Artikel penuh/asal: Klik
Artikel ini adalah sebuah jawaban kepada Yusri Mohamad, seorang Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga merupakan Bekas Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM).
Beliau sebagaimana tulisannya yang disiarkan di dalam Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 November 2009, Sabtu, di bahagian Rencana, m/s. 10, Bertajuk: Mencari Kebenaran Beragama: Menyeru supaya umat Islam mengikuti praktik agama (Islam) yang dianut oleh golongan majoriti dengan alasan menggunakan kalimah as-Sawadul A’zam dan arus perdana.
Berikut dinukilkan sebahagian perkataan beliau sebagaimana rujukan:
1 - Tolaklah Yang Syaaz (ganjil), Ikutilah Arus Perdana...
2 - ...panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi).
3 - ...mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, surah al-Nisa’ dan hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini di atas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawadul A’zam (majority ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka.”
4 - ... Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya di dalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yasin di waktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi.
(Sekian nukilan)
Jadi, atas sebab tulisan beliau tersebut, maka artikel ini pun diusahakan dan disusun dengan harapan mampu memberi penjernihan.
Ini setelah dikenal pasti bahawa artikel beliau banyak membawa kerancuan berbanding kebenaran. Dan artikel beliau tidak berpijak kepada realiti prinsip agama yang sebenar yang berdiri di atas dalil-dalil yang sahih berpandukan kefahaman generasi awal umat Islam. Bahkan beliau secara halus cuba mempengaruhi golongan awam supaya meninggalkan prinsip generasi awal (salaf as-Soleh dari kalangan ulama sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam) dengan mengajak supaya mengikuti agama arus perdana.
Walau bagaimanapun, artikel berikut ini hanya memfokuskan kepada maksud sebenar as-Sawadul A’zham. Sekaligus menunjukkan Yusri Mohamad telah keliru di dalam memahami makna as-Sawadul A’zham dan kefahaman beliau tersebut perlu ditinggalkan.
Hadis Iftiraqul Ummah (Perpecahan Umat):
Apabila membahaskan berkenaan hadis as-Sawadul a’zham, ia akan turut membawa kita kepada hadis iftiraqul ummah (perpecahan umat). Maka, di sini dibawakan beberapa hadis berkaitan secara ringkas.
Telah mengkhabarkan kepadaku Waqiq, daripada ‘Abdul ‘Aziz iaitu al-Majisyun, daripada Shodaqah B. Yasar, dari an-Numairi, daripada Anas B. Malik, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya bani Isra’il telah berpecah menjadi tujuh puluh golongan, dan ke atas kamu juga akan berlaku perpecahan sebagaimana mereka, semuanya ke Neraka kecuali satu golongan.” (Hadis Riwayat Ahmad, 19/241, no. 12208. Musnad Ahmad, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)
Berkata Syaikh Syu’aib al-Arnauth (berkenaan hadis tersebut):
Hadis ini sahih dengan syawahid (sokongan/penguat). Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah, Ibn Abi ‘Ashim di dalam as-Sunnah, daripada Hisyam B. ‘Ammar, daripada al-Walid B. Muslim, daripada al-‘Auza’i, dari Qotadah, daripada Anas, dengan lafaz: “Semuanya di Neraka kecuali satu (golongan), dan ia adalah al-Jama’ah”. Dan sanadnya hasan dengan syawahid. Dan daripada Abi Umamah sebagaimana diriwayatkan Ibn Abi ‘Ashim, Muhammad Nashir al-Marwadzi, ath-Thabrani, al-Laalika’i, dan al-Baihaqi dengan lafaz: “Kecuali as-Sawadul A’zham”. Dan isnadnya hasan.
Juga hadis:
Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan bahawasanya umat ini juga akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Tujuh puluh dua di neraka, dan yang satu di dalam jannah, dan mereka itu adalah al-Jama’ah. (Rujuk: Abi Daud, Sunan Abi Daud, 12/196, no. 3981. Al-Albani, as-Silsilah ash-Shohihah, 1/404, no. 204. Daripada hadis Mu’awiyah B. Abi Sufyan)
Serta:
Dan sesungguhnya bani Isra’il telah berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan ummatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semua mereka di neraka kecuali satu golongan.
(Para sahabat bertanya): Siapakah dia (golongan yang satu) ya Rasulullah?
Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berada pada apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya. (Rujuk: at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 3/235, no. 2565. Al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 6/141, no. 2641. al-Albani, Taraji’at al-‘Allamah al-Albani fi at-Tashih wa at-Tad’if, 1/35, no. 9. Daripada hadis ‘Abdullah B. ‘Amr)
Dalam riwayat yang lain berkenaan golongan yang satu:
Mereka adalah orang-orang yang keadaannya sebagaimana keadaanku dan keadaan para sahabatku pada hari ini. (Nota: Hadis berkenaan perpecahan umat ini diriwayatkan daripada beberapa sahabat, seperti: Abu Hurairah, Mu’awiyah B. Abi Sufyan, Anas B. Malik, ‘Auf B. Malik, Ibnu Mas’oud, Abi Umamah, ‘Ali B. Abi Thalib, Sa’ad B. Abi Waqqas radhiyallahu ‘anhum. Hadis ini adalah hadis yang sahih. Sahihnya hadis ini diperakui oleh antaranya: at-Tirmidzi, al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Baghawi (Syarhus Sunnah), asy-Syathibi (al-I’tisham), Ibnu Taimiyah (Majmu’ al-Fatawa), Ibnu Hibban (Shohih beliau), Ibnu Katsir (Tafsir al-Qur’an al-Adzim))
Penjelasan:
Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali hafizahullah berkata:
Lafaz-lafaz hadis:
1 – Sesiapa sahaja yang berada pada jalan yang aku dan para sahabatku berada hari ini (Ma ana ‘alaihi wa al-Yaum wa ash-Habihi),
2 – al-Jama’ah, dan
3 – as-Sawadul a’zham,
ini maknanya adalah satu dan tidak berbeza, sama, dan tidak berselisih, sejalan dan tidak bertolak belakang, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh al-Ajurri rahimahullah di dalam kitabnya asy-Syari’ah. Beliau berkata:
Rasulullah ditanya, “Siapakah an-Najiyah (golongan yang selamat)?”
Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab dengan jawaban yang ada dalam hadis “Sesiapa sahaja yang berada pada jalan yang aku dan para sahabatku berada hari ini (Ma ana ‘alaihi wa al-Yaum wa ash-Habihi)”.
Juga menjawab dengan jawaban yang ada dalam hadis yang kedua (al-Jama’ah).
Juga yang ada di dalam hadis yang ketiga iaitu as-Sawadul a’zham dan ada juga di dalam hadis yang keempat, iaitu “semuanya di neraka kecuali satu, iaitu al-Jama’ah”.
Al-Ajurri berkata: (Semua itu) Maknanya satu insya Allah. (Rujuk: Salim ‘Ied al-Hilali, Mengapa Memilih Manhaj Salaf (Judul Asli: Limadza Ikhtartu al-Manhaj as-Salafy?), m/s. 61-62, Pustaka Imam Bukhari, Cet. 5, 2007)
Berkenaan perkataan al-Jama’ah, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menyebutkan (menjelaskan) sebagaimana berikut:
Sesungguhnya kebanyakan manusia berpecah dari al-Jamaah dan al-Jamaah itu adalah apa yang bersesuaian dengan kebenaran meskipun anda berseorangan. (Rujuk: Imam ‘Abdurrahman B. ‘Ismail Abu Syamah, al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, 1/22)
Sesungguhnya al-Jama’ah itu adalah sesiapa yang mengikuti ketaatan kepada Allah meskipun engkau berseorangan. (Rujuk: al-Laalika’i, Syarah Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, 1/163)
Abu Syamah rahimahullah berkata:
Sebenarnya pilihan yang terbaik untuk diri anda adalah memilih Allah dan Rasul-Nya, di mana telah datang perintah supaya berpegang teguh kepada al-Jama’ah. Maka yang dimaksudkan dengannya adalah berpegang teguh kepada kebenaran dan mengikutinya, walaupun orang yang berpegang teguh itu sedikit dan yang menyelisihinya itu banyak. Kerana kebenaran adalah apa yang berada pada Jama’ah (kumpulan) pertama, iaitu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama para Sahabatnya. Dan janganlah kita mengambil kira golongan setelah mereka yang berada di atas kebatilan walaupun jumlah mereka adalah ramai (majoriti). (Rujuk: Imam ‘Abdurrahman B. ‘Ismail Abu Syamah, al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, 1/22)
Ibnu Hibban berkata di dalam Shohihnya:
Abu Hatim berkata: Perintah berjama’ah disebutkan dengan lafaz umum, tetapi apa yang dimaksudkan adalah khusus, kerana al-Jama’ah adalah ijma’ para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dengan itu, sesiapa yang berpegang teguh kepada apa yang ditempuh oleh para sahabat (mengikuti prinsip para sahabat) walaupun mereka bersendirian (terasing) dari orang-orang setelah mereka, maka mereka tidaklah termasuk orang-orang yang menentang dan menyelisihi al-Jama’ah. Tetapi sesiapa yang menyelisihi para Sahabat dan mengikuti prinsip orang-orang setelah mereka (setelah para sahabat), maka dia adalah terkeluar dari al-Jama’ah (menyelisihi al-Jama’ah). Sedangkan pengertian al-Jama’ah setelah sepeninggalan para Sahabat adalah orang-orang yang pada diri mereka berkumpul tiang-tiang agama, akal, dan ilmu, serta sentiasa meninggalkan hawa nafsu yang ada pada mereka dan jumlah mereka adalah sedikit. Dan bukanlah al-Jama’ah itu kumpulan manusia sebarangan dan orang-orang kecil yang tidak berilmu walaupun jumlahnya ramai. (Rujuk: Ibnu Hibban, Shohih Ibnu Hibban, 26/6)
Maksud Sebenar as-Sawadul A’zham
Berkata Imam Ibnul Atsir rahimahullah:
Dan yang dimaksudkan dengan 'Alaikum bi as-Sawadul A'zham (Kamu di atas as-Sawadul A'zham) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemimpin) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus). (Rujuk: Ibnul Atsir, an-Nihayah Fi Ghoribil Hadis, 2/1029)
Berkata Imam al-Barbahari rahimahullah:
Wahai saudaraku rahimakallah, bahawasanya agama itu adalah hanya apa yang datang dari Allah Tabaraka wa Ta'ala dan bukanlah apa yang ditetapkan oleh akal serta pemikiran manusia. Setiap ilmu agama itu sumbernya adalah dari Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu sehingga kamu terlepas dari agama lalu keluar dari Islam. Tidak ada alasan bagi kamu, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada seluruh umatnya dan mengajarkan kepada para sahabatnya dengan lengkap. Mereka adalah al-Jama'ah dan as-Sawadul A'zham. As-Sawadul A'zham adalah kebenaran dan para pembelanya, maka sesiapa yang menyelisihi para sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam di dalam sebahagian perkara agama, maka dia termasuk orang yang ingkar (kafir). (Rujuk: Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, m/s. 22, Tahqiq: Muhammad Sa'id Salim al-Qahthani)
Ishaq B. Rahawaih berkata (sebagaimana yang dibawakan oleh Imam asy-Syathibi rahimahullah):
Ishaq (B. Rahawaih) berkata: Jika kamu bertanya kepada orang-orang yang jahil berkenaan maksud as-Sawadul A’zham, sudah tentu mereka akan menjawab: majoriti/himpunan (jama’ah) manusia, dan sebenarnya mereka tidak mengetahui bahawa al-Jama’ah itu adalah para ulama yang berpegang teguh kepada atsar (jejak/prinsip) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta golongan yang sentiasa bersama beliau, dan mereka yang mengikutinya adalah al-Jama’ah. (Rujuk: asy-Syathibi, al-I’tisham, 1/482)
Imam asy-Syathibi telah membawakan lima pendapat berkenaan maksud al-Jama’ah. Di antara pendapat tersebut sebagaimana yang telah diringkaskan oleh Syaikh Alawi ‘Abdul Qadir as-Saqqaf:
(Al-Jama’ah) yang dimaksudkan adalah as-Sawadul A’zham (majoriti) dari umat Islam. Dari pandangan ini, yang termasuk ke dalam al-Jama’ah adalah para mujtahid dan ulama ummat ini, para ahli fiqh, serta orang-orang yang mengikuti dan mencontohi mereka. Setiap orang yang tidak mengikuti mereka bererti dia telah memisahkan diri dari al-Jama’ah dan akan menjadi mangsa syaitan. Dan mereka yang tergolong ke dalam kelompok yang keluar dari al-Jama’ah adalah semua ahli bid’ah. Kerana mereka menyelisihi para pendahulu umat ini.... (Rujuk: Alawi B. ‘Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar Kitab al-I’tisham, m/s. 133-134. Edisi Terjemahan: Ringkasan al-I’tisham Imam asy-Syathibi, m/s. 198, Media Hidayah, Cet. 2003M)
Dan setelah membawakan pandangan-pandangan tersebut, beliau (asy-Syathibi) berkata:
Maka lihatlah, dari sini kita dapat mengetahui kesalahan mereka yang mengatakan bahawa al-Jama’ah itu ditentukan berdasarkan majoriti manusia, walaupun tidak terdapat seorang alim pun di dalam kumpulan mereka. Dan bahawasanya ini hanyalah prasangka orang-orang awam, bukannya kefahaman para ulama. Dari itu, kita perlulah memperteguhkan pendirian kita supaya tidak tergelincir sebagaimana mereka dan supaya tidak tersesat memasuki jalan yang buruk. Tiada taufiq untuk itu melainkan hanya dari Allah. (Rujuk: asy-Syathibi, al-I’tisham, 1/482)
Penjelasan Berkenaan Ijma’:
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
Dan sesiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia bergelumang terhadap kesesatan yang telah meliputinya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah an-Nisa’, 4: 115)
Berkenaan ayat ini, al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan:
Firman Allah “Dan sesiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya” adalah sesiapa yang berjalan di atas selain jalan syari’at yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dengan sebab itu dia telah berada di suatu kedudukan tertentu, manakala syari’at pula berada pada kedudukan yang lain. Perkara tersebut berlaku dengan sengaja setelah jelas, nyata dan terangnya kebenaran.
Firman Allah “Dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin” ini saling berkait dengan sifat nash yang pertama tadi. Tetapi, bentuk penyimpangan tersebut boleh merujuk sama ada kepada penyimpangan dari pemberi syari’at atau boleh juga merujuk kepada ijma’ (kesepakatan) umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang telah diketahuinya secara pasti. Kerana ayat ini mengandungi jaminan untuk kesepakatan mereka yang tidak mungkin salah, sebagai pengiktirafan bagi mereka dan pengagungan bagi Nabi mereka. Terdapat begitu banyak hadis sahih yang menjelaskan perkara tersebut. Dan ayat ini pula yang dijadikan sandaran (dasar) oleh Imam asy-Syafi’i rahimahullah di dalam berhujjah iaitu bahawa ijma’ merupakan hujjah yang diharamkan bagi seseorang untuk menyelisihinya, setelah melalui penelitian yang penuh kehati-hatian dan perkiraan yang lama. Perkara tersebut merupakan hasil kesimpulan yang terbaik dan kuat, walaupun terdapat sebahagian ulama yang mempersoalkannya dan menganggapnya terlalu jauh. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 2/412-412)
Dapat kita lihat bahawa Imam asy-Syafi’e menjelaskan ijma’ itu terjadi dengan penelitian yang penuh kehati-hatian. Dan ia merupakan hasil sebuah kesimpulan yang terbaik dan kuat.
Dan perlu kita fahami bahawa sesuatu ijma’ itu terjadi dengan tidak menyelisihi dalil-dalil syar’i. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir bahawa mereka yang menyelisihi syari’at yang dibawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mereka sebenarnya berada pada kelompok lain yang berbeza dari kelompok Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Jadi dengan itu, mereka yang menyelisihi syari’at Muhammad, sebenarnya mereka telah terkeluar dari lingkungan ijma’, biarpun mereka berhujjah bahawa merekalah yang berpegang dengan ijma’ disebabkan ramainya bilangan mereka. Hakikatnya, jumlah yang ramai itu bukanlah ukuran menentukan sesuatu itu berpijak di atas kebenaran.
Para ulama telah bersepakat bahawa umat Islam tidak akan bersepakat melainkan di atas dalil syar’i. Kerana umat ini tidak mungkin bersepakat di atas hawa nafsu dan berkata tentang Allah dengan tanpa ilmu atau berkata tanpa dalil. Sekiranya terdapat di antara mereka yang berkata dan membuat kesimpulan sesuatu hukum tanpa berpijak kepada dalil, maka ini adalah merupakan kesalahan. Dan ijma’ itu sesekali tidak mungkin terjadi dengan menyelisihi dalil.
Malah, sekiranya masing-masing mengeluarkan pendapat tanpa berpandukan kepada dalil, nescaya tidak akan terjadi penyatuan tetapi bahkan sebaliknya perselisihan atau perpecahan. Ini dapat diperhatikan berdasarkan realiti yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Mereka saling tidak bersepakat dan berselisih dalam pelbagai perkara. Sebahagian besar dari mereka meninggalkan tafsiran-tafsiran agama yang telah dirintis oleh para sahabat (generasi awal umat Islam). Bahkan mereka mereka-cipta pelbagai jenis ritual-ritual agama yang baru yang tidak pernah diamalkan oleh generasi awal. Mereka menafsirkan agama berpandukan kepada akal, ilmu kalam (mantiq), kasyaf, mimpi, dan seumpamanya.
Akibatnya, terjadilah sebagaimana yang sepatutnya terjadi pada hari ini. Mereka bukan sahaja berselisih dalam persoalan kecil/remeh (yang boleh dimaafkan dan padanya boleh berlapang dada), bahkan soal prinsip pun sudah jauh berbeza, sekaligus membuahkan pelbagai perpecahan dan kelompok. Ini dapat dilihat dengan munculnya pelbagai firqah-firqah dari kalangan umat Islam, bukan sahaja di peringkat negara kita, tetapi global di peringkat dunia.
Di antara contoh yang dapat kita lihat dari pelbagai firqah pemikiran yang muncul dan semakin berkembang pesat adalah seperti menyebarnya gerakan pengebom berani mati yang meletupkan diri membunuh orang awam sesuka hati, kumpulan Hizbut Tahrir yang bermati-matian memperjuangkan aqidah khilafah, kumpulan Tabligh yang mengajak banyak beribadah namun kurang menekankan keilmuan, pelbagai jenis Sufi/Tarekat, munculnya pelbagai kumpulan zikir malah boleh berzikir sambil menyanyi dan menari, gerakan al-Qaeda, kumpulan takfiri (gemar mengkafir), Ikhwanul Muslimin, golongan kuburi (pemuja kubur), pemberontak, anti hadis (Qur'aniyun), al-Asya'irah yang mendahului Allah dalam persoalan ash-Shifat, Syi'ah (pengkafir para sahabat-sahabat Nabi), Murji'ah (yang hanya mementingkan hati dan meninggalkan amal), dan ini hanyalah sebahagian sebagai contoh. Masing-masing saling memiliki kerangka pemikiran dan prinsip beragama yang berbeza-beza.
Wallahu a'lam, sebenarnya dengan munculnya firqah-firqah seperti ini hanya akan lebih membenarkan perkataan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkenaan perpecahan umat di akhir zaman. Golongan arus perdana manakah yang hendak Yusri Mohamad ikuti dari banyaknya golongan seperti ini? Arus manakah yang perlu orang awam ikuti? Sekali-kali tidak akan berlaku penyatuan di atas perbezaan prinsip yang sangat ketara seperti itu. Adalah lebih mustahil lagi untuk mencapai ijma'!
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya, umatku tidak akan bersepakat di atas kesesatan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 11/442, no. 3940. Dari Anas B. Malik)
Imam asy-Syafi’e rahimahullah menjelaskan:
“Bahawasanya mereka (umat Islam) tidak akan bersepakat untuk menyelisihi Sunnah Rasulullah.” (Imam asy-Syafi’e, ar-Risalah, m/s. 472)
Dan ijma’ yang sebenar adalah ijma’ para ulama salaf (generasi awal) dari kalangan para sahabat, kerana di dalam kalangan umat setelah mereka telah muncul ikhtilaf (perselisihan) yang sangat banyak. Keadaan umat setelah mereka jauh berbeza dengan generasi para sahabat. Adalah merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk terjadinya ijma’ setelah generasi para sahabat disebabkan banyak faktor, namun tidaklah bererti ia sesuatu yang mustahil.
Dengan sebab itulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan supaya mengikuti jalan (prinsip) para sahabat. Dan agama itu sendiri datangnya dari kalangan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini adalah kerana mereka merupakan orang-orang yang berguru secara langsung daripada Rasulullah. Dan sesiapa yang menyelisihi mereka dari generasi setelah mereka dalam soal cara beragama, sebenarnya mereka telah menyelisihi ijma’ (kesepakatan para sahabat).
Dengan sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Apabila di antara kamu melihat perselisihan, hendaklah kamu bersama as-Sawadul A’zham. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 11/442, no. 3940. Dari Anas B. Malik)
Dan as-Sawadul A’zham itu adalah sebagaimana yang telah dijelaskan. Di antaranya sebagaimana perkataan Imam al-Barbahari:
As-Sawadul A'zham adalah kebenaran dan para pembelanya, maka sesiapa yang menyelisihi para sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam di dalam sebahagian perkara agama, maka dia termasuk orang yang ingkar. (Rujuk: Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, m/s. 22, Tahqiq: Muhammad Sa'id Salim al-Qahthani)
Dan Rasulullah juga telah menjelaskan bahawa golongan yang selamat itu adalah al-Jama’ah, iaitu mereka yang mengikuti jalan agama yang beliau bawa bersama para sahabatnya.
Ishaq (B. Rahawaih) berkata: Jika kamu bertanya kepada orang-orang yang jahil berkenaan maksud as-Sawadul A’zham, sudah tentu mereka akan menjawab: majoriti/himpunan (jama’ah) manusia, dan sebenarnya mereka tidak mengetahui bahawa al-Jama’ah itu adalah para ulama yang berpegang teguh kepada atsar (jejak/prinsip) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta golongan yang sentiasa bersama beliau, dan mereka yang mengikutinya adalah al-Jama’ah. (Rujuk: asy-Syathibi, al-I’tisham, 1/482)
Golongan Syaazd Atau Golongan Arus Perdana?
Mohamad Yusri turut mempertikaikan mereka yang ganjil (syaazd) dan tidak mahu mengikuti golongan arus perdana. Sekaligus menyeru masyarakat awam supaya mengikuti arus perdana dan meninggalkan yang syaazd (ganjil).
Perkara ini sebenarnya perlu diteliti dan diperhalusi dengan baik. Kerana Islam itu bukanlah sebuah agama yang didirikan di atas kaedah demokrasi.
Tetapi Islam itu adalah agama yang ditegakkan berdasarkan wahyu, tidak semestinya apa yang berlegar sebagai arus perdana itu benar, dan tidak juga semestinya yang syaazd itu salah (batil) dan perlu ditolak.
Untuk itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengingatkan kepada kita melalui banyak firman-Nya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?.” (Surah al-Baqarah, 2: 170)
“Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan.” (al-Ma’idah, 5: 100)
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 116)
Maka, dari itu, biar apa pun keadaannya, sama ada ianya ganjil atau telah menjadi pegangan majority arus perdana. Ia tetap perlu diteliti dengan baik sama ada ianya bertepatan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah atau pun tidak. Dan apakah ianya seiring dengan jalan para ulama salaf (iaitu terutamanya dari generasi awal umat Islam dari era para Sahabat Rasulullah). Penentuan yang benar mahu pun yang salah itu bukan ditimbang-tara dengan neraca demokrasi: yang majoriti itu benar dan yang minoriti itu batil. Tetapi hendaklah ia dinilai dengan wahyu. Dan ia memerlukan kepada ilmu di atas prinsip-prinsipnya.
Bahkan, di dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri, terdapat pengiktirafan untuk mereka yang asing disebabkan mengikuti sunnah di ketika keadaan majoriti manusia meninggalkan as-Sunnah.
“Islam itu bermula asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Hadis Riwayat Muslim, 1/350, no. 208)
Di dalam riwayat yang lain:
“Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing), iaitu orang-orang yang melakukan usaha pembaikan (islah) di ketika manusia berkeadaan rosak.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/219, no. 2554. at-Tirmidzi berkata: Hadis ini hasan Sahih)
“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Para sahabat) bertanya:
“Siapakah al-Ghuroba’ (golongan yang asing/ganjil)?” Rasulullah bersabda:
“Orang-orang yang menjauhi berkelompok-kelompok.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Tahqiq Syu’aib al-Arnauth: Isnad sahih di atas syarat Muslim, para perawinya tsiqah)
Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya meminta Yusri Mohamad membuktikan bahawa amalan-amalan seperti Tahlil Arwah dan beryasinan itu adalah merupakan amalan yang telah diijma’kan. Atau sekurang-kurang merupakan amalan sebilangan sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atau mungkin merupakan amalan yang telah diamalkan oleh jumhur ulama generasi awal setelah era sahabat?
Atau sebenarnya hanya sekadar bentuk-bentuk amalan baru ciptaan manusia terkemudian yang menyelisihi ijma’ para ulama generasi awal?
Sebagai penutup, renung-renungkanlah semula perkataan yang anda nukilkan di awal tulisan anda tersebut:
“Akan ada zamannya, di mana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi”.
Sekaligus sebenarnya telah menafikan kefahaman anda terhadap kalimah as-Sawadul A’zham di akhir-akhir tulisan anda.
Sekian, Wallahu a’lam...
@Nawawi Subandi,
No comments:
Post a Comment