Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Friday, November 13, 2009

Mekah pusat bumi dan ibadat

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

MEKAH atau juga disebut Bakkah, tempat di mana umat Islam melaksanakan
ibadah haji dan umrah terbukti sebagai tempat yang pertama diciptakan
Allah SWT dan sebagai pusat bumi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Adalah
sama tengah bumi itu ialah kaabah".

Dari tanah itulah Allah SWT menjadikan dada Nabi Adam a.s. Bahawa yang
pertama berada pada Kaabah Allah itu para malaikat, kemudian dijadikan
Adam selama 2,000 tahun sebelumnya.

Kemudian daripada itu para malaikat itu selalu memakmurkan Kaabah
Allah itu dengan beramal kepada-Nya, sebelum Nabi Adam dijadikan oleh
Allah SWT.

Selepas itu Allah dengan kehendak- Nya untuk menjadikan Adam di
syurga. Kemudian Allah memerintahkan untuk turun ke bumi ini, dengan
segala hikmah-Nya.

Maka turunlah Nabi Adam di sebuah pulau Sarandip, dan setelah
dikurniakan Allah pada suatu tingkat di syurga, kemudian Allah
berfirman maksudnya: "Wahai Adam, berjalanlah engkau", Maka ia
pergilah berjalan sehingga sampai pada negeri Hindi/India. Setelah itu
kemudian berdiamlah Nabi Adam di sana pada jangka waktu berselang
lamanya.

Maka Nabi Adam merasa berdukacita dan kemudian Allah berfirman maksud-
Nya: "Wahai Adam, pergilah menunaikan haji kepada Kaabah Allah. Maka
pergilah Nabi Adam, dan setiap bekas jejak kakinya itu menjadi hutan
rimba dan padang luas/gurun, sehingga tibalah Nabi Adam di Mekah serta
bertemulah dengan para malaikat, seraya malaikat itu berkata: "Wahai
Adam, berbahagialah haji tuan hamba, dan kami ini sudah sejak 2,000
tahun yang lalu mengerjakan haji pada kaabah ini.

Maka Nabi Adam berkata kepada malaikat itu: "Bagaimana bacaan pada
waktu tawaf itu? Jawab malaikat itu kami membaca tasbih sebagai
berikut: Subahanallahi wal-hamdulillahi wa la ila ha illallahu wallahu
akbar.

Kemudian Nabi Adam bertawaflah di kaabah itu, serta membaca tasbih
kepada-Nya dan Nabi Adam mengerjakan haji setiap tahun sekali dan
seterusnya semasa hidupnya itu.

Pada riwayat Ibnu Abbas r.a menyebutkan: "Ketika Allah SWT menurunkan
Nabi Adam AS ke bumi, maka Allah berfirman maksud-Nya: Wahai Adam,
buatkanlah sebuah istana-Ku, kemudian Nabi Adam membuat/membina Kaabah
atau Baitullah al-Haram untuk mematuhi atas perintah-Nya.

Kemudian setelah itu kaabah dibina dengan lima buah batu bukit.

Pertama, bukit Tursina, kedua, bukit Hira', ketiga, bukit Uhud,
keempat, bukit Juddi dan kelima, bukit Baitulmaqdis.

Menurut kajian ilmiah, bahawa bola bumi ini pada mulanya tenggelam di
dalam air iaitu samudera yang sangat luas. Kemudian gunung api di
dasar samudera ini meletus dengan keras dan mengirimkan lava dan magna
dalam jumlah yang besar yang membentuk bukit.

Bukit itulah tempat Allah memerintahkan untuk menjadikan lantainya
dari Kaabah (kiblat). Batu asal Mekah dibuktikan oleh kajian ilmiah
sebagai batu paling purba di bumi.

Setelah itu Allah terus menerus memperluas dataran dari tempat ini.
Jadi tempat ini merupakan tempat yang paling tertua di dunia. Nabi SAW
bersabda maksudnya: "Kaabah itu adalah sistem tanah di atas air, dari
tempat itu bumi ini diperluaskan".

Arah kiblat

Prof. Hussain Kamel, menemukan suatu fakta mengejutkan bahawa Makkah
adalah pusat bumi. Pada mulanya ia meneliti suatu cara untuk
menentukan arah kiblat di kota-kota besar di dunia.

Untuk tujuan itu, ia menarik garis-garis pada peta, dan setelah itu ia
mengamati dengan saksama posisi ketujuh benua terhadap Mekah dan jarak
masing-masing.

Ia memulai untuk menggambar garis-garis sejajar hanya untuk memudahkan
projek garis bujur dan garis lintang. Ia kagum dengan apa yang
ditemukan, bahawa Mekah merupakan pusat bumi atau dunia. (Majalah al-
Arabiyyah, edisi 237, Ogos, 1978).

Gambar-gambar satelit yang muncul kemudian pada tahun 90-an menekankan
hasil dan natijah yang sama, ketika kajian-kajian lebih lanjut
mengarah kepada topografi lapisan-lapisan bumi dan geografi waktu
daratan itu diciptakan.

Telah menjadi teori yang mampan secara ilmiah bahawa lempengan-
lempengan bumi terbentuk selama masa geologi yang panjang, bergerak
secara teratur di sekitar lempengan Arab. Lempengan-lempengan itu
terus menerus memusat ke arah itu seolah-olah menunjuk ke arah Mekah.

Allah berfirman maksud-Nya: Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-
Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul
Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri di sekelilingnya).
(asy-Syura: 7).

Kata Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain, dan kota-kota di
sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain, dan
yang lain hanyalah berada di sekelilingnya.

Lebih dari itu, kata ummu (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan
luas di dalam peradaban Islam. Sebagaimana seorang ibu adalah sumber
dari keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri
lain serta keunggulan di atas semua kota.

Ada beberapa ayat dan hadis nabawi yang memperkuatkan fakta ini. Allah
berfirman maksud-nya: Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup
menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu
tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan).
(ar-Rahman: 33).

Berdasarkan ayat ini dan beberapa hadis dapat difahamkan bahawa
diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh
lempengan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu
bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan langit.

Selain itu ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah,
tempat kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan
tujuh lapisan yang membentuk bumi.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Wahai orang-orang Mekah, wahai orang-
orang Quraisy , sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit".

Berdasarkan kajian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah
bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah,
bukan Greenwich, yang seharusnya dijadikan rujukan waktu dunia.

Hal ini akan mengakhiri kontroversi yang timbul pada empat dekad yang
lalu oleh kalangan Barat.

Ada banyak perdebatan ilmiah untuk membuktikan bahawa Mekah merupakan
wilayah kosong bujur sangkar yang melalui kota suci tersebut. Jika
waktu Mekah diterapkan, maka mudah bagi setiap orang mengetahui waktu
solat.

Arah lawan jam

Dalam Islam, ketika seseorang sedang tawaf di sekitar kaabah, maka ia
memulai dari Hajar Aswad, dan gerakannya harus berlawanan dengan arah
jarum jam.

Hal itu adalah penting mengingat segala sesuatu di alam semesta dari
atom hingga galaksi itu bergerak berlawanan dengan arah jarum jam.

Begitu juga peredaran darah manusia mulai gerakan berlawanan dengan
arah jarum jamnya. Perputaran bumi pada porosnya dan di sekeliling
matahari juga secara berlawanan dengan arah jarum jam.

Matahari dengan semua sistemnya mengelilingi suatu titik tertentu di
dalam galaksi dan semuanya berputar berlawanan dengan arah jarum jam.

Sementara itu, jika dilihat orang-orang yang tawaf di sekeliling
kaabah tidak putus-putus sepanjang masa mengelilingi kaabah, siang dan
malam berterusan tidak henti-hentinya, sampai ke akhir zaman.

Ini membuktikan kota Mekah adalah kota suci tertua dan sebagai simbol
tamadun peradaban umat manusia serta ibadah dan sebagai pusat bumi
atau dunia seperti dirakamkan dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.

No comments:

Post a Comment