Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, December 29, 2009

Hindarilah Solat Dengan Isbal (Melabuhkan Pakaian Melebihi Mata Kaki) UTK Lelaki

Isbal (اَْلاِسْبَالُ) bermaksud: “Melabuhkan pakaian (seperti seluar, jubah, kain sarung dan semua jenis pakaian) sehingga menutup buku lali (mata kaki). Atau pakaian labuh yang menyentuh bumi (mencecah tanah) sehinggga diseret.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, dia berkata: Ketika ada seorang lelaki yang solat dengan mengenakan pakaian secara Isbal, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam berkata kepadanya, Pergilah dan ambillah wudhu. Lelaki itu pun pergi dan berwudhu semula. Kemudian dia kembali datang dan Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam kembali berkata, Pergilah dan ambillah wudhu Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah, Wahai Rasulullah, mengapa kamu menyuruhnya mengambil wudhu semula? Dia (Rasulullah) diam untuk beberapa ketika, kemudian berkata, Sesungguhnya tadi dia melakukan Solat, sedangkan dia memakai pakaian dengan isbal (melabuhkan pakaiannya melebihi mata kakinya (buku lali)).

Sesungguhnya Allah tidak menerima solat seseorang lelaki yang memakai
pakaian dengan isbal. (Hadis Riwayat abu Daud di dalam kitab as-Sholah,
bab al-isbaal fii as-Sholah, 1/172, no. 638. Juga di dalam Kitab al-Libas,
bab maa jaa fii isbal fii as-Sholah, 4/57, no. 4086. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam al-Musnad, 4/67, an-Nasaai di dalam Kitab as-Sunan al-Kubra di dalam kitab az-Ziinah)

Imam an-Nawawi berkata tentang hadis ini di dalam kitabnya Riyadhus
Sholiheen, no. 795, dan juga di dalam al-majmuu', 3/178 & 4/457: Hadis ini
darjatnya sahih menepati syarat imam Muslim.

Pernyataan yang sama juga (tentang hadis tersebut) dari imam adz-Dzahabi
di dalam al-kabaair, hal. 172, di dalam perbahasan al-Kabiiratul Tsaaniyah
wa al-Khamsiin: Isbaal al-Izaar Ta'azzuzan wa Nahwahu.

Penjelasan

Syaikh Ahmad Syakir menjelaskan bahawa ianya boleh menjadi dalil yang kuat bahawa batalnya solat seseorang yang musbil (yang melakukan isbal) ketika mengerjakannya dengan perasaan sombong. (Rujuk: Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir di dalam al-Muhalla, 4/102, karya Ibnu Hazm) Ibn al-Qayyim menjelaskan berkenaan hadis ini, Pengertian yang dapat diambil dari hadis ini (wallahu a'lam) bahawa memakai pakaian dengan isbal adalah maksiat. Dan setiap orang yang terjerumus di dalam perbuatan maksiat, maka dia akan diperintahkan untuk mengambil wudhu' dan solat. Kerana sesungguhnya berwudhu' itu dapat memadamkan api maksiat. (at-Tahdziib 'alaa Sunan Abi Daud, 4/150)

Isbal terjadi apabila pakaian yang dipakai oleh seseorang itu dilabuhkan
dari atas ke bawah sehingga melebihi mata kaki (buku lali) si pemakai.
Adapun pakaian seperti stokin, khuf, atau yang seumpamanya, maka ia tidak
termasuk dalam kategori pakaian yang boleh mengakibatkan isbal.

Menurut Syaikh al-Islam ibnu Taimiyah, Isbal boleh terjadi tanpa mengira
pakaian sama ada dengan jubah, seluar, atau kain. (Majmuu' al-fataawaa,
22/133)

Hukum isbal secara umum adalah haram walaupun di sana ada beberapa
perbahasan yang agak panjang. Namun, kesimpulannya adalah menjurus kepada haram berdasarkan sekian banyak hadis-hadis yang sahih mengenainya.
Antaranya adalah,

1 - Pakaian yang melebihi kedua mata kaki, maka pelakunya di dalam neraka.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas. An-Nasaai di dalam kitab
az-Ziinah)

2 - Dari Amr bin asy-Syarid, beliau berkata, Dari kejauhan, Rasulullah
Shallallahu alaihi wa Sallam melihat laki-laki yang menjulurkan pakaiannya
sehingga terseret. Maka beliau pun bergegas untuk mendekatinya (dengan
berlari-lari anak) menuju laki-laki tersebut. Beliau pun menegurnya,
Angkatlah kain mu dan bertakwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka
laki-laki itu pun berkata, Aku seorang yang memiliki kaki bengkok dan
kedua lutut ku saling tidak stabil ketika berjalan. Ternyata Rasulullah
Shallallahu alaihi wa Sallam tetap menyatakan, Angkatlah kain mu, kerana
sesungguhnya semua ciptaan Allah adalah baik. Maka, setelah kejadian
tersebut, tidaklah kelihatan laki-laki tersebut melainkan dengan kainnya
sentiasa terangkat sehingga ke tengah-tengah betisnya atau di bawah
sedikit. (Hadis Riwayat Imam Ahmad di dalam al-Musnad, 4/390. Juga
dinyatakan Sahih oleh Syaikh al-Albani di dalam ash-Shahihah)

3 - Berhati-hatilah kamu terhadap perbuatan isbal, kerana perbuatan
tersebut termasuk kesombongan. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4084. Turut
Disahihkan oleh Syaikh al-albani di dalam ash-Shahihah, no. 770)

4 - Dari Ibnu Umar dia berkata, Aku pernah melewati Rasulullah Shallallahu
alaihi wa Sallam, tiba-tiba kain ku melurut turut ke bawah dengan
sendirinya sedikit demi sedikit tanpa sengaja. Maka, Rasulullah
Shallallahu alaihi wa Sallam pun berkata, Wahai Abdullah, angkatlah kain
mu? Lalu aku pun segera mengangkatnya. Kemudian beliau bersabda lagi,
Tinggikan lagi! Maka aku pun menaikkannya lagi. Dan setelah kejadian itu,
aku pun sentiasa menjaga keadaan kain ku. Lalu, sebahagian orang ada
bertanya, Sampai di mana?Sehingga pertengahan betis. (Hadis Riwayat
Muslim, no. 2086)

Telah banyak tersebar dan diketahui secara umum bahawa di sana begitu
ramai sekali kaum lelaki yang gemar melabuhkan pakaiannya sehingga
menyentuh tanah atau melabuhkannya dengan melepasi paras mata kaki (buku lali), namun berlaku sebaliknya pula kepada kaum wanita di mana mereka pula banyak berpakaian seakan-akan tidak cukup kain. Iaitu dengan
mendedahkan aurat kepalanya (tidak bertudung), memakai pakaian ketat dan
malah memendekkan kainnya atau seluarnya sehingga tersingkap betis-betis
mereka.

Bukankah ini sudah menunjukkan suatu perkara yang terbalik sebagaimana
yang dikehendaki oleh syariat? Di mana Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam
memerintahkan agar kaum lelaki supaya tidak ber-isbal (tidak melabuhkan
pakaiannya melebihi buku lali), dan memerintahkan agar kaum wanitanya
melabuhkan kain sehingga sejengkal melebihi buku lali.

Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda, Sesiapa yang melabuhkan
pakaiannya dengan kesombongan, maka Allah tidak akan melihatnya pada Hari
Kiamat. Ummu Salamah bertanya, Bagaimana dengan kaum wanita, apa yang
harus dilakukan pada hujung (bawah) kain mereka? Baginda pun menyatakan:
Kalau mereka melabuhkannya, labuhkanlah sejengkal (dari tengah-tengah
betis). Ia berkata, Sesungguhnya jika seperti itu (hanya sejengkal) maka
kaki mereka akan masih dapat tersingkap. Baginda menjelaskan, Maka,
labuhkanlah sehingga sehasta dan jangan lebih dari itu. (Hadis Riwayat Abu
Daud, 4/364, no. 4119. an-Nasaai, 8/209, no. 5336-5339. at-Tirmidzi,
4/223, no. 1736. Ahmad di dalam al-Musnad, 2/5555. Dan Abul Razak
as-Sanani di dalam al-Mushannafnya 11/82.. Berkata Imam Muslim: Sanad hadis ini sahih)

Di dalam suatu hadis, dari Ibnu Abbas radhiyallahu anhu, beliau
menjelaskan, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam melaknat kaum lelaki
yang menyerupai kaum wanita, begitu juga dengan kaum wanita yang
menyerupai kaum lelaki. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa
Sallam telah melaknat seorang lelaki yang mengenakan pakaian wanita,
begitu juga dengan wanita yang mengenakan pakaian lelaki. (Hadis Riwayat
Abu Daud, 4098)

Dari Khorosyah bin al-Hurr, dia berkata, Aku melihat Umar al-Khathtab, dan
ketika itu ada seorang pemuda yang mengisbalkan pakaiannya sehingga
menyentuh ke tanah. Maka beliau pun memanggilnya dan bertanya kepadanya, Adakah engkau datang haid tadi? Lelaki itu pun bertanya kembali kepada Umar, Wahai Amirul Mukminin, adakah lelaki juga datang haid? Maka Umar pun bertanya lagi, Jika begitu, mengapa engkau melabuhkan pakaianmu sehingga ke tapak kakimu (yang menunjukkan perbuatan melabuhkan pakaian adalah khusus untuk wanita - penulis)? Setelah itu, beliau meminta sebilah pisau dan kemudian beliau pun mengumpulkan hujung pakaian pemuda tadi (yang dilabuhkan) lalu memotong bahagian yang labuh melebihi mata kaki. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 8/293 dengan sanad yang sahih)

Lebih lanjut, sila rujuk artikel sebelumnya di http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/08/hal-014-isbal.html atau http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/07/larangan-isbal-melabuhkan-pakaian.html

Kesimpulannya

Hukum isbal (perbuatan melabuhkan pakaian sehingga melepasi mata kaki)
bagi lelaki adalah haram.. Apatah lagi jika ia turut dilakukan di dalam
solat, maka ianya boleh mengakibatkan terjejasnya kesempurnaan solat
seseorang itu sebagai mana yang dijelaskan melalui hadis yang awal di
atas. Begitu juga dengan berdasarkan hadis-hadis tentang isbal yang
lainnya.

والله اعلم والحمد لله رب العالمين

No comments:

Post a Comment