat atau rakan-rakan.
"Namun suaminya ingin berkahwin lain dan mahu memberinya pampasan kira-kira RM30,000. Cuba anda fikir, adakah jumlah itu berbaloi dengan pengorbanannya selama ini?
"Ada juga kes wanita yang berpuluh kali dipukul suaminya dan melaporkannya pada polis tetapi apabila diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan supaya dakwaan boleh dikenakan terhadap suaminya, dia tidak melakukannya kerana simpati dan akhirnya berbaik semula atas alasan anak-anak masih kecil,'' kata Chin Lan.
Menurut Chin Lan, wanita tidak seharusnya menjadikan sesuatu perkara terutama anak sebagai alasan untuk terus bersama pelaku kerana itu akan menyebabkan mereka terus menjadi mangsa.
"Sebenarnya negara mempunyai banyak akta membantu wanita yang dianiaya. Jadi jika keganasan wanita berlaku kepada anda, bertindaklah segera.
"Jika sekali kena, mungkin peluang masih boleh diberi kerana ia mungkin tidak disengajakan tetapi jika ia membabitkan keganasan serius atau untuk kali seterusnya, jauhkan diri dan tolong buat laporan polis kerana nyawa lebih berharga," katanya.
Ujarnya, mangsa adalah individu utama yang boleh membantu dirinya dan perlu bertanggungjawab dalam membantu polis menyelamatkan dirinya dan mengurangkan jenayah keganasan terhadap wanita yang semakin meningkat ketika ini.
Usaha membendung jenayah keganasan terhadap wanita, bukan bergantung kepada seorang individu, satu organisasi atau di bahu kerajaan tetapi perlu membabitkan kerjasama semua rakyat di negara ini.

--

No comments:

Post a Comment