Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, December 29, 2009

Apabila si Jahil berbicara tentang tauhid...

 


Berbicara tentang tauhid kepada Allah s.w.t. mestilah berpijak di atas nas bukan di atas dasar sentimen dan emosi seseorang. Tauhid ialah satu cabang yang penting dari ilmu aqidah di mana ianya membahaskan tentang keesaan Allah s.w.t. Perkataan tauhid berasal dari perkataan arab yang bermaksud menjadikan sesuatu itu satu. Maka tauhid bermaksud menjadikan Allah itu satu, atau mengesakan Allah s.w.t. Lawan kepada perkataan ini ialah syirik yang bermaksud menjadikan sesuatu yang lain sebagai sekutu bagi Allah.

Jika dibaca dan diteliti keseluruhan ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang tauhid maka kita akan dapati bahawa pengesaan kepada Allah s.w.t. hendaklah berlaku dalam tiga perkara berikut:

Pertama: Mengesakan Allah di dalam ‘Afa’lullah’ iaitu perbuatan Allah, di mana Allah sebagai pencipta, pentadbir dan pemberi rezeki. Maka pengesaan ini bermaksud hanya Allah sahajalah yang mencipta, mentadbir dan memberi rezeki. Inilah yang dinamakan Tauhid Rububiyyah.

Kedua: Mengesakan Allah di dalam ‘Afa’lul Ibad’ iaitu perbuatan seorang hamba. Perbuatan seorang hamba bererti ibadahnya kepada Allah s.w.t. Pengesaan ini bermaksud hanya Allah sahajalah tempat yang selayaknya untuk diibadahi dan disembah. Tauhid ini disebut sebagai Uluhiyyah.

Ketiga: Mengesakan Allah di dalam nama-nama dan sifat-sifatNya yang disebut Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat.

Tiada sesiapapun yang boleh menyangkal hakikat tiga bahagian ini. Sesiapa yang berbuat demikian, jelaslah bahawa dia seorang yang jahil tentang al-Quran dan sunnah atau pengikut hawa nafsu semata. Kita berasa hairan ada orang sehingga yang bergelar “DR” PhD dalam bidang agama pun mempersoalkan dalil terhadap 3 bahagian ini. Tidakkah anda membaca Al-Quran? Atau jika and baca mungkin anda tidak memahaminya sehinggakan anda boleh berkata tiada dalil terhadap 3 jenis tauhid ini?

Mereka yang jahil dan pengikut hawa nafsu ini keliru dan menyangka bahawasanya orang yang pertama yang melakukan pembahagian tauhid ini kepada 3 bahagian ialah Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. yang meninggal pada tahun 728 H. Lalu mereka menuduh syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. telah melakukan suatu bid’ah dalam agama Islam. Kesemua dakwaan ini tidak lain hanya menzahirkan kejahilan diri mereka sendiri yang sememangnya jahil.

Tetapi sebenarnya Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hanya menelusuri dan meneruskan kesinambungan jalan para ulamak sebelumnya yang hidup pada kurun yang awal di dalam membahagikan tauhid ini kepada 3 bahagian. Maka pembahagian ini hanya bertujuan memudahkan masyarakat awam mempelajari dan memahami aqidah tauhid mereka yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah.

Syeikh Abdul Razaq bin Abdul Muhsin al-Badr di dalam kitabnya “Al-Qaulu al-Sadid fi al-Raddi ‘ala man Ankara Taqsimi al-Tauhid” menyatakan, mereka yang mengingkari pembahagian tauhid ini dan mendakwa ianya baru muncul pada kurun ke lapan hijrah dan direka oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menunjukkan bahawa ceteknya ilmu dan kurangnya pengetahuan mereka terhadap kitab-kitab para ulamak yang terdahulu. Antara contoh ulamak yang awal yang mengisyaratkan pembahagian tauhid kepada 3 ini seperti yang dikemukakan oleh Syeikh Abdul Razaq al-Badr ialah:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Batthah al-‘Akbari yang meninggal pada tahun 387 H. Beliau menyatakan di dalam kitabnya “Al-Ibanah ‘An Syari’ati al-Firqati al-Najiyah wa Mujanabati al-Firaqi al-mazmumah”


Asas keimanan kepada Allah yang wajib dii’tiqadkan atau diimani oleh seorang hamba Allah ialah menetapkan 3 perkara.


 Pertama: Hendaklah seorang hamba itu beraqidah dengan rabbaniyyah Allah (iaitu beriman bahawa Allah itu pencipta, pemilik dan pentadbir alam ini), supaya dia dapat mengetahui di sana terdapat satu kumpulan yang dipanggil ahli Ta’thil yang mana mereka ini merupakan kumpulan yang menafikan kewujudan Pencipta kepada alam ini. (seperti atheis yang tidak mempercayai Tuhan).


 Kedua: Hendaklah seorang hamba itu beraqidah dengan Wahdaniyyah (keesaan) Allah. (iaitu hanya kepada Allah lah tempat diberikan segala bentuk ibadah), supaya dia dapat mengetahui adanya ahli syirik yang mengi’tiraf kewujudan Allah tetapi dalam masa yang sama mereka mempersekutukan Allah di dalam beribadah.


 Ketiga: Hendaklah seorang hamba itu beraqidah bahawa Allah s.w.t. itu tidak disifatkan dengan apa sahaja sifat-sifat kecuali sifat-sifat yang telah ditentukan kepada diriNya, seperti ilmu, kudrah, hikmah dan kesemua sifat yang telah ditetapkan oleh Allah sendiri di dalam kitabNya (al-Quran).

Perhatikan apa yang dijelaskan oleh Imam ini, amat jelas beliau mengisyaratkan kepada pembahagian 3 jenis tauhid ini.

Kedua: Al-Imam al-Hafiz Abu Abdillah Muhammad bin Ishak bin Yahya bin Mandah yang meninggal pada tahun 395 H. Di dalam kitabnya “Kitab al-Tauhid wa Makrifatu Asma’illah Azza wajalla wa Sifatihi ‘ala al-Ittifaq wa al-Tafarrud” beliau menyebutkan pembahagian tauhid kepada 3 bahagian ini dengan membentangkan dalil-dalil yang banyak daripada al-Quran dan sunnah.

Ketiga: Sebelum zaman dua orang imam yang telah disebutkan tadi, Al-Imam al-Qadhi Abu Yusuf Ya’akub bin Ibrahim Al-Khufi yang meninggal pada tahun 182 H juga telah mengisyaratkan kepada pembahagian tauhid yang tiga ini. Beliau merupakan anak murid kepada Al-Imam Abu Hanifah. Ini diriwayatkan oleh Al-Imam Ibn Mandah di dalam kitabnya “kitab al-Tauhid” juga diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Hafiz Ismail al-Taimiy al-Asbahani meninggal tahun 535 H dalam kitabnya “Al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah wa Syarh al-Tauhid wa Mazhabi Ahli Sunnah”.

Bahkan al-Imam Abu Hanifah (150H) sendiri menyebut secara tidak langsung berkenaan pembahagian ini di dalam kitabnya Fiqh al-Absat. Begitu juga apa yang diisyaratkan oleh Al-Imam Abu Ja’far al-Thohawi (321H) di dalam matan kitab aqidahnya yang masyhur al- Thohawiyyah

Ketiga-tiga imam yang disebutkan tadi semuanya mati sebelum Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. lagi pada kurun ke dua, tiga dan seterusnya. Semuanya dengan jelas menyebutkan pembahagian tauhid yang tiga ini rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa al-Sifat. Begitulah zaman demi zaman ahli sunnah membincangkan tauhid di atas pembahagian ini, dan tiada khilaf dikalangan mereka dan tidak ada sesiapapun yang mengingkarinya melainkan dia ahli bid’ah dan pengikut hawa nafsu.

Adakah mereka yang mengingkari pembahagian ini akan menyatakan imam-imam yang disebutkan tadi pengikut Ibn Taimiyyah, sedangkan Ibn Taimiyyah ketika itu belum wujud lagi? atau adakah mengikut ajaran “wahabi yang sesat” (menurut fahaman mereka), sedangkan Muhammad Abdul Wahab tidak dilahirkan lagi? Bercakap biarlah atas dasar ilmu bukan hawa nafsu semata-mata.
Posted by Abu syu'aib at 8:26 AM 2 comments


No comments:

Post a Comment