Rezeki Dari Allah.
MANUSIA sering bimbang mengenai rezekinya -- apakah ada atau tidak cukup?
Tetapi apakah itu rezeki?
Adakah harta atau wang ringgit itu rezeki?
Menurut Islam, Allah swt berkehendakkan kita supaya bercakap benar dan
jangan melakukan yang batil. Buatlah apa yang diredai Allah dan ketahuilah
bahawa rezeki kita berada di tangan-Nya. Tidak seorang pun yang boleh
mengambil atau menyekat rezeki kita.
Allah telah menerangkan kepada kita bahawa Ia mengurniakan Qarun dengan
harta yang banyak. Namun Qarun tidak pernah puas kerana angkuh.
"Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.' Dan
apakah ia tidak mengetahui bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan
umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak
mengumpulkan harta? (Surah Al-Qasas: 78)
Sesungguhnya rezeki itu tidak berperanan pada harta, darjat, keturunan atau
pangkat saja, malah ia memainkan peranan mendapatkan keredaan Allah dari
segi percakapan dan amalan. Di sinilah kita dapat memahami maksud firman
Allah yang berikut, yang bermaksud:
Dan jadilah orang-orang (yang sebelumnya) itu mencita-citakan kedudukan
Qarun itu berkata: Aduhai, benarlah Allah telah melapangkan rezeki bagi
sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya. Kalau
Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita, benar-benar Dia telah
membenamkan kita (pula). Aduhai, benarlah! Tidak beruntung orang-orang yang
mengingkari (nikmat Allah). (Surah Al-Qasas: 82)
Allah telah mengurniakan orang-orang yang bermaksiat terhadap-Nya dengan
harta yang banyak atau darjat keduniaan yang tinggi.
KEMURKAAN
Jika ditinjau dari segi zahirnya, ini adalah satu kebaikan bagi mereka.
Namun yang sebenarnya adalah khilaf. Harta dan pangkat ada kalanya tidak
mendatangkan kebaikan.
Allah berfirman yang bermaksud:
Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar
baginya (dari sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki dari
sumber-sumber yang tidak diduga. (Surah At-Talaaq: 2 & 3)
Bertakwa kepada Allah dan mengetahui akan sebab-sebab rahmat-Nya adalah
rezeki yang sebenarnya. Oleh yang demikian, Rasulullah saw tidak
mengibaratkan kerana banyak harta itu adalah kaya, akan tetapi kesucian itu
adalah diiktibarkan kaya yang sebenarnya. Baginda pernah bersabda dalam
hadisnya yang bermaksud:
Bukanlah kekayaan itu oleh sebab banyak harta yang dipamerkan akan
tetapikekayaan itu adalah kekayaan jiwa.
Bukanlah nikmat Allah yang zahir yang dilimpahkan kepada manusia dengan
harta yang banyak dan sebagainya menunjukkan kebaikan dan keredaan Allah.
Bukanlah dugaan Allah ke atas hamba-Nya satu dalil yang menunjukkan
kemurkaan Allah. Perkara ini adalah sebaliknya.
Boleh jadi sesiapa yang telah dilimpahkan oleh Allah dengan pelbagai nikmat
itu mungkin dianggap sebagai satu "pujukan atau umpanan yang berperingkat'
dan berkemungkinan pula sesiapa yang diduga oleh Allah adalah sebagai satu
kelebihan di sisi-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada
mereka itu (bererti bahawa) Kami segera memberikan kebaikan-kebaikan kepada
mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. (Surah Al-Mukminuun: 54 & 56)
Rasulullah pula ada menegaskan dalam sebuah hadis yang maksudnya:
Apabila kamu melihat seseorang itu dikurniakan atasnya rezeki dan masih
bermaksiat kepada Allah, maka ketahuilah kamu bahawa ini sesungguhnya adalah
satu pujukan atau umpan.
Oleh yang demikian, janganlah kamu sangka bahawa sedikit harta itu adalah
jauh daripada rezeki Allah.
DOSA-DOSA
Berkemungkinan bahawa orang-orang yang diberi nikmat rezeki itu adalah
sebagai nikmat yang negatif seperti menjauhkan daripada penyakit dan
dosa-dosa sehingga dia meninggalkan dunia ini dengan penuh kesucian dan
beroleh kemenangan dengan syurga yang abadi.
Rezeki di sisi Allah dikurniakan untuk semua makhluk sama ada dari golongan
manusia, jin, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Allah mengurniakan rezekinya pada
had yang tertentu seperti firmannya yang bermaksud:
Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang
dijanjikan kepadamu. (Surah Az-Zaariyaat: 22)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
Dan tidak ada satu binatang yang melata (segenap makhluk Allah yang
bernyawa) pun di bumi melainkan Allahlah yang memberikan rezekinya dan Dia
mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. (Surah
Huud: 6)
Tidak ada makhluk di muka bumi ini yang berupaya menambah atau mengurangkan,
mempercepatkan atau melewatkan rezeki seseorang. Rasulullah saw telah
bersabda dan menekankan hal ini dalam hadisnya yang bermaksud:
Ketahuilah! Jika sesuatu umat itu dikumpulkan untuk memberi manfaat kepada
kamu, nescaya tidak akan terlaksana melainkan sesuatu yang telah ditulis
oleh Allah bagi kamu dan jika mereka memudaratkan kamu, tidak juga akan
terlaksana melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah. Diangkat
'Kalam-kalam' dan dibentangkan 'Buku-buku'.
Maksud 'kalam' di sini ialah "kuasa mentakdirkan rezeki dan ajal", manakala
'buku' pula adalah segala apa yang telah termaktub sejak dari azali sebelum
Allah menjadikan langit dan bumi seperti yang diriwayatkan oleh Muslim
daripada Rasulullah yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah menetapkan kuasa ketakdiran-Nya sebelum dijadikan
langit dan bumi dalam lima puluh ribu tahun.
Di sini ternyata kepada kita bahawa seorang Mukmin yang sempurna imannya
tidak khuatir pada rezekinya kerana yang mengurniakannya adalah Allah swt.
IMAN DAN TAKWA
Iman dan takwalah yang dapat memainkan peranan bagi memahami ujian Allah
bahawa kekayaan dan kemiskinan itu terletak di tangan Allah sebagaimana yang
difirmankan-Nya:
Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan
diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: "Tuhanku telah memuliakanku'.
Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia
berkata: "Tuhanku menghinaku". (Surah Al-Fajr: 15 & 16)
Berjuta-juta manusia mati kelaparan disebabkan kemarau yang berpanjangan.
Ajal mereka telah sampai sebagaimana yang ditetapkan Allah swt sejak dari
azali lagi. Dengan kembalinya seseorang itu maka terhenti dan terputuslah
rezekinya. Dengan kembalinya seseorang itu ke hadrat Ilahi, maka terhenti
dan terputuslah rezkinya. Al-Quran ada menerangkan yang bermaksud:
Maka apabila telah datang ajalnya, mereka tidak dapat mengundurkannya barang
sesaat pun dan tidak (pula) memajukannya. (Surah Al-Araaf: 34)
KESESATAN
Rasulullah telah menerangkan dengan jelas dalam wasiatnya kepada Ibnu Abbas
yang bermaksud:
Jagalah Allah semoga Allah akan menjaga kamu; jagalah Allah semoga kamu
mendapati-Nya berhadapan dengan kamu; jika kamu mohon pertolongan, maka
mohonlah kepada Allah.
Inilah wasiat yang tidak syak lagi bahawa Allah sajalah yang memberi manfaat
dan memudaratkan; merendah dan meninggikan; memulia dan mengeji; menghidup
dan mematikan. Tidak ada suatu makhluk sama ada individu atau kumpulan
masyarakat yang dapat memberi kesan pada manusia melainkan dengan izin
Allah. Firman Allah, bermaksud:
Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang
menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan
kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Anaam: 17)
Kesimpulannya, apa yang boleh mendatangkan manfaat bagi seseorang, itulah
rezekinya yang sebenar. Selain daripada itu, apa yang diperolehinya itu
boleh membinasakan dan menyesatkannya.
Wassalam!
No comments:
Post a Comment