Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Sunday, March 30, 2014

Jangan beri gambaran salah pada Nabi

    Dr Mohd Asri Zainul Abidin
    12:19PM Okt 5 2012

   

Ramai orang Muslim sayangkan Nabi Muhammad SAW. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang dari beberapa sudut.

Kadang-kala ia datang dari musuh-musuh, kadang-kala ia datang dari umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang baginda.

Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi SAW.

Palsu dan cacat

Umat yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu mengenai Nabi SAW lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda.

Mereka inilah yang Nabi SAW sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka".

Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka.

Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi SAW digambarkan bagaikan seorang ahli politik seperti mereka.

Sifat-sifat indah baginda dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi SAW seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara.

Sementara yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan baginda seakan sibuk untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang masa.

Bagi yang berperwatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi SAW itu keras sepertinya.

Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Rasulullah SAW itu sentiasa tewas dan mengalah.

Adapun yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi SAW yang seakan mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh kononnya.

Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau batasan Islam.

Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi SAW seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai.

Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida' ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi SAW itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu.

Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.

Hidup Nabi SAW bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.

Keindahan peribadi baginda

Dalam catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi Nabi SAW untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil dari riwayat yang sahih.

Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah.

Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa.

Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang.

Apabila baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi.

Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: "Sejak aku menjadi muslim, tidak pernah Rasulullah SAw berjumpa denganku melainkan senyum padaku." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata ‘Abdullah bin al-Harith: "Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah SAW." (Riwayat al-Tirmizi, hadis sahih)

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi SAW itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut:

"Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu", tetapi baginda menyebut: "Mengapa ada pihak yang berkata sebegini." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Kehalusan budi

Kata Anas bin Malik: "Aku berkhidmat kepada Nabi SAW sepuluh tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘Ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: 'Mengapa engkau buat begitu?'. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: "Mengapa engkau tidak buat?" (Riwayat al-Tirmizi, sahih)

Rasulullah SAW seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak' apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:

"Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang." (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida' (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda.

Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.

Nabi SAW itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang masalah mereka.

Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat.

Baginda bersabda kepada tuannya: "Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya." (Riwayat Abu Daud, sahih).

Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.

Nabi SAW seorang yang tawaduk (rendah diri), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka.
Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya.

Baginda pernah bersabda: "Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima." (Riwayat al-Bukhari)

Ini sehingga baginda pernah diracun oleh wanita Yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.

Baginda juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.

Banyak lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China ataupun India.

Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.

Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya.

Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-Muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN

*ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN
*Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai *facebook
DrMAZA.com*dan
*twitter realDrMAZA *)

Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah
agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari
mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang
disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari
segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang
lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun
semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan
agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.

Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat
Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang
terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis
sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah
Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat
membezakan antara israiliyyat.

*Cakap Orang Tua Tak Semua Betul*

Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi
yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia
adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan
juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya
tidak dibantah. *“Orang tua selalu betul”*. Hari ini barangkali tidak.
Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap
‘ketinggalan bas’.

Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah.
Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan
ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘*tuhan*’ yang
tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan
Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘*mandi safar*’ itu syirik, namun
oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘*ustaz*’, maka sekian lama
kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala
bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas.
Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’*francais*’ oleh
yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘*
sewaktu*‘ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat
kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus.
Generasi baru sudah mula celik.

*Sains Menolak Dongeng*

Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas.
Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan
berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula
mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam
masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di
masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa.
Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi
diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah
itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘*
kancil*’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan
seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.

Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh
bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan
berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini,
generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita
melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk
memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej
dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak
sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini.
Dahulu barangkali seorang ‘*ustaz*’ boleh bercerita dengan bebas jampi
penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu
dipertikaikan.

Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai
bahawa: *“Sesungguhnya
bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor
lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu
tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”*

Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini
adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika
mengulas riwayat ini:

“Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan
perkara-perkara merepek ini”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif,
m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah)

Kata Abu Syahbah :

“Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah,
Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah:
Maktabah al-Sunnah)

 Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka
menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada
atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini
adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi
ini terapung-apung di angkasa.

*Fokus Tajdid*

Kita menyeru kepada *tajdid *(pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita
katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan
antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa
mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti
kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak
menolak bentuk-bentuk *khurafat*.

Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan
antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah
al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan
kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan
fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya
iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi :

“Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari
kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam
al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi
metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka
telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada
berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak
lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada
sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan
kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas
al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)

 Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia
terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang
telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak
khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya
Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun
yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang
tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh
kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di
kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang
berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan
yang merosakkan agama.

Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan
meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.
Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada
inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah
lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian
besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran
hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah :

(maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat
kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada
Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya
Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)

Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat
dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang
Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman
yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya.
Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang
diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang
tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut.
Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat.
Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain
dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba
abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya
tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’
Qasas al-Sabiqin, 3/150)

Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada
tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu
pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada
perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk
pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa
Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah
telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa
Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan
seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur
kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu
sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain:

“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan
berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak
mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan
cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau
bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil,
menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap
pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak
melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan
kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan
kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran,
pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang
terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan
cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.

Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan
cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi
kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method
al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka
sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak
sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat
lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan
al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan
menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini
dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan
mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari
sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari
manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”.
(Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s.
85, Jordan: Maktabah al-Manar)

Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru.
Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim
membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa
mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu
memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi
memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika
waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang
termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah,
tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan
tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan
wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.

*Mengelirukan Wajah Islam*

Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti
kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam
mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang
dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu
menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar
sesetengah ‘*ustaz*’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000
tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji
umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.
Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!!
Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat.
Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia
dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan
Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau
al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:

“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di
medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk
dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas
di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba
menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan
mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka
memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak
sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum
muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah
al-Risalah).

Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru.
Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen

I Love Rasulullah SAW

I Love Rasulullah SAW

BIODATA ASAS RASULULLAH SAW
·         Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
·         Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
·         Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
·         Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
·         Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
·         Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa   Rasulullah SAW).
·         Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
·         Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.    Suaminya bernama Abu Kabsyah). 

USIA 5 TAHUN
·         Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
·         Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak diantara Makkah dan Madinah).
·         Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
·         Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
·         Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
·         Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
·         Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu   ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
·         Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ , jilid1, halaman 184-187   menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun.
·         Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
·         Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
·         Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
·         Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
·         Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
·         Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
·         Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
·         Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
·         Menerima wahyu di gua Hira ‘ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

          [Rasulullah contoh terbaik sepanjang zaman]




Cop Mohor Rasulullah s.a.w

USIA 53 TAHUN
·         Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
·         Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
·         Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
·         Khadijah Binti Khuwailid.
·         Saudah Binti Zam’ah.
·         Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
·         Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
·         Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
·         Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
·         Zainab Binti Jahsy.
·         Maimunah Binti Harith.
·         Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
·         Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1.    Qasim
2.    Abdullah
3.    Ibrahim
4.    Zainab
5.    Ruqaiyah
6.    Ummi Kalthum
7.    Fatimah Al-Zahra ‘

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
·         Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin                     Habbasy.
·         Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

IBU SUSUAN
1.    Thuwaibah Hamzah
2.    Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN
1.    Halimah Al-Saidiyyah
2.    Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
3.    Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
4.    Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
5.    ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
1.    Al-Harith
2.    Muqawwam
3.    Zubair
4.    Hamzah ***
5.    Al-Abbas ***
6.    Abu Talib
7.    Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8.    Abdul Ka ‘ bah
9.    Hijl
10.   Dhirar
11.   Umaimah
12.   Al-Bidha (Ummu Hakim)
13.   Atiqah ##
14.   Arwa ##
15.   Umaimah
16.   Barrah
17.   Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
      *** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Mari kita hayati Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) ini :
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Nabi Muhammad SAW – Manusia agong

NABI MUHAMMAD S.A.W. secara lahiriahnya, begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

·         Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw.
·         Aku melihat cahaya dari lidahnya.
·         Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
·         Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
·         Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
·         Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
·         Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
·         Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
·         Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
·         Wajahnya seperti bulan purnama.
·         Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
·         Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
·         Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
·         Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
·         Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
·         Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
·         Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
·         Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
·         Janggutnya penuh dan tebal menawan.
·         Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
·         Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
·         Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
·         Rambutnya sedikit ikal.
·         Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
·         Rambutnya terbelah di tengah.
·         Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
·         Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
·         Seimbang antara kedua bahunya.
·         Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik..
·         Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
·         Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
·         Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
·         Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
·         Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
·         Warna putihnya lebih banyak.
·         Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
·         Warna kulitnya putih tapi sihat.
·         Kulitnya putih lagi bercahaya.
·         Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
·         Badannya tidak gemuk.
·         Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
·         Perutnya tidak buncit.
·         Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULAN

Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia. Kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan. Banyakkan berselawat ke atas baginda SAW. Semoga baginda memberikan syafa’atnya kepada kita semua di akhirat kelak, insyaAllah.

**Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan RasulNya mencintai kita kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin…

Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak. **

Sekian.

__._,_.___