Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, November 3, 2009

Transkrip Perbahasan Bajet 2010 0leh Dato Seri Anwar Ibrahim.

Berikut adalah Teks Perbahasan Bajet 2010 oleh Dato Seri Anwar Ibrahim diParlimen pada 26 Oktober 2009. Paparan ini dipetik dari Hansard Parlimen Malaysia

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah bahawa rang undang-undang bernama suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2010 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibacakan kali yang kedua sekarang dan masalah bahawa usul di atas nama Yang Berhormat Menteri Kewangan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat ini diedarkan kepada Jawatankuasa
sebuah-buah Majlis sekarang. Kedua-dua masalah tersebut terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat Permatang Pauh.

11.33 pg.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucap terima kasih atas kesempatan saya turut serta dalam perbahasan ini. Hari Jumaat yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2010 bertemakan Bajet Berkebajikan Rakyat.

Izinkan saya untuk meminta Dewan merenung semula ucapan bajet dan belanjawan sebelumnya. Semuanya menjanjikan sesuatu yang lebih baik dari sudut kebijakan ekonomi dan langkah-langkah fiskal yang boleh membantu untuk menjana pertumbuhan yang lebih meyakinkan. Apakah yang berbeza daripada ucapan belanjawan Yang Berhormat Menteri Kewangan tahun ini dengan ucapan belanjawan tiga tahun, lima tahun, enam tahun yang lalu?

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Dari segi kerangka kebijakan ekonomi dan langkah fiskal, kita tidak lihat banyak pembaharuan. Ada beberapa kenyataan daripada Menteri Kewangan yang menjurus ke arah mengenal pasti permasalahan besar yang dihadapi oleh negara, khususnya dalam ekonomi dan beliau menyebut di antara lain bahawa dengan langkah-langkah ini diharapkan awan mendung boleh berarak, ekonomi yang mungkin merudum boleh dapat disekat dan diangkat semula. Kenyataan itu bunyinya meyakinkan, tetapi yang saya hendak manfaatkan waktu di sini ialah menanyakan apakah langkah-langkah yang diambil boleh dikatakan cukup meyakinkan untuk memacu pertumbuhan dan menyelamatkan negara daripada arus yang ternyata mundur?

Sebab itu saya minta rakan-rakan Ahli Yang Berhormat untuk melihat ucapan bajet ini berbanding dengan belanjawan beberapa tahun yang lalu. Jika kita lakukan yang sedemikian, selalunya kebijakan ekonomi dan langkah fiskal yang diumumkan itu mengenal pasti permasalahan global, regional, beberapa masalah yang dihadapi dalam negara dan langkahlangkah yang boleh membantu mengangkat semula daya tahan dan upaya saing negara kita.

Walau bagaimanapun, sekiranya kita lihat permasalahan ini menjurus kepada soal pengurusan, soal kesediaan pimpinan negara mengambil langkah berani melonjak dari batas yang ada sekarang yang nyata menyebabkan kita mengalami kebocoran, ketirisan yang dahsyat dan kalah dari sudut persaingan dengan negara-negara berkembang yang lain termasuk negaranegara jiran.

Saya akan kemukakan angka dan data bagi membuktikan betapa dalam beberapa aspek persaingan ekonomi, kita mulai tewas dengan negara-negara selain daripada Singapura, Indonesia, Vietnam di rantau ini.

Umpamanya, kita masih di tahap lama dalam menangani masalah percukaian. Saya akui dan tentunya diterima baik apabila Menteri Kewangan memutuskan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu daripada 27% kepada 26% dengan maksud kadar cukai pendapatan itu kekal kompetitif. Dalam beberapa aspek kita setuju pengurangan cukai itu akan membolehkan negara lebih produktif.

Saya masih ingat tatkala mengusulkan penurunan kadar cukai dahulu, saya meminjam pendapat Abd al-Rahman ibn Khaldun dan juga Wang Anshi yang menyatakan sebaik sahaja rakyat tidak dibebankan dengan kadar cukai yang tinggi, selalunya ia boleh membantu menambah produktiviti. Akan tetapi, soalnya dalam merangka ini, mengapa tidak boleh kita fikirkan bahawa sistem percukaian kita itu sudah dianggap sedikit usang? Mengapa tidak boleh kita usulkan supaya dilihat semula beberapa aspek?

Umpamanya, kadar maksimum untuk menetapkan percukaian ini adalah RM100,000. Kalau RM100,000 itu sekarang tahun 2009, itu pendapatan golongan menengah atau menengah atas, tetapi kadar itu sama dengan orang yang pendapatannya RM1 juta, RM10 juta atau RM100 juta setahun.

Apakah tidak boleh kita perkenalkan satu sistem percukaian yang agak sedikit progresif yang disebut progressive taxation? Tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah, kurangkan beban kepada kelas menengah dan berikan sedikit dorongan kepada golongan yang kaya-raya, pendapatannya ratusan juta ringgit setahun atau komisennya ratusan juta ringgit untuk satu kontrak untuk dikenakan bayaran progressive taxation ini.

Jangan samakan golongan menengah yang punyai pendapatan RM100 ribu dengan yang mempunyai pendapatan RM10 juta setahun. Ini dalam sistem 1Malaysia sekarang ini. Tidak ada perbezaan untuk mengkategorikan golongan berpendapatan jauh lebih tinggi sehingga sekarang ini dianggap satu sistem percukaian yang agak konservatif dan agak terkebelakang.

Kedua, apabila kita turunkan cukai pendapatan, kemudian kita bagi pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran Internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya yang saya anggap munasabah. Cuma hasil kepada rakyat, nikmat kepada rakyat dari Perlis sampai ke Sabah berapa?

Umumnya dari potongan ini, RM500 juta maknanya 20 juta atau mungkin 15 juta rakyat dapat habuan masing-masing, diumumkan sedikit sebanyaklah 30 skop biasiswa 1Malaysia, kedai runcit 1Malaysia, klinik desa 1Malaysia, kedai gunting 1Malaysia dan mungkin juga doktor pakar mata 1Malaysia. Mengingatkan nasib Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Baik, tetapi soalnya dalam pada memberikan faedah begitu sekali gus dikenakan caj perkhidmatan untuk kad kredit utama RM50 dan RM25 untuk kad tambahan yang terpaksa dibayar oleh jutaan orang dan pendapatannya RM400 juta. Jadi kong kali kong lah diambil di sini kemudian ditambah di situ.

Satu perkara lain yang saya sebut dalam progressive tax session ini ialah yang diumumkan iaitu cukai keuntungan hartanah sebanyak 5% itu diperkenalkan semula. Baik, kita tidak ada halangan dan saya kira untuk memperoleh pendapatan, ini dianggap suatu keputusan yang boleh diterima tetapi soalnya mengapa orang yang jual rumah harganya RM30,000 disamakan dengan orang yang untung apabila jual rumah atau hartanya RM30 juta? Ini sebabnya kita sebut, harus ada keberanian Perdana Menteri 1Malaysia ini untuk melihat semula konsep percukaian yang sudah ketinggalan zaman, tidak boleh. Orang yang jual rumah RM30,000 untungnya sedikit, 5% dan disamakan dengan orang yang berpendapatan tinggi.

Jadi ternyata kita memilih satu sistem percukaian yang agak keterlaluan mendukung golongan konglomerat dan tauke-tauke kaya dan tidak mengambil kira nasib golongan menengah yang memerlukan. Inilah sebabnya apabila kita dengar bunyi kerangka itu cukup meyakinkan dan beberapa langkah itu boleh diterima tetapi dari segi keseluruhannya;

panjanglah rumput di permatang,

disabit orang di Indera giri,

ku sangka panas sampai ke petang,

kiranya hujan di tengah hari. [Tepuk]

Apabila kita lihat secara terperinci ini sama dengan di antara penyair yang saya minati W.B. Yeats; “Things falls apart, the centre cannot hold”, termasuk Sabah dan Sarawak. Jadi sebab itu kita harus cari jalan melihat apakah punca masalah-masalah sekarang.

Saya sebut tadi beberapa kemudahan kecil yang diberikan oleh Menteri Kewangan yang tentunya diterima baik oleh rakyat. Akan tetapi ini sahaja yang dibesarkan dan dihebahkan oleh media yang dikuasai sepenuhnya. Sempat saya bisik kepada Menteri Penerangan yang nampaknya cukup gigih mempertahankan televisyen sebagai alat propaganda tulen menyebabkan rakyat tuli, tidak boleh berfikir.

Saya ingin memberi contoh betul, subsidi kepada rakyat ditambah kecil-kecilan tetapi jangan lupa subsidi kepada tauke-tauke besar dan syarikat-syarikat besar melambung tinggi naiknya. Ratusan juta ringgit, RM400 juta dibahagi kepada 20 juta rakyat, itu dijadikan propaganda besar-besaran Yang Berhormat Kalabakan.

Akan tetapi apabila baca laporan Petronas yang terakhir disebut konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008 bertambah kepada RM22 bilion tahun 2009 tetapi siapa pemilik IPP, itu kroni dan sahabat handai pimpinan-pimpinan kanan negara kita. Apakah ada kesediaan untuk melihat semula perjanjian IPP itu?

Heboh sebentar terutama apabila selepas debat minyak saya dengan bekas Menteri Penerangan kemudian lupa sama sekali. Kita tidak mampu, tidak bersedia dan tidak ada kesediaan menganjak keberanian untuk berdepan dengan tauke-tauke kaya dan mengatakan sila runding semula supaya rakyat jangan dibebankan, subsidi kepada kamu yang mengaut untung berbilion ringgit setahun boleh dikurangkan supaya rakyat tidak dibebankan.

Tuan Yang di-Pertua, ini contoh, tidak kira lagi soal pengurusan kerajaan. Sebab itu saya meminta dan mendesak kerajaan untuk memastikan ekonomi kita dapat dijana pertumbuhannya, dipacu dalam kadar yang lebih pantas dan meyakinkan supaya melihat semula soal pengurusan ini kerana ini basic.

Kita boleh sebut RM1 bilion untuk kementerian ini, RM14 bilion untuk kementerian berkenaan, baik tetapi kita juga tahu berbelas bilion dalam kes PKFZ, kita tahu apa yang berlaku pada Perwaja, kita tahu apa yang berlaku komisen Scorpene, komisen Sukhoi, kebajikan siapa yang diutamakan? Kebajikan orang yang mengambil komisen dari Eurocopter atau kebajikan rakyat di bawah termasuk anggota polis dan tentera biasa.

Menteri Kewangan dengan agak pintar cuba menjawab isu defisit. Tuan Yang di-Pertua, defisit ini bukan masalah per se. Dalam teori ekonomi, menjana pertumbuhan keutamaan, mengagihkan kekayaan keutamaan. Defisit itu ikut kalanya, ada kalanya diperlukan maka defisit. Maknanya kalau kita catat defisit untuk beberapa ketika kemudian kita boleh imbangkan semula, itu dikira boleh diterima. Seluruh pakar ekonomi sekarang ini tidak memilih untuk mengambil pendekatan Doctrinaire, Hayek atau Friedman kerana dianggap Milton Friedman meninggal dunia umpamanya 2006 tidak salah saya disebutkan end of an error tetapi pengaruhnya itu berterusan tetapi tidak tepat kerana pendekatan yang ekstrem dari sudut ekonomi kapitalis itu dianggap tempang.

Akan tetapi soalnya sekarang yang ditekankan di sini ialah defisit yang berterusan. Sebab itu saya minta Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk rakan-rakan di sebelah Barisan Nasional melihat semula, membaca jaminan Menteri-menteri Kewangan tiga tahun, lima tahun yang lalu bahawa defisit kita akan mula turun dan dalam beberapa tahun ini akan terus terkawal tetapi defisit kita terus membengkak.

Soalnya sekarang, saya katakan sebagai prinsipnya defisit itu bukan problematic. Problematicnya itu ialah apakah peruntukan defisit itu digunakan untuk apa? Kalau defisit itu membengkak, digunakan seperti mana yang cuba dipertahankan oleh Menteri sebentar tadi untuk membiayai RM1 bilion 1Malaysia Formula 1, bengkak defisit ini memang bengkak menanah.

Kalau defisit itu digunakan untuk mikro kredit untuk rakyat. Digunakan untuk meningkatkan mutu pendidikan. Meningkat usaha melatih rakyat dalam bidang kemahiran dan kepakaran. Itu boleh diterima. Akan tetapi RM1 bilion untuk satu projek golongan kaya dan elit kemudian dipertahankan. Ini untuk menjana pertumbuhan ini saya rasa sukar diterima.

Ini problematicnya. Tidak ada kesediaan untuk membawa perubahan kerana jika kita lihat di Negara China, dan saya sebut dalam perbahasan pakej rangsangan yang lalu, mengapa dapat dijana pertumbuhan kerana pakej rangsangan itu ditumpukan hampir keseluruhannya untuk infrastruktur bandar, desa, dan kawasan pedalaman. Dipastikan setiap wang, setiap dana untuk sedemikian. Dihentikan wang pakej rangsangan itu untuk projek yang dianggap tidak menjana pertumbuhan, yang dianggap mega atau membanggakan. Kita di sebaliknya.

Oleh yang demikian, saya pohon Tuan Yang di-Pertua, kita perhatikan isu-isu ini supaya kita dapat melihat maksud perubahan atau islah itu. Ia tidak boleh lari daripada isu good governance, pengurusan dan pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab. Kita lihat di antara lain kalau dalam tradisi Islam bagaimana tafsir al-Kabir

melanjutkan penjelasan dengan mempertanggungjawabkan pemerintah dan kerajaan melakukan usaha, islah mastata’tum untuk mencegah kemudaratan dan membawa kebaikan.

Para Mufasirin seperti Imam Fakhrurrazi dan juga Ibnu Khathir yang banyak digunakan di pondok-pondok di negara kita, bersetuju bahawa di antara pengertian islah ialah memenangkan keadilan. Memastikan pengurusan itu benar-benar adil kepada rakyat dan mengalahkan kerosakan ‘fasad’, rasuah, penyelewengan dan kezaliman. Ibnu Khaldun, ilmuwan Abad ke-14 yang telah disentuh tadi dalam Wajh al-Hikmah menekankan peranan kerajaan yang harus mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan menekankan prinsip kejujuran dan amanah sebagai yang utama.

Apabila kita bangkitkan defisit, sekali lagi saya hendak sebut. Tidak perlu kita jawab bahawa kita menentang deficit per se yang kita pertikai defisit itu tidak boleh berterusan lebih dari satu dasawarsa. Satu dekad.

Keduanya dalam keadaan negara menanggung beban hutang dan defisit yang membengkak, maka perbelanjaan itu harus lebih bertanggungjawab. Kita lihat umpamanya hutang negara 2008 meningkat 18.3% daripada RM3.6 bilion kepada RM362.5 bilion tahun 2009. Sejak 2006 hutang negara meningkat 49.7%. Hutang negara dengan KDNK meningkat 41.5% tahun 2008 kepada 52.4% tahun 2009. Ini akan menjejaskan kredit rating mata wang negara dan sekarang ternyata seperti yang tercatat di dalam Fitch Rating negara dari A+ ke A awal tahun ini.

Defisit ini dan hutang berpunca dari ketirisan yang besar dan keutamaan yang salah. Saya tidak mahu menyentuh contoh-contoh yang lain kerana saya percaya rakan-rakan Yang Berhormat akan bawa, tetapi rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dari Terengganu lebih

faham dengan Monsoon Cup. Itu pun untuk pelancongan. Membina stadium tetapi roboh. Menganjurkan Monsoon Cup RM300 juta, tetapi untungnya beberapa kerat yang ada bukan Cup, yang dapat Monsoon. [Ketawa]

Sebab itu dalam teori ekonomi yang kita belajar dahulu termasuk rakan saya dari Pasir Salak. Kita bezakan di antara ketelusan ‘transparency’ ini dengan ‘parasite’ dalam system ekonomi. Apa yang disebut oleh Yoshihara Kunio, ersatz capitalism. Orang yang tidak banyak kerja, yang tidak ada kepintaran dan tidak ada kemahiran, dia gunakan kedudukannya dan kita sebut ini kononnya dasar bumiputera.

Saya hujah, bantah sekeras-kerasnya kerana bumiputera umum di bawah tidak dapat peluang, hanya beberapa kerat bumiputera yang terpilih tanpa usaha gigih, tanpa keupayaan, kepintaran tetapi mendapat habuan yang besar, ratusan juta, malah bilion ringgit kerana kerja mereka itu ersatz capitalism. Ia istilah yang dianggap lembut maksudnya parasites. [Tepuk] Jadi, sebab itu saya melihat dalam beberapa hujah Menteri Kewangan yang memberikan gambaran tentang permasalahan soal defisit disentuh, rasuah, dan beberapa langkah diambil. Akan tetapi kita ingin menegaskan bahawa langkah itu harus lebih berani.

Berikutnya ialah ketergantungan kepada pentadbiran industri petroleum negara.

Tuan Yang di-Pertua sedia maklum, di antara kritikan yang paling tajam terhadap negara-negara Arab terutama yang masih mundur walaupun kaya dengan hasil mahsul. Negara Arab tidak termasuk Kota Tinggi yang Arab tulen. [Ketawa] Hasil mahsul yang besar akibat minyak dan gas dan saya sebut itu sebab saya tengok dia mengangguk setiap kali saya sebut Arab. [Ketawa]

Kritikan pakar ekonomi ialah dana itu tidak dimanfaatkan dalam bidang pendidikan, ekonomi, infrastruktur dan kebajikan rakyat. Bila ini berlaku, beberapa negara Arab yang pendapatannya sudah trilion Dolar akan tetapi competitivenessnya, kemajuannya itu masih di tahap lama.

Sebab itu, Malaysia harus belajar daripada pengalaman ini. Tahun 2008, kerajaan memperuntukkan RM177 bilion, RM74 bilion atau 42% disumbangkan oleh Petronas. Ini tidak termasuk dari hasil syarikat industri petroleum yang lain. Maknanya mencecah lebih daripada 50%. Bayaran dibuat oleh Petronas kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009 sedangkan rizab petroleum dan gas tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat tiga kali ganda dalam tempoh yang sama.

Jadi, ketergantungan kepada Petronas itu ada manfaat sementara kerana kita mempunyai dana akan tetapi ada bahayanya jangka panjang. Oleh sebab pendapatan bertambah kita mengusulkan supaya kerajaan memikirkan mencari langkah supaya pelaburan itu dapat dimanfaatkan, supaya ada anjakan daripada apa yang berlaku sekarang.

Tahun 2006, pecahan pungutan cukai langsung kerajaan adalah nisbah 46% cukai syarikat : 32% cukai petroleum : 15% cukai individu. Ini tidak dicerakinkan dalampenjelasan Menteri Kewangan untuk 2010, tetapi tentulah mengikut perkiraan kita cukai petroleum pastinya melebihi sumbangan-sumbangan cukai syarikat.

Sebab itu, untuk maksud ini saya ulangi pandangan awal saya tadi supaya jangan sistem cukai membebankan kelas menengah. Kelas menengah sekarang bertambah, sistem cukai patut cukai, kenakan bayaran kepada kelas menengah tetapi tidak harus membebankan mereka, meringankan dan menambah supaya golongan yang jauh lebih kaya dikenakan cukai mengikut secara adil tetapi sistem yang lebih progresif.

Tuan Yang di-Pertua, saya ada beberapa angka yang lebih terperinci tentang hasil yang boleh ditambah, seandainya Kementerian Kewangan mula memikirkan untuk mengenakan cukai yang sedikit lebih tinggi berperingkat dengan maksud tidak terlalu membebankan kepada golongan kaya tetapi yang mencecah RM500,000 satu kategori, RM1,000,000 satu kategori, RM10,000,000 satu kategori daripada kadar yang ada sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, satu perkara yang juga amat membimbangkan ialah soal daya saing.

Menteri Kewangan menekankan perkara ini dan saya kira memang sewajarnya bahawa soal daya saing atau competitiveness itu ke depan. Beberapa tahun yang lalu saya edarkan risalah tentang competitiveness kerana Malaysia ini harus di tahap persaingannya, perbandingannya itu bukan dengan Somalia dan Bangladesh serta Burma, tetapi perbandingan kita pada tahap awal negara ini dibentuk adalah Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.

Kalau kita jumpa kawan-kawan di Negara Arab umpamanya, mereka mengatakan Malaysia selalu dibandingkan dengan Negara-negara Islam, benar. Akan tetapi kekuatan Malaysia, keunikan kedudukan Malaysia itu ialah ia bermula sejak merdeka dan sejurus selepas merdeka,saingannya itu tidak dengan negara-negara yang dianggap relatif, mundur dalam kategori negara-negara Islam. Saingannya itu dengan negara-negara jiran, Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan kita sudah tunjukkan bagaimana setelah 20 dan 30 tahun kedudukan kita terus menjunam dilihat dari segi KDNK per kapita rakyat Malaysia berbanding dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Akan tetapi dalam laporan mutakhir World Competitiveness Report 2009-2010 yang dikeluarkan oleh The World Economic Forum, ini yang membimbangkan. Kalau baca belanjawan lima tahun yang lalu, tiga tahun yang lalu, bukan main, tepukan gemuruh termasuk daripada Yang Berhormat Kinabatangan, tetapi selepas itu, ini bermakna lima tahun yang lalu, disebut kita harus berubah dan Malaysia mampu mengangkat daya saingnya, lima tahun yang lalu. Lima tahun kemudian apabila melihat laporan jatuh daripada 21 kepada 24. Itu selepas tepuk gemuruh, ia jatuh lagi kerana kelemahan kerangka peraturan dari baik perundangan ataupun pentadbir yang lainnya tetapi dari sudut perundangan, dari Linggam’s tape tidak ada tindakan, ini macam mana Tuan Yang di-Pertua?

Apa hubungannya dengan belanjawan? Ini krisis kepercayaan, orang datang, ada. Saya boleh sebut kalau dicabar, saya boleh sebut nama

syarikat Arab yang datang, tetapi dia kata, “No, no, no.” Perjanjian, kita mesti buat di Singapura, di Hong Kong. Saya kata, “la’ mungkin ya akhi, tidak mungkin saudara ku. Kita patut buat perjanjian itu dengan Malaysia.” Dia jawab, “oh, no, no.” Kata dia, “we have to pay”. Bermakna persepsi berdasarkan Linggam’s tape, berdasarkan keputusan-keputusan mahkamah dan hakimhakim yang ada, yang dipertahankan oleh Menteri, tidak ada. Rugi kita ratusan juta, begitu saja, membuat perjanjian besar syarikat-syarikat gergasi, perjanjiannya untuk litigation dan kes-kes adjudication mesti court di Singapura, court di Hong Kong.

Apakah kurangnya kita di Malaysia ini? Apakah hakim-hakim kita ini tidak ada kelayakan? Peguam tidak ada kelayakan? Jabatan Peguam Negara memang ada masalah, tetapi mengapa sampai begitu? Disebabkan itulah jatuh lagi perundangan dan pentadbiran jatuh dari tangga 17 dahulu dalam dua tahun ke tangga 43.

Tuan Yang di-Pertua, kalau kita sebut Ahli Yang Berhormat Sri Gading tidak ada, “oh, ini fitnah, bohong sahaja.” Oleh sebab itu saya menggunakan angka dan meminta Menteri dan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Menteri Kewangan melihat mengapa, apa alasannya, World Competitiveness Report jatuh terus, 24 turun 21, 43 turun 17. Ini kita tidak lihat lagi soal kadar jenayah. Kalau dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, kedudukan kita itu lumayan, kedudukan kita itu dari angka 80, 60, 50 sebelumnya itu boleh dimengerti. Kita boleh membawa perubahan bertahap tetapi kedudukan kita dahulu baik.

Negara pernah duduk dalam keadaan yang selesa dalam World Economic Forum Report, International Institute Management Development, tangga 18, oleh itu saya tidak fikir kita boleh mengaitkan dengan ketidakupayaan sama ada Pengurusan Pentadbiran atau Badan Kehakiman kerana kita mempunyai satu keadaan yang lebih lumayan. Kita tengok sahaja kalau KDNK per kapita diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri tetapi lihat Singapura, USD 18000, South Korea, USD 19 500 dan Malaysia masih USD 8140. Ini dalam World Competitiveness Index. Akan tetapi kalau kita melihat KDNK per kapita Malaysia, itu lumayan kalau dibandingkan dengan negara Arab umumnya atau dengan negara berkembang dan Afrika serta miskin, tetapi sebab itu saya mengatakan perbezaan itu harus dengan threshold yang sama tahun 80-an, bagaimana kita meningkat.

Kita tidak boleh terbelakang, sekarang kita hendak bandingkan dengan Bangladesh, dulu kita bandingkan dengan Singapura, Taiwan dan Korea. Kalau kita kalah, lima tahun lagi kita banding dengan Somalia dan Chad. KDNK per kapita Malaysia USD 13,518. baik. Bandingkan dengan negara Afrika, Botswana. Botswana mengalahkan Malaysia kerana KDNK per kapita Botswana sekarang USD13,604.

Kadar celik , tadi kita bicara banyak tentang Indonesia, kadar celik huruf dewasa di Malaysia, itu membanggakan dibandingkan dengan kebanyakan Negara berkembang, berapa? 91.2%, tetapi kita kalah berbanding dengan Indonesia 250 juta penduduk, relatif lebih miskin, lebih luas tetapi kadar celik huruf Indonesia 92%.

Kadar celik huruf Georgia yang baru merdeka, yang relatif sedang membangun tetapi pimpinan Georgia kalau kita ikuti, itu yang cukup strict dari segi governance dan menentang corruption dan mendukung prinsip pertanggungjawaban atau akauntabiliti. Georgia, kadar celik huruf dewasa ialah 100%.

Kita tahu tentang kadar pertumbuhan, kita sudah dikalahkan oleh Indonesia dan Vietnam. Akan tetapi saya hendak menyebut di sini satu perkara yang lain ialah pelaburan asing kerana pelaburan asing ini ada kaitan dengan daya saing disebut oleh Menteri Kewangan.

Kalau kita ada daya saing kita attractive destination for foreign investments, kita boleh excel. Kita pernah mencatat nombor satu bukan satu tahun banyak tahun yang dahulu, kita pernah mencatat nombor satu mengalahkan Singapura dari segi FDI, Foreign Direct Investments, jadi bukan sesuatu keterlaluan… Itu dalam keadaan yang tidak boleh kita pertahankan, kita tidak katakan sistem kita cukup sempurna, tetapi relatif itu masih lebih baik dan ada daya tarikan.

Dibandingkan dengan sekarang, 2008 pelaburan asing diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam ucapan belanjawan, bajet RM3.6 bilion sekitar USD1 bilion berbanding RM19 bilion kata USD5 bilion atau RM19.7 bilion pada tahun sebelumnya. Indonesia mengalahkan kita USD7.9. Indonesia, saudara bayangkan dengan persaingan ekonomi mereka merangkak dalam keadaan kita sudah berkembang. Vietnam RM8.05 bilion, Thailand RM9.8 bilion tidak boleh dibandingkan dengan Singapura nanti orang marah. Kawankawan saya dalam UMNO kalau sebut Singapura, saya kata cannot itu pimpinan lain. Akan tetapi Singapura catat RM22.8 bilion.

Tuan Yang di-Pertua, kita pernah kalahkan Singapura dalam FDI banyak tahun. Sekarang ini, kita kalah dengan Thailand, kita kalah dengan Vietnam dan kita kalah dengan Indonesia. Sepatutnya pimpinan kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri harus mengadakan satu sidang darurat ekonomi untuk memerhatikan masalah ini menyelesaikan masalah dan kemelut hilang keyakinan rakyat dan hentikan propaganda murahan, pertahankan semua yang mereka lakukan dan baiki semula.

Saya telah sebut dan sampaikan kepada sidang ini dan juga kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam soal mengangkat ekonomi, kita dalam Pakatan Rakyat dan negeri-negeri, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang pun ada di sini, kita sedia memberikan sokongan dan kerjasama penuh untuk mengangkat ekonomi negara kita. [Tepuk] Jadi Yang Berhormat Pasir Salak patut berbuat sesuatu, untuk memastikan. Banyak angka-angka lain termasuk dari United Nations Trade and Development kerana memperkuat hujah saya tetapi untuk menjimatkan masa saya tidak ulang hal itu.

Kita bincang soal internet.

Saya terima baik usaha pengumuman untuk mendukung dan memperbaiki broadband internet negara yang diumumkan oleh Menteri Kewangan. Saya bimbang bila saya sebut diterima baik itu, utusan Malaysia nanti lapor yang itu sahaja. Kita harus objektif bahawa broadband internet itu kritikal untuk mengangkat keupayaan dan daya saing kita.

Soalnya, yang kita harus teliti itu terutamanya bila kita katakan rakyat diutamakan. Rakyat mana? Kalau rakyat diutamakan maka kita kena faham dengan apa yang dimaksudkan dengan digital divide. Digital divide ini bererti kesenjangan yang kian melebar. Kesenjangan yang kian melebar di antara kota dan desa, kaya dan miskin kerana penembusan keupayaan internet ini, hanya sekitar 25% dan cadangan broadband internet ini lebih di kawasan Lembah Klang dan

meninggalkan kawasan-kawasan pedalaman baik di Kelantan, di hulu Kelantan, Pahang, Sik, Baling dan Sabah serta Sarawak.

Jangan kita agak seronok dengan satu dua projek yang diumumkan di Kalabakan. Internet penetration ini, Putatan lebih kritikal lebih bermakna daripada satu dua habuan termasuk cuti 16 September yang kami usulkan dengan keras dan umumkan dahulu. [Tepuk] Akan tetapi bila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umum kita sokong kita terima baik cadangan baik diterima.

Ini penembusan keupayaan internet ke kawasan rakyat, kalau tidak dilakukan sebagai sesuatu yang mendesak akan menyebabkan jurang atau kesenjangan melebar dan ini walaupun kita kata celik huruf, literasi itu 92%. Celik internet ini akan kekal pada sekitar 30 hingga 40% dan kesenjangan itu terus melebar. Jadi kita percaya hal ini akan diberikan keutamaan.

Tuan Yang di-Pertua, saya sebut juga hal yang menyentuh jenayah tadi.

Jenayah ini meningkat di negara kita bila kita tolak usul Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (SCPMC), kerana katanya polis tidak senang, ya itu keputusan kerajaan. Akan tetapi yang tidak boleh di kompromi ialah kadar jenayah harus dikurangkan. Suruhanjaya Diraja mengusulkan kadar jenayah harus dan mesti dikurangkan 20% dalam tempoh 12 bulan pertama. Perdana Menteri kata 5% pun tidak apa dalam ucapan belanjawan. Saya teliti tengok. Kenyataannya, walaupun diberi jaminan oleh bekas Perdana Menteri dahulu percayalah kepada saya, jangan dengar saya, percaya ini, kita mesti percaya sepenuhnya serah jiwa dan raga. Akhirnya, jiwa telah melayang yang tinggal raga. [Ketawa] Ini kerana kadar jenayah itu meningkat.

Dalam laporan Suruhanjaya yang agak lama, 1997 hingga 2004 peningkatan 29% sebab itu di cadangkan dengan agak realistik turun 20% pun okey. Akan tetapi sekarang berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri, jawab lisan kepada Yang Berhormat Pendang pada 22 Oktober 2009 indeks jenayah bagi seluruh negara sejak tahun 2005 sehingga kini indeks jenayah meningkat dari 157,365 kes pada tahun 2005 kepada 211,645 kes tahun 2008 peningkatan 34%. Saya hendak tunggu kalau ada yang hendak cabar kata ini bohong, fitnah. Ini angka yang diberi oleh Yang Berhormat Menteri, ya Yang Berhormat Padang Besar.

Jawapan Menteri menunjukkan dalam tempoh 2005 sehingga 2008 purata peningkatan jenayah itu dari segi peratusan itu sudah tidak dapat dipertahankan. Indeks jenayah jumlah jenayah berat itu sudahhampir tidak terkawal. Walaupun Menteri memilih untuk pertahankan at all cost kewibawaan Ketua Polis Negara. Ini bagi rakyat itu membingungkan. Prestasinya teruk, kadar jenayah meningkat, imej polis itu dianggap korup, hubungan dengan underworld. Disebut pula nama BK Tan. Dibawa pula puluhan statutory declaration. Dismiss begitu sahaja. What is wrong with the system of government?

Mereka tidak kira yang bangkit itu Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau kritikan itu ‘political,’ you boleh dismiss as political gimmick. Akan tetapi kalau kritikan itu berdasarkan angka dan fakta, then any responsible government dengan izin, mesti address responsibly kerana pertanggungjawaban kita bukan sahaja kepada Parlimen tetapi pada amanah [Bercakap dalam Bahasa Arab]. Yang Berhormat Marang boleh tolong tafsir kemudian. Jadi Ahli Yang Berhormat, …

Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Lim Guan Eng [Bagan]: Saya hanya ingin imbas kepada sejarah sedikit. Ini kerana saya masih ingat semasa Yang Berhormat Permatang Pauh menjadi Menteri Kewangan. Apabila ucapan diberikan oleh pihak pembangkang sungguhpun pada masa itu Timbalan Perdana Menteri tetapi saya masih ingat bahawa Yang Berhormat selalu akan duduk sampai habis untuk dengar ucapan daripada pihak pembangkang.

Pada hari ini Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan II pun tidak ada. Saya rasa tadi Yang Berhormat menyebutkan tentang pentingnya Parlimen. Akan tetapi yang kita lihat, dan yang amat penting hanya Yang Berhormat Padang Rengas sahaja. Yang lain-lain saya rasa tidak ada. [Dewan riuh] Saya rasa itu tidak menghormati institusi Parlimen kerana apabila Ketua Pembangkang berucap sekurang-kurangnya Timbalan Menteri Kewangan II harus hadir dalam Dewan yang mulia ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Sejauh ingatan saya, 8 tahun sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri, setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya duduk dan menunggu sampai selesai. [Tepuk] Tetapi kita faham, saya dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri tadi bahawa Perdana Menteri pergi ke upacara pertabalan di Seri Menanti. Jadi, kita boleh mengerti dan saya mengucapkan terima kasih kerana saya dimaklumkan. Akan tetapi yang Timbalan Menteri Kewangan II ini mengapa sibuk? Nama pun Timbalan Menteri Kewangan II, buat lah kerja di Parlimen ini, hormatlah sedikit. Akan tetapi tidak mengapa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri lebih senior. [Ketawa]

Jadi, saya sebut tadi soal jenayah dan Ketua Polis Negara ini kerana tekanan dan kritikan itu cukup meluas. Belum pernah saya melihat satu isu yang melibatkan ratusan NGO, berhimpun dan hanya bercakap soal jenayah. Mereka bukan political dan tidak mengkritik kerajaan atau Ketua Polis. Mereka mengatakan bagaimana mahu menjamin keselamatan? Ini sahaja dan ia melibatkan rakyat umum. Jadi, kalau ini berlaku tentunya ada kaitan dengan peruntukan dan perbelanjaan.

Kita bimbang perbelanjaan untuk pertahanan RM3.7 bilion, dan RM1 bilion untuk polis, hendak menambah lagi kecekapan, menambahkan lagi jumlah anggota polis terutamanya special branch yang kerjanya memantau kita. Saya hendak bagi jaminan Menteri Dalam Negeri, tidak mengapa. Kalau terlibat dalam rompakan besar-besaran, kita pantau tidak mengapa. Akan tetapi apabila mesyuarat parti tidak perlu memantau banyak-banyak. Kalau hendak menjimatkan perbelanjaan dan jamin supaya kerajaan boleh menumpukan perhatian untuk membanteras jenayah dan rasuah, kita boleh bincangkan dalam Pakatan Rakyat. Kita akan memberi minit mesyuarat kepada Menteri Dalam Negeri. Jadi, ia boleh menjimatkan ratusan juta dan ribuan personnel special branch ini.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, baru-baru ini kita dikejutkan dengan Laporan Ketua Audit Negara.

Saya hendak mengucapkan tahniah kerana rating kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor, adalah tertinggi. [Tepuk] Yang ini, saya ingat memang susah. Dalam satu setengah tahun, Ketua Audit boleh memberi rating terbaik kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Yang ini Tuan Yang di-Pertua, sepatutnya kita ucapkan tahniah. Dengan pelbagai tekanan diperoleh dan soal penjimatan, lihat sahaja Kelantan, puluhan tahun dengan dana yang terbatas dan disalurkan mengikut alternative route, masih mampu bertahan.

Kedah, pendapatan meningkat, kawasan tanah pembalakan berkurangan tetapi pendapatan daripada pembalakan meningkat, mesti ada sebab perkara ini. [Tepuk] Kalau kita menggunakan… ini yang disebutkan oleh Menteri Pelancongan tadi, beliau mengatakan common sense. This is common sense. Kawasan pembalakan kurang, pendapatan bertambah. Maknanya ada bocor, kebocoran dan yang ini yang harus kita perbaiki.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Saya tekun mendengar hujah Yang Berhormat Permatang Pauh lalu tidak mahu mengganggu Tuan Yang di-Pertua.

Tetapi rasanya sebelum masuk ke points lain, saya kembali kepada perkara yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu tentang daya saing atau competitiveness.

Dua perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh itu cukup relevan dalam kita menegaskan kepentingan perkara itu, Tuan Yang di-Pertua. Pertama tadi disebutkan tentang broadband penetration dan yang keduanya crime.

Saya membaca dan ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh. Malaysian Australia Business Council daripada Vice Chairman nya sendiri membuat pernyataan bahawa Australian investors, pelabur-pelabur dari Australia paling tidaknya berfikir dua kali. They are thinking twice untuk melabur di Malaysia ini, atas dua sebab.

Pertamanya, rampant crime, jenayah yang berleluasa seperti mana yang ditegaskan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh sebentar tadi. Keduanya ialah, poor infrastructure. Yang dimaksudkan dengan poor infrastructure ini Tuan Yang di-Pertua, adalah essentially internet connection. Saya meminta Yang Berhormat Permatang Pauh kembali sedikit kepada persoalan broadband. Hari ini orang tidak bercakap tentang internet penetration, penembusan internet Tuan Yang di-Pertua. Orang sekarang ini bercakap tentang kualiti or broadband service.

Saya ingin merujuk kepada Yang Berhormat Permatang Pauh mengenai studies yang baru dibuat, dilaporkan oleh The Oxford Studies. Disebutkan bahawa Malaysia broadband quality is below par, say Oxford studies. Kita telah diletakkan di bawah… Ada empat golongan di sana. Kita adalah pada paras yang dikatakan sebagai below threshold need of today. Negara yang sama kedudukan dengan kita adalah negara seperti Filipina, Vietnam, Pakistan dan Indonesia. Negara-negara seperti negara China, Malta, Brazil dan Thailand mengatasi kita, Tuan Yang di-Pertua.

Jadi persoalan competitiveness, kalau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mahu bercakap tentang perkara ini, dua perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tadi adalah cukup penting. Kalau kita adalah antara negara yang memulakan dengan projek raksasa MISC, hari ini kita keciciran, termengah-mengah dan tercungap-cungap untuk bertanding dan bersaing dengan negara-negara seperti Vietnam, Philippines, Pakistan dan juga Indonesia. Mengatasi mereka sedikit tetapi jauh ketinggalan daripada negara seperti China, Brazil dan Thailand. Itu atas perkara broadband speed dan kualiti yang disebutkan kerana syarikat-syarikat memerlukan penghantaran fail-fail yang besar bukan hanya bandwidth sahaja tetapi juga dari segi speed.

Saya membaca daripada laporan ini. Kita tidak sampai pun satu megabyte per second, tetapi hanya pada kilobyte per second. Disebutkan di sini, kalau lah uploading nya kita hanya sampai kepada paras… itu di Lembah Klang tidak sampai 460 kilobyte per second, bukan megabyte per second. Download speed nya adalah hanya 370 kilobyte per second, yang semuanya memberikan kecurigaan dan menjadi perkara yang dipertikaikan oleh investors seperti mana yang saya sebutkan tadi, Malaysian Australia Business Council.

Keduanya, kata mereka adalah atas perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tadi, rampant crime. Jadi, kedua-dua perkara ini Tuan Yang di-Pertua, sekali gus menjejaskan competitiveness negara kita. Saya meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh, terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Perkara yang kedua iaitu tentang broadband, memang disentuh oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan dan broadband itu katanya, pasti akan ditingkatkan keupayaan dan kecekapan. Akan tetapi yang saya persoalkan hanya di Lembah Klang akan tetapi perkara yang disentuh oleh Yang Berhormat Kuala Selangor itu relevant sebab Malaysia ini ke depan.

Dengan gagasan Multimedia Super Corridor, kita jauh ke depan dari segi infrastrukturnya. Akan tetapi yang menarik atau yang menjadi kelemahan kita ialah kerana kita menumpukan kepada infrastruktur yang kita anggap cukup baik. Rupa-rupanya infrastruktur itu juga lemah berbanding bilion ringgit untuk seluruh kompleks berbanding dengan India.

Semasa Perdana Menteri India iaitu Rajiv Gandhi, beliau menghantar seorang daripada United Technology menyediakan infrastruktur dengan dana USD10 juta, USD10 juta di Bangalore. Jadi, infrastrukturnya agak dari segi yang bangunan itu lemah, broadband nya cekap dan hari ini dan penekanannya software, tap the best brains perkenalkan software, itu niche mereka.

Maka, kita ke depan belanja bilion ringgit, dia lambat ikut belanja RM10 juta dolar, sekarang dia tinggal kita jaraknya 20. Dia dalam satu tahun, tahun lalu sahaja 6 bulan pertama investment, pelaburan di Bangalore dan di India itu lebih 4 bilion dolar dalam isu IT dan ICT berbanding dengan kita.

Hal-hal ini kita harus rundingkan dan saya minta terutama pakar-pakar kita yang ada bincang. Akan tetapi dua perkara yang saya minta disentuh ialah tingkat meningkat keupayaan broadband yang dipersetujui dan mahu dilaksanakan oleh kerajaan tetapi harus juga

diperhatikan soal Internet penetration.

Kedua, soal crime, soal jenayah meningkat yang disebut oleh bukan sahaja Australian Business dan juga Competitiveness Report iaitu belum ada walaupun diumumkan. Kita tidak tahulah hendak tambah senapang baru kah atau apa-apa tetapi tidak ada kesungguhan dalam membetulkan kepincangan dalam pengurusan dan pimpinan polis itu sendiri.

Selalunya kalau track record nya itu teruk. Orang desak buat perubahan. Kita siapa yang teruk track record dia, anugerah dia pun bertambah pangkat dia naik. Apa yang sebab mengapa Menteri dan pimpinan rasa takut sangat hendak bagi ingatan kepada peguam negara rasa takut, hendak pastikan hakim-hakim menjalankan tanggungjawab dengan bebas dan telus nampak terbantut, dengan Ketua Polis Negara juga rasa bimbang. Jadi akhirnya kita menjunam dari segi prestasi kita.

Saya hanya hendak sentuh perkara laporan Ketua Audit Negara ini banyak dibahaskan, banyak didedahkan. Jadi saya percaya rakan-rakan akan juga sentuh tetapi saya hanya kait Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember di mana pelaburan RM24.21 bilion dalam 89 syarikat pada tahun 2008 berbanding pelaburan RM23.23 bilion dalam 99 syarikat tahun 2007. Ini di mana kerajaan ada kepentingan.

Contohnya daripada kerajaan, kita tahu keadaan sekarang belanja mengurus itu cukup tinggi, belanja pembangunan itu cukup kecil. Sebab itu lah Menteri Kewangan terpaksa gagah untuk menyebut 30 biasiswa pun disebut dalam ucapan belanjawan. Klinik Desa, habis yang kecil-kecil itu perlu kutip kerana jumlah wang pembangunan itu sangat terbatas berbeza dengan keupayaan kita berbelanja dahulu. Baik, akan tetapi tanggungjawab contoh yang harus dilakukan oleh kerajaan ialah pengurusan kerajaan itu harus di tahap yang lebih cekap.

Kementerian Pengangkutan, Projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang-Ipoh, DRB HICOM dilantik secara rundingan terus tahun 2000. Mereka dikehendaki mengemukakan bon jaminan reka bentuk dan jaminan bank RM128.9 juta. Akan tetapi tidak mengemukakannya. Maka, kerajaan terdedah kepada risiko menanggung kos pembaikan. DRB HICOM gagal menyiapkan pakej infrastruktur pada 10 Disember kerana status kemajuan 76.8% dan kontrak ditamatkan 5 Ogos 2005. Itu sebabnya maka kos itu melambung.

Ini berbeza dengan 30 biasiswa dan klinik desa di Kalabakan. Ini belanja yang begitu tinggi kerana rundingan terus tidak lihat keupayaan dan apabila ditanya alasannya selalu kita katakana keutamaan kepada syarikat bumiputera yang saya tidak pertikai sama sekali. Akan tetapi saya pertikai cara kita urus kerana rakan-rakan saya dari Yang Berhormat UMNO apabila dalam bahas dia selalu serang kita seolah-olah kita anti kepada syarikat-syarikat bumiputera dan Melayu.

Yang kita pertikaikan ini ketelusan dan kemungkinan berlakunya rasuah dan kepincangan. Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dari Japan Bank International Corporation. Pada Disember 2008, RM5.7 bilion dibelanjakan. Ini RM1.43 bilion lebih tinggi daripada nilai kontrak asal. Runding terus. Kontrak berapa? RM5 bilion Dan tiga tahun kemudian tambah lagi RM2 bilion. Ini berlaku dalam hampir setiap projek. Jadi apa makna kita buat kajian dan setiap 2,3 tahun syarikat besar, syarikat gergasi saya beri contoh IBP, kita tidak ada keupayaan langsung seolah-olah kita lemah dalam berdepan dengan syarikat-syarikat besar ini. Dia too powerful, too influential seperti mana V.K. Lingam, tidak siapa berani sentuh. Entah

dia pakai bomoh mana. Pelaksanaan projek Rawang-Ipoh yang lewat disiapkan kerugiannya RM1.14 bilion.

Kemudian, KL Sentral dan Ipoh mula projek.

Yang itu yang keduanya, Rawang-Ipoh Tuan Yang di-Pertua, minta maaf, RM1.14 bilion, KL Sentral dan Ipoh Disember 2008 pakai tren diesel. Sepatutnya dalam perjanjian awal tren elektrik yang patut digunakan. Ini disebabkan oleh kelewatan membuat perolehan tren disebabkan kekurangan peruntukan untuk 6 Electric Train Set (ETS) berjumlah RM240 juta. Rancangan Malaysia ke-9 tambah RM249.7 juta diluluskan. Syarikat Kinta Samudra Opes Konsortium (KS Opes) dilantik mengurus projek bagi pihak kerajaan untuk Rawang-Ipoh, tetapi gagal melaksanakan peranannya seperti yang ditetapkan dalam kontrak. Tiada bukti menunjukkan kementerian telah membuat teguran makluman prestasi syarikat ini kepada Kementerian Kewangan. Ini mengikut pengalaman kecil saya sendiri agak janggal. Tidak ikut tempoh tidak…

Kementerian Pelajaran, 14 sekolah RM1 juta untuk penyelenggara atau pembaikan tidak dibuat dengan sempurna, tidak disiapkan, tidak ada kualiti. Itu ditetapkan oleh kerajaan. Siapa yang…? Sekolah mana? Yang Berhormat Putatan sebagai contoh lah. Akan tetapi apabila kita mendapat peruntukan RM15,000 atau RM1,000, wah tepuknya gemuruh, ini yang hilang berbilion-bilion ini. Saya baca ini Laporan Penyata Kewangan Kerajaan bukannya the Anwar report. Ini treasury punya report. 15 buah sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah, dan Selangor penyelenggaraan adalah RM111.5 juta. Tidak dilaksanakan, 7.8% kontraktor terlibat dibayar sepenuhnya. [Dewan riuh]

Kemudian yang kita baca ini kerana Menteri ketika itu minat pokok dan tanaman, seni taman maka diberikan membekal pokok dan tanaman untuk sebuah sekolah sahaja RM57,000 menyenggara, merawat, menyiram pokok. Kemudian, yang dibayar ini sebenarnya 500% lebih atau 5 hingga 8 kali ganda lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan oleh pembekal. Eh, ya Allah. Kalau…

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Celahan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: …sakit ini ICU.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Laluan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Machang. Silakan.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Permatang Pauh terima kasih. Saya cuma ingin menarik perhatian Yang Berhormat Permatang Pauh mengenai kenyataan Pengarah JPA hari ini yang mengeluarkan kenyataan bahawa merujuk kepada laporan Ketua Audit, sekiranya di sana berlaku penyelewengan dan salah urus terhadap dana kerajaan melibatkan jabatan, agensi, dan kementerian. Maka, katanya yang akan dipertanggungjawabkan ialah Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah jabatan berkenaan. Itu satu komitmen yang diberikan. Satu langkah yang saya fikir menarik untuk kita bincangkan dan beri perhatian dalam perbincangan Dewan.

Secara khusus, Ketua Pengarah berkenaan memetik, bagaimana penyelewengan yang cukup ketara yang berlaku di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Balik Pulau, dua komputer riba dibeli dengan harga RM42,320 satu, bukan dua. Satu komputer riba harganya RM42,000. Ini maknanya barangkali bahannya daripada emas barangkali ini. Emas tulen, emas sembilan barangkali.

Akan tetapi, isu yang saya hendak timbulkan tadi sebagai menarik perhatian Yang Berhormat Permatang Pauh ialah, kalau itu komitmen yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kementerian dan kelihatannya tanggungjawab itu terhenti setakat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah, kita hendak tengok. Kalau contohnya tadi MARA, sudah tentu di bawah Ketua Pengarah MARA atau Pengerusi

MARA atau Menteri yang jaga MARA, boleh ambil tindakan ataupun tidak setelah kenyataan ini dibuat? Itu satu.

Kedua, Yang Berhormat Permatang Pauh tadi juga menyentuh mengenai secara khusus pujian Ketua Audit terhadap beberapa negeri Pakatan Rakyat. Secara kebetulan saya terbaca di Kedah. Dua perkara yang disebut oleh Ketua Audit Negara mengenai Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Pertama ialah kos saving policy, dasar penjimatan perbelanjaan dan yang kedua ialah keupayaan melonjakkan hasil negeri sehingga 205.5%. Saya bertanya Menteri Besar Kedah, apa yang menyumbang kepada lonjakan hasil negeri yang begitu ketara? Katanya kalau dahulu, satu kawasan balak hutan dara, satu ekar pendapatan kepada kerajaan negeri ialah RM1,000. Hari ini, satu ekar ialah RM19,000. [Tepuk] Ya, ini. Bendanya mudah, straight forward. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ini bukan belajar ilmu pengurusan tinggi-tinggi pun. Dia pakar hadis sahaja. Pensyarah hadis Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum jadi Menteri Besar, tetapi common sense dia.

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah ini juga menegur Johor kerana hutannya tinggal 18%. Selama ini, Dewan ini diperdengarkan bahawa yang teruk sekali bagi kawasan balak ini ialah Kelantan. Kelantan, Kelantan, Kelantan! Saya baca dalam laporan Majlis Perhutanan Negara, Kelantan kawasan muka bumi yang masih dilitupi hutan ialah 51%. [Tepuk] Muka bumi masih dilitupi hutan. Melaka – 4%. [Ketawa].Barangkali hutan simpan Ayer Keroh lah. Johor – 18%, Pahang, Selangor, Perak, itu antara 35% hingga 42%.

Maknanya secara angka, secara statistik, jangan sampai lagi Dewan ini diperdengarkan dengan sweeping statement daripada Ahli Parlimen hanya kerana kebencian yang berlebihan terhadap Kelantan. Itu isu yang hendak saya kemukakan. Terima kasih. Yang Berhormat Permatang Pauh

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat Machang tidak sebut Pulau Pinang. Pulau Pinang masa Ketua Menteri ambil alih, hutan sudah tidak ada. Jadi, jangan jadi isulah. Akan tetapi, saya hendak respond kepada celahan Yang Berhormat Machang tentang jaminan Ketua Pengarah JPA. Terima kasih.

Baik, tetapi kita sepatutnya ada dengan KPI, macam-macam bunyinya cukup meyakinkanlah. Dua minggu laporan, dua minggu kajian, dua minggu berikutnya tindakan, baru bermakna kerana jaminan ini dibuat sudah banyak tahun sudah. Akan tetapi untuk Ketua Pengarah mengatakan hanya KSU dan Ketua Pengarah bertanggungjawab, saya tidak setuju kerana banyak urusan sebut harga dan meletakkan tender ini bukan kerja KSU. Menteri yang campur. Jadi, sepatutnya Ketua Pengarah JPA harus sebut, kita akan teliti dan orang yang bertanggungjawab akan dipersoal dan tindakan diambil. [Tepuk] Sepatutnya begitu. Janganlah awal-awal dia dilepaskan orang-orang di atas dan dia pikul tanggungjawab. Buat apa ambil risiko kalau kamu tidak bertanggungjawab, kalau tidak terlibat. Saya tidak mahu… Kalau betul Ketua Pengarah terlibat, dia harus dipersoalkan, tetapi jangan dilepaskan awal-awal kerana saya tahu kalau projek besar-besar, itu atas Ketua Pengarah.

Banyak lagi benda lain yang akan saya sentuh sepintas lalu kerana Menteri Kewangan dari Pekan. Hospital Pekan, kos tambahan kerana lambat siap, setengah juta.

Kementerian Sumber Manusia, nilai kontrak dengan Rebound Asia (M) Sdn. Bhd. membekalkan peralatan ke ILP Kuala Langat, harga RM61 juta iaitu sekitar 50% lebih tinggi dari siling projek yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Perbezaan harga seunit mengikut jenis peralatan. Empat peralatan yang diberikan mengikut spesifikasi yang sama bagi Bengkel Juruelektrik ILP Miri, Kepala Batas dan Sandakan dibekalkan oleh Syarikat Naim Cendera Sdn. Bhd. berbeza dengan ketara kerana meningkat di antara 32% hingga 200%.

Pelbagai kementerian dan jabatan, emolumen bagi anggota perkhidmatan awam lebihan dan kekurangan masing-masing, RM1 juta hingga RM221,000 fail peribadi dan rekod perkhidmatan kerana tidak dikemas kini. KPI lagi.

Kementerian Kewangan, Prasarana Negara Berhad. Ini lebih besar. Kerugian terkumpul berterusan dari tahun 2000-2007 kerana belanja susut nilai yang tinggi. Masalah menebus semula baki bon yang diterbitkan berjumlah RM7.1 bilion. Kerugian bersih selepas cukai antara tahun 2005-2007, rugi tahun 2007 sahaja RM183 juta, tahun 2006 RM160 juta. Setiap ringgit hasil pendapatan pada tahun 2005, Prasarana Negara Berhad mengalami kerugian RM5 pada tahun 2006. Jadi maknanya, pelaksanaan perjalanan kerajaan ini juga harus dikemas kini dan sebanyak-banyak contoh…

Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Haji Salleh [Kalabakan]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tentang hal ini yang saya tidak akan baca tetapi cukup untuk membuktikan ada kelemahan besar dalam hal ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kalabakan.

Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Haji Salleh [Kalabakan]: Assalamualaikum Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Permatang Pauh ada menyatakan pasal Audit Report 2008. Jadi seperti mana kita sudah sedia maklum bahawa kita Barisan Nasional tidak mahu bersekongkol dengan apa penyalahgunaan kuasa ini sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sudah beri jaminan. Sudah beri jaminan bahawa apa kesalahan yang dibuat, dia akan mengambil tindakan.

Jadi, tidak adil kalau kita tuduh Perdana Menteri kerana dia baru sahaja enam bulan memegang jawatan. Ini Audit Report 2008. Jadi, kita mahu supaya Barisan Nasional backbencher pun mahu supaya apa masalah-masalah dalam audit report ini diambil tindakan dan orang-orang yang menyalahgunakan kuasa ini diambil tindakan, di punish. [Tepuk] Jadi, bukan Yang Berhormat Permatang Pauh, Pembangkang sahaja mahu, kita pun dari backbencher BN ini kita pun mahu supaya Perdana Menteri tegas, ambil tindakan. Siapa juga yang menggunakan kuasa walau dia setinggi langit dia punya jawatan, dia ambil tindakan yang sewajarnya. [Tepuk] Ini minta komen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Itu sebab saya sebut Yang Berhormat Kalabakan ini memang saya tahu pendirian dia tetapi jaminan ini sudah lima Perdana Menteri sudah. Jaminan yang sama. Kita tetap mengambil tindakan terhadap orang yang rasuah dan curang, tetapi kita tunggu tindakan. Apa yang saya tahu, V.K. Linggam belum. Bahkan dia dilepaskan. Akan tetapi saya setuju, bukan saya hendak pertikaikan kenyataan Yang Berhormat Kalabakan.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ada yang jadi calon pun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kalau Perdana Menteri beri jaminan, sebab itu kita hanya tuntut jaminan beliau. Tidak semua soal kelemahan ini patut diletakkan, dibebankan di bahu beliau. Saya setuju, tetapi tanggungjawab beliau memastikan kecurangan ini diperbetulkan dan tindakan diambil dan sebab itu saya baca laporan ini kerana pada masa itu Perdana Menterinya lain, yang juga jamin. Jangan lupa. Ketegasan bekas Perdana Menteri dalam hal ini jauh lebih lagi. Kita tidak akan berselindung. Kita akan… tetapi tidaklah bunyi semacam itu, bunyinya lembutlah. [Ketawa] Maksudnya begitu, tindakan tidak diambil.

Jadi, kalau sekadar Yang Berhormat Kalabakan mahu menyatakan kita dalam hal ini sepakat, saya setuju. Sebab itu, ini maknanya kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat juga tidak terlepas. Akan tetapi, kenyataannya laporan Ketua Audit itu memberikan pengiktirafan yang cukup hebat bagi kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak mahu diakui oleh sebahagian kawan-kawan kita. Saya hendak merumuskan Tuan Yang di-Pertua dengan menyatakan bahawa sementara beberapa langkah yang diambil…

12.51 tgh.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Yang di-Pertua yang sepatutnya memanggil mempersilakan. [Ketawa]

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh tanya di rumah kah? Tanya di rumah.

Tuan Yang di-Pertua: Sila. Yang Berhormat Lembah Pantai sila.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Ini hal bersangkut paut dengan Parlimen dan Laporan Ketua Audit seperti yang disebut, jadi tidak boleh ditanya di rumah. [Ketawa] Kena tanya di Parlimen.

Saya amat menyokong apa yang disebut atau isu yang diutarakan oleh Yang Berhormat daripada Yang Berhormat Kalabakan. Saya kira sekurang-kurangnya Yang Berhormat Perdana Menteri perlu mengambil tanggungjawab atas kelebihan perbelanjaan yang dilangsungkan oleh Kementerian Pertahanan kerana pada waktu beliau menjadi Menteri Pertahanan, lebihan belanja adalah sebanyak RM658 juta seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit.

Jadi mohon penjelasan Yang Berhormat Permatang Pauh, kalau benar Perdana Menteri mahu ambil tindakan bukankah cara yang terbaik adalah memastikan kementerian di bawah pegangan beliau itu membelanjakan dengan berhemah dan ada tindakan selanjutnya. Mohon penjelasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kepada Yang Berhormat Lembah Pantai. Ini nampak generasi baru ini lebih tegas. Ini satu peringatan kepada rakan-rakan sebelah sana. Saya ini masih lagi bunyinya masih lagi berhemah, bertenang sedikit. Akan tetapi kalau golongan baru ini, dia lebih tegas, dia mahu jawapan lebih tegas dan tidak bertolak ansur.

Baik, rumusannya tentang beberapa isu yang saya tegaskan tadi iaitu kita bicara soal model pelaburan baru. Ia tidak ada. Model pelaburan baru itu mesti tertakluk kepada sistem percukaian yang progresif, yang menarik pelaburan, satu.

Kedua, pengurusan harus cekap, jenayah dikurangkan. Ini! Tidak ada beberapa pendekatan yang kita anggap realistik dalam memperbaiki pengurusan. Ini dibukti dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Baik. Dalam bidang pendidikan, disebut beberapa langkah termasuk peluang perniagaan, kita terima dan tidak semestinya harus ditolak atau disangkal. Akan tetapi, soalnya mutu pendidikan. Mutu pendidikan kita itu merosot sehinggakan dua universiti. Kalau dahulu hanya Chulalongkorn di Thailand yang mengalahkan kita. Sekarang sudah dua universiti di Thailand mengalahkan kita. Tidak sepatutnya begitu kerana kalau dahulu Universiti Malaya itu dianggap di antara terbaik di Asia. Kita tidak dapat kerana tidak ada kesediaan atau keupayaan membawa perubahan, mengangkat orang yang paling cekap academically profound untuk memimpin universiti. Selagi itu tidak dilakukan saya tidak fikir dia boleh buat.

Mesti beri academic freedom. Tengoklah report dan penilaian. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, without academic freedom, there is no recourse to quality education in universities. Maknanya kebebasan akademik harus ada dan kita kena pilih yang terbaik. Sebab itu saya cadangkan pilihlah Melayu yang terbaik, Cina yang terbaik, India yang terbaik, Kadazan, Iban, Bajau yang terbaik untuk menjadi pengurus dan pemimpin akademik universiti. [Tepuk]

Kemudian, dibincangkan soal prinsip keadilan pengagihan kekayaan dan juga soal yang disentuh oleh Yang Berhormat Perdana Menteri soal memastikan projek-projek di negeri-negeri dan di daerah dijalankan. Saya ingin menegaskan sekali lagi, jangan dizalimi hak kerajaankerajaan Pakatan Rakyat. Jangan diketepikan dan dipinggirkan mereka seperti mana kawankawan kita dalam UMNO, Barisan Nasional. Akui mereka mendapat mandat, pimpinan di negerinegeri Pakatan Rakyat hari ini juga mendapat mandat.

Dalam bidang ini tidak ada sebab mengapa pengagihan dana itu begitu sekali dilakukan sehingga ruang untuk mereka bergerak dan bekerja itu dibatasi begitu rupa. Sebab itu sekiranya jaminan Perdana Menteri untuk membawa perubahan menjamin keadilan kepada semua dan jika benar dengan maksud 1Malaysia, saya tidak lihat sebab mengapa hal yang sedemikian dibiarkan sebegitu rupa.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Bagaimana boleh kita dalam peruntukan dalam perjalanan tiap-tiap kementerian, boleh mengatakan ‘Oh! ini kita hendak jalankan satu kaedah, alternatif kelulusan projek melalui jentera yang berasingan’. Oleh yang demikian, penduduk didera. Saya mengambil contoh di Pulau Pinang dan saya sudah bangkitkan di sini dahulu…

Tuan Yang di-Pertua: Kalau boleh Yang Berhormat, Yang Berhormat Kota Raja.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Yang Berhormat Ketua Pembangkang, saya ingin sedikit pendapat dan penjelasan mengenai pengagihan yang saksama dan adil ini di negerinegeri yang ataupun di kawasan-kawasan Parlimen yang diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen Pembangkang, kelulusan projek-projek dan segala peruntukan yang turun tahun lepas dikatakan RM500,000 dan tahun ini mungkin bertambah, tidak pernah pun dirujukkan kepada Ahli-ahli Parlimen yang telah dilantik oleh rakyat.

Maka, kita diberi khabar Jabatan Pembangunan Negeri meluluskan semua peruntukan ini melalui Ketua-ketua Bahagian UMNO. Adakah ini satu amalan yang sihat yang memang ini yang telah dilakukan dan untuk kali terakhirnya bilakah kerajaan boleh menghentikan amalan yang tidak adil dan saksama ini?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan selain dari menyambut baik gesaan tadi, saya juga ingin menyatakan bahawa rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional harus juga bersedia, buka minda dan terima.

Tahun ini ialah tahun 2009, bukan 1959. Pendekatan rakyat, kesedaran banyak, perkembangan negara-negara jiran yang lebih demokratik, yang lebih menghormati prinsip dan nilai kebebasan. Ahli-ahli Yang Berhormat pendidikannya di luar negara. Pendidikannya dalam bidang guaman yang sepatutnya ambil sikap terbuka, faham makna demokrasi, apa kebebasan, keluhuran Perlembagaan. Akan tetapi, dalam tindakan mereka itu begitu tertutup bukan sekadar katak yang lompat sahaja.

Akan tetapi, ini sepertimana yang pernah disebut oleh Almarhum Dato’ Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian. Bukan setakat katak tetapi betul-betul sikap yang primitif, katak di bawah tempurung. Katak itu sudahlah durjana sikapnya kalau suka asyik lompat di tempat yang tidak sesuai tetapi bila katak di bawah tempurung, ia tidak melihat keluar. Ini yang menjadikan sikap mereka seperti mana yang disebut tadi iaitu ketidaksediaan untuk melihat proses demokrasi itu harus segar.

Pembangkang atau Pakatan Rakyat harus bersedia menyertai bersama dalam projekprojek dan kerja-kerja yang boleh membangunkan ekonomi negara, pimpinan kerajaan juga harus menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan tidak terus menekan, menghina, mengaibkan dan mendera semata-mata kerana orang itu berbeza pendapat. Ini sikap yang kita harap terutama tokoh-tokoh yang baru, termasuk Ketua Penerangan UMNO yang baru yang sepatutnya mengambil sikap dan pendekatan yang lebih terbuka dan tidak melihat politik itu hanya monopoli, sempit, golongan elit yang berkuasa.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya harap soal pengurusan kerajaan, good governance tidak boleh diketepikan dalam membahaskan soal belanjawan atau bajet kerana keyakinan dalam domestik atau keyakinan pelabur asing itu terkait secara langsung dengan keupayaan kita membawa dan menjana perubahan besar dalam beberapa isu pokok yang termasuk hal yang saya tekankan dan saya percaya rakan-rakan yang lain akan memberi singgungan yang berikutnya.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat daripada Permatang Pauh. Saya boleh menerima konsep ataupun prinsip demokrasi yang disebutkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh sebentar tadi di mana beliau menyeru supaya kami daripada sebelah Barisan Nasional ini menerima hakikat iaitu sepatutnya akur dengan keputusan rakyat dan tidak ada diskriminasi ataupun kezaliman kalau hendak digunakan perkataan yang lebih hebat lagi dari segi pengagihan peruntukan dan sebagainya. Akan tetapi yang menjadi persoalan kepada kita di Malaysia ini, adakah…

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Salak, singkatkan. Sudah jam 1.01 petang.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Salak, singkatkan. Sudah jam 1.01 petang.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang menjadi persoalan ialah adakah pihak Pembangkang mengamalkan prinsip demokrasi yang sebenarnya? Mereka sendiri tidak menunjukkan bahawa mereka menerima keputusan-keputusan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip demokrasi.

Jadi bagaimana mungkin kita boleh hendak melaksanakan praktis demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Yang Berhormat itu tadi. Saya beri contoh umpamanya di dalam Perak, apabila sebelas bulan Pakatan memerintah Perak, mereka tidak menerima demokrasi ya. Tidak menerima. Ini Yang Berhormat Taiping menyalahgunakan kuasa di Perak.

Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Permatang Pauh beri respons.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Siapa yang salah guna, BN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya. Terima kasih. Ringkas sahaja sebab saya hendak tamatkan dan terima kasih.

Sebenarnya ini ada sambungan daripada yang disebut Yang Berhormat Kota Raja. Apa yang kita minta sebenarnya ialah soal pengagihan perbincangan yang sopan supaya kerja-kerja dalam pentadbiran itu tidak tergugat semata-mata kerana perselisihan amalan dan fahaman politik, itu sahaja.

Kalau saudara Yang Berhormat daripada Pasir Salak bangkitkan soal demokrasi itu dia Kung Fu Tze menyebut tentang principal of reciprocity. Apabila keadaan dizalimi di atas, responsnya itu susah. Akan tetapi, keadaan orang yang bertanggungjawab di atas itu dapat menghormati prinsip dan keluhuran Perlembagaan, respons itu sewajarnya akan juga lebih baik dan lebih bertanggungjawab. Jadi, tidak boleh kita pertahankan kezaliman mana-mana pihak. Kalau ada bukti yang jelas di mana ada kecurangan mana pihak juga, kita tidak akan pertahankan. Akan tetapi, Yang Berhormat dari Pasir Salak juga harus terima Tuan Yang di-Pertua bahawa kecurangan ini, diskriminasi ini tidak boleh diterima.

Orang asing, kalau orang dengar termasuk negara berkembang dia tengok sikap kita dalam negara ini, itu memalukan sebenarnya. Prinsip basic dalam human right, democratic principal itu tidak dihormati. Tengok media yang dikuasai, tengok projek peruntukan yang disebut Yang Berhormat Kota Raja, itu kenyataannya dan sebab itu belanjawan ini adalah kesempatan yang sebaiknya kita angkat perkara ini untuk pertimbangan kerana walaupun Menteri tidak dengar, sekurang-kurangnya dia meneliti supaya ada jawapan yang lebih positif supaya principal of reciprocity ikut Confucius ini dapat diterima. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, ini sebagai ingatan bahawa perbahasan cuma lapan hari, ini dari 26 Oktober sehingga 5 November selepas itu Menterimenteri menjawab seperti biasa empat hari dari 9 November sehingga empat hari.

Jadi sebagai ingatan seperti yang diberi contoh Yang Berhormat Permatang Pauh dia berucap cuma sejam setengah. Saya mohon nanti pada tengah hari apabila ada ucapan daripada pihak kerajaan, kalau boleh jangan panjang lebarkan. Pencelahan pun, kalau umpamanya ada hujah yang sangat perlu dihujah baru buat pencelahan. Kalau point itu point yang perlu dibawa dalam perbahasan, Yang Berhormat tunggu sehingga dipanggil berbahas.

Jadi kita mahu bersikap adil dalam hal ini, saya mahu pada persidangan ini semua Ahliahli Yang Berhormat dapat bercakap pada akhir persidangan dan kita tidak mahu hadkan ada lima minit, kadang-kadang tiga minit.

Jadi tengah hari nanti saya akan panggil daripada belah pihak kerajaan, selepas itu pada pihak pembangkang. Jadi saya telah diberitahu bahawa wakil DAP dari Yang Berhormat Bagan mewakili DAP berucap. Beri pertimbangan kepada rakanrakan yang juga mahu berucap. Jangan terlampau panjang dan penjelasan sedemikiannya.

Selepas itu berbalik lagi kepada BN dan wakil-wakil BN itu kalau boleh daripada wakil-wakil parti komponen yang bukan dalam pihak kerajaan diberi laluan untuk berbahas.

Selepas itu nanti kita panggil daripada wakil daripada PAS pula. Jadi dengan itu Ahliahli Yang Berhormat saya ucap terima kasih oleh kerana pada hari ini cukup tenang dan perbahasan cukup mantap dan waras dan mesyuarat kita tangguhkan sehingga pukul 2.30 petang nanti.

Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.06 petang.

Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

No comments:

Post a Comment