Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ust ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

ustaz shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Sunday, January 3, 2010

Tanggungjawab Menguruskan Harta Pusaka

Harta adalah amanah Allah. Setiap orang di dunia ini dikurniakan harta walaupun sedikit. Namun bila mati harta tersebut kita tinggalkan kepada waris2. Persoalannya adakah kita uruskan harta tersebut dengan sebaiknya supaya dapat diwarisi oleh waris dengan sebaik dan seadilnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Maksudnya: "Tidak berganjak kaki seseorang hamba itu di Padang Mahsyar pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan: tentang umurnya dimanakah dihabiskan, tentang zaman mudanya bagaimanakah digunakan, tentang hartanya bagaimanakah diperolehi dan di mana dibelanjakan dan tentang ilmunya apakah yang diamalkan dengannya".

Bercerita tentang harta pusaka hari ini, maka benar apa yang dikatakan oleh Allah dalam firman-Nya, suarh Al-Fajr ayat 19 yang bermaksud:
"Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan antara yang halal dengan yang haram"
Realiti hari ini menunjukkan bahawa lebih daripada 1 juta kes pusaka tertangguh dengan nilai melebihi RM40 bilion. Daripada jumlah itu, RM38 bilion adalah membabitkan pusaka orang Melayu atau Islam. Ia merupakan jumlah yang sangat besar dan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi umat Islam. Antara faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini ialah ketidaksepakatan waris-waris dalam menguruskan harta pusaka, kejahilan dan ketidakmampuan mereka dengan prosedur-prosedur permohonan harta pusaka dan faktor kos yang diperlukan sepanjang proses permohonan.
Selain daripada itu, kita dikejutkan dengan berbagai kes-kes menyayat hati yang membabitkan waris-waris simati. Ada anak yang sanggup menyaman ibu dan sebaliknya, ada adik yang sanggup membunuh abang sendiri kerana berebutkan rumah pusaka. Sekiranya sudah ada waris yang sanggup membunuh sesama sendiri, sudah tentu kes-kes seperti putus saudara, tersinggung perasaan dan sebagainya yang banyak berlaku merupakan kes-kes terpencil yang jarang diberi tumpuan.

Melihat kepada kes-kes yang berlaku, maka benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Pelajarilah Ilmu Faraidh dan ajarkannya kepada orang lain. Kerana nyawa aku akan dicabut dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah. Lalu akan timbullah fitnah harta sehingga nanti akan ada dua orang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka tidak tahu siapa yang akan menyelesaikan masalah mereka"- Riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Ibn Mas'ud

Harta yang dikurniakan Allah Taala kepada setiap insan yang bernyawa merupakan satu amanah. Ia perlu diuruskan dengan sebaiknya dan setiap pemilik harta perlu memastikan segala hartanya akan dapat diwarisi oleh waris-warisnya dengan seadilnya selepas kematiannya. Amanah ini nanti akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak berganjak kaki seseorang hamba itu di Padang Mahsyar pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan: tentang umurnya dimanakah dihabiskan, tentang zaman mudanya bagaimanakah digunakan, tentang hartanya bagaimanakah diperolehi serta bagaimana digunakan dan tentang ilmunya apakah yang diamalkan dengannya"- Riwayat Tarmizi.

Allah Taala juga telah mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:"Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amalan-amalannya) untuk hari esok (Hari Akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".-Surah Al-Hasyr: 18

Sehubungan dengan setiap pemilik harta di muka bumi ini perlu bertanggungjawab terhadap harta kurniaan Allah. Ini kerana dalam kesibukan mengumpul harta, kadang-kadang kita terlupa tentang kesudahan harta tersebut setelah meninggal dunia. Terfikirkah kita, adakah ia akan diwarisi dengan sebaiknya? dan yang paling penting apakah sumbangan harta itu untuk membantu kehidupan kita di alam kubur dan di akhirat kelak.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud: "Apabila seseorang itu meninggal dunia maka akan putuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa berdoa untuknya"

Oleh itu, sebagai pemilik harta kita sentiasa perlu bersedia, kerana kematian merupakan suatu kepastian yang akan datang bila-bila masa sahaja. Kita bukan sahaja dituntut mencari dan menyimpan harta, bahkan kita juga dituntut agar mengurus dan merancang harta semasa masih hidup. Tujuan utamanya ialah demi masa depan serta kebajikan waris-waris yang bakal kita tinggalkan.

Bercakap tentang menguruskan harta pusaka, kebanyakan masyarakat Islam Melayu akan berkata: "Apa susah-susah sangat nak menguruskan harta pusaka, hukum faraid kan dah ada, bila saya mati nanti waris saya terus boleh faraidkan segala harta yang saya tinggalkan". Memang benar apa yang dikatakan itu. Tetapi cuba kita fikirkan bersama, bila disebut faraid, berapa ramaikah di kalangan kita hari ini yang benar-benar tahu, faham serta mahir tentang ilmu faraid.

Kalaulah umat Islam hari ini benar-benar mengetahui ilmu faraid nescaya mereka tidak akan berbalah dan bergaduh kerana berebutkan harta pusaka, nescaya tidak akan ada mana-mana penama (contohnya KWSP) membolot harta pusaka yang dinamakan atas namanya sebagai pemegang amanah, nescaya tidak akan ada waris yang berani menganianya hak si mati yang belum ditunaikan seperti hutang simati dengan Allah seperti zakat, fidyah dan hutang sesama manusia.

Hari ini disebabkan kerana kejahilan serta sifat tamak yang menguasai diri, ramai dikalangan waris-waris yang sanggup memakan harta pusaka secara batil. Perbuatan yang jelas haram dan berdosa yang telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya)"-Surah Al-Nisa':29.

Banyak musibah yang bakal menimpa umat Islam sekiranya mereka memandang remeh persoalan pengurusan harta pusaka. Perlu difahami bahawa, Faraid bukanlah satu-satunya penyelesaian kepada harta yang dimiliki, kerana ia hanyalah kaedah yang tergunapakai selepas kematian sahaja. Ketika masih hidup, Islam mensyariatkan beberapa kaedah bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengagihkan harta mereka. Antaranya ialah hibah iaitu pemberian harta atas dasar kasih sayang kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki, waqaf, wasiat 1/3 kepada bukan waris dan pengisytiharan harta sepencarian untuk pasangan. Hukum-hukum ini merupakan satu alternatif dalam pembahagian khususnya kepada orang Islam yang tidak mempunyai anak, memiliki anak angkat dan sebagainya sedangkan Faraid hanyalah pembahagian harta kepada waris-waris yang layak sahaja.

Kesimpulannya, umat Islam hari ini perlu ditiupkan kembali jiwa mereka dengan ruh Ilmu Faraid. Ilmu Faraid perlu disebarkan dalam masyarakat dengan nafas baru, supaya masyarakat tidak lagi memandang ia sebagai satu bidang ilmu yang susah untuk dipelajari. Sekurang-kurangnya ia perlu dipelajari supaya setiap individu muslim memahami asas-asas penting dalam ilmu Faraid, seumpama mengenali waris-waris dan hak-hak mereka seterusnya membantu mereka menguruskan harta dengan sebaik mungkin. Natijahnya, waris-waris yang ditinggalkan nanti akan dapat menikmati harta dengan seadilnya dan sebagai pemilik harta, ketenangan di alam Barzakh merupakan satu nikmat yang tidak ternilai. Sekian

Kepada semua umat Islam di Malaysia: Marilah kita bina kembali ruh ilmu Faraid dlm masyarakat. Kongsi ilmu anda, pengalaman, persoalan tentang ilmu ini bersama2. Boleh hubungi saya Ust Qusyairie al-azhari di email: pejuangfaraid@yahoo.com/ahlifaraid@gmail.com

No comments:

Post a Comment