Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ust ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

ustaz shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Saturday, January 23, 2010

mempertingkat kualiti iman

Hanya diri sendiri tahu kekurangan perlu diperbaiki dalam amalan
MANUSIA dinilai dengan kualiti imannya yang terbaik di sisi Allah SWT. Tidak kira siapakah dia di mata masyarakat, hal itu tidak bermanfaat sama sekali melainkan siapakah dia pada pandangan Tuhannya.
Orang ramai boleh memuji kita sebagai seorang yang dermawan, baik budi, warak dan alim. Tetapi mereka tidak mengetahui seperti mana Allah Yang Maha Mengetahui rahsia keburukan dan kekejian yang kita sorokkan daripada pandangan mereka.
Andai setiap perbuatan itu dibukakan untuk pengetahuan umum dan manusia saling melihat secara terang keaiban satu sama lain, rosak binasalah dunia ini. Sesungguhnya perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Namun, jika ada seorang hamba yang sengaja dibukakan aibnya di khalayak ramai, itu semua mengandungi pengajaran dan rahmat baginya supaya tidak menzalimi diri sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk supaya mereka kembali (bertaubat).” (Surah Al-A’raf, ayat 168)

Ketika tahun berganti tahun, azam yang lalu pun tidak sempat lagi dikotakan menjadi bukti. Hanya rahsia kekejian dalam peribadi kita tetap dipelihara dengan rapi, Namun kuasa Allah SWT menggariskan setiap nasib anak Adam menurut qada’ dan qadar-Nya yang mengandungi hikmah supaya kita sedar dan faham bahawa hidup ini tidaklah indah jika tiada matlamat yang menuju kepada Allah SWT semata-mata.
Dari mana kita datang dan hendak ke mana kita menuju?
Kita berjalan membawa dosa umpama seorang pengemis yang membusuk oleh nanah dan darah di seluruh badannya. Bayangkanlah bagaimana seorang insan menghadap Tuhan dengan aib dan cela pada jasadnya. Kehinaan apakah yang paling dahsyat ditimpakan kepada diri kita selain menghadap Allah SWT sambil membawa dosa?
Kita hendaklah membawa kualiti kemuliaan dan kesempurnaan ketika hidup dan apabila pulang kepada Allah SWT nanti. Pada hakikatnya, manusia seperti sebuah kereta, ada enjin, stering, tayar, lampu, kerusi, penghawa dingin, besi badan kuat, warna cat cantik dan radio menyenangkan telinga.
Begitulah kualiti manusia, ada yang berilmu tetapi tidak beramal seperti kereta yang mempunyai enjin tetapi tidak ada tayar. Ada pula yang suka menderma tetapi tidak sembahyang, mungkin dia hanya sebuah kereta yang cantik tanpa brek.
Yang beriman dan ahli ibadat, tetapi kedekut dan tamak pada harta orang lain seperti kereta yang remuk dan tidak sejuk. Yang berjaya dalam hidupnya tetapi melupakan orang tua yang banyak berjasa umpama kereta hilang steringnya. Begitulah keadaan manusia yang tidak sempurna, segala puji hanya milik Allah SWT.
Betapa ramai mereka yang memburu kecemerlangan dunia dan akhirat tetapi sayang ada yang sempurna pada satu bahagian tetapi rosak pada bahagian lain. Rasulullah SAW menggambarkan kesempurnaan kualiti iman seseorang melalui sabdanya yang bermaksud:

“Iman mempunyai enam puluh atau tujuh puluh lebih cabang, yang tertinggi ialah kalimah Lailahaillallah dan terendah ialah menyingkirkan sesuatu gangguan dari jalan, dan sifat malu adalah cabang iman.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bolehkah kita sampai kepada tahap iman yang tujuh puluh lebih cabangnya? Sempurna zahir dan batin, baik dalam hati dan amal perbuatan? Semua kesempurnaan memerlukan proses yang panjang untuk dicapai.
Jalan bagi mendapatkan kualiti iman terbaik sudah diajarkan Baginda SAW kepada umatnya melalui petunjuk Al-Quran dan hadis. Ada yang mengambil petunjuk itu untuk bekalan hidupnya dan ada pula yang meninggalkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada pula yang pertengahan dan ada yang lebih dulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.” (Surah Al-Fathir, ayat 32)

Tiga peringkat iman pada diri seseorang dijelaskan dalam ayat itu, yang menganiaya diri sendiri, pertengahan dan paling terkehadapan dalam berbuat kebaikan. Kita tinggal memilih di mana diri ini harus diletakkan. Jalannya sudah jelas dan terang, hanya hamba yang mendapat pertolongan Allah SWT saja yang menduduki peringkat teratas dalam carta iman itu.
Dulu, sahabat amat suka bertanya mengenai sesuatu amalan yang paling utama. Hadis menceritakan mengenai apa yang utama, paling dikasihi Allah SWT atau yang paling baik dan dekat kepada Allah SWT menjadi pertanyaan ditunggu-tunggu sahabat sebagai tips iman yang boleh mereka ambil setiap kali beramal.
Rasulullah SAW melihat keadaan orang yang bertanya dan memberi jawapan sesuai dengan keadaan orang itu. Jika yang datang bertanya seorang tua dan lemah badannya, Baginda memberi tips terbaik untuk meningkatkan iman dengan banyak berzikir. Berlainan dengan seorang yang gagah, maka Nabi SAW menyuruhnya untuk berjihad meninggikan kalimah Allah SWT dengan kekuatannya.
Sebenarnya, kita juga boleh merasa apakah kekurangan yang belum kita perbaiki dalam amalan sehari-hari. Hanya diri sendiri yang boleh menjawab setiap persoalan ditanya oleh hati kita. Mengapa orang membenci kita? Mungkin ada aib yang perlu dihapuskan dalam pergaulan dengan orang lain.
Atau mengapa hati berasa risau, sedih dan tidak tenang? Kerana hati tidak mendapat makanan tambahan yang diperlukannya untuk hidup dengan sihat. Rupanya sudah lama kita tinggalkan zikrullah, tidak seronok ketika solat, Al-Quran pun tidak tersentuh kedua tangan apatah lagi hati.
Lupa bersyukur dan banyak merungut dengan ketentuan Allah SWT ke atas diri kita. Malas dan tidak merancang dalam menguruskan harta dan kehidupan keluarga. Keras dan menakutkan bagi anak yang memerlukan sentuhan kasih sayang. Tinggalkan majlis ilmu dan biarkan diri bangga dengan amalan yang sedikit dan riak yang banyak. Semua itu perlu diperbaiki dan menjadi azam terpenting dalam kehidupan seorang mukmin.

No comments:

Post a Comment