Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Wednesday, January 20, 2010

Mengunjungi masjid - Tujuh adab dan hukumnya

MASJID merupakan sebuah institusi yang paling utama dan penting dalam sejarah tamadun Islam. Dahulunya, masjid bukan sahaja sebuah bangunan atau tempat untuk beribadat bagi umat Islam, malahan sebagai bilik mesyuarat, bangunan pentadbiran, medan penyebaran maklumat, tempat menyelesaikan masalah dan kubu pertahanan yang paling kental.

Allah s.w.t. mengangkat martabat dan darjat masjid ke tempat yang paling tinggi dengan menyandarkan perkataan masjid kepada diri-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah at-Taubah, ayat 18 yang bermaksud:

Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian (Hari Akhirat), serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) melainkan kepada Allah, maka merekalah orang yang diharapkan untuk tergolong di dalam golongan yang mendapat petunjuk.

Justeru, sejarah membuktikan bahawa perkara pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah membina masjid dan memakmurkannya. Masjid bukanlah tempat yang dikhususkan untuk menunaikan ibadat kepada Allah semata-mata, malahan sebagai tempat untuk menzahirkan syiar Islam serta sebagai sebuah institusi pendidikan yang amat praktikal dalam melahirkan generasi-generasi Islam yang unggul.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiah pernah menyebut di dalam kitabnya yang terulung, Majmu`at al-Fatawa (35/29): Salah satu tempat penyatuan dan perkumpulan yang strategik untuk umat Islam ialah masjid. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. mengasaskan Masjid Nabawi dengan menerapkan nilai takwa sebagai paksinya.

Di dalamnya umat Islam bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir mengingati Tuhan, menimba ilmu pengetahuan dan berdiskusi tentang kehidupan di dunia dan di akhirat.

Terdapat beberapa adab dan hukum-hukum yang dititikberatkan oleh agama Islam berkenaan masjid. Berikut ialah adab-adab serta hukum-hukum yang sepatutnya diamalkan oleh umat Islam ketika mengunjungi masjid:

1) Ikhlaskan niat ketika pergi ke masjid.

Allah berfirman dalam Surah al-Bayyinah ayat 5 bermaksud: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (niat yang ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan agama dengan lurus.


2) Mengambil wuduk sebelum pergi ke masjid.

Dalam Mu'jam at-Tabrani al-Kabir diriwayatkan daripada Sulaiman bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagaiamana bermaksud: Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya dan diperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid, maka dia adalah tetamu Allah, dan menjadi kewajipan ke atas orang yang dilawati untuk memuliakan tetamunya.(Sahih Targhib, 322)

Daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan yang bersih untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya adalah seumpama menunaikan haji. (Riwayat Abu Daud dan dihasankan oleh Al-Bani di dalam Sahih al-Targhib, 320).

3) Sentiasa tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika menuju masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Jika kamu terdengar iqamat, maka berjalanlah kamu ke tempat solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Apa yang kamu sempat, maka solatlah, dan apa yang tertinggal maka sempurnakanlah. (Muttafaqun `alaihi).

4) Dilarang membunyikan jari di dalam masjid.

Di dalam hadis Ka`ab bin A'jrah, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika kamu berada di dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada dalam sembahyang ketika kamu menunggu untuk menunaikan sembahyang. (Riwayat Ibnu Hibban dan terdapat di dalam Sahih al-Targhib, 294).

5) Berhias.

Allah berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat 31 bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali memasuki masjid.

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, mengatakan: ``Berdasarkan ayat ini dan apa yang disebut di dalam hadis Rasulullah, kita disunatkan untuk berhias ketika menunaikan solat, terutamanya ketika menunaikan Solat Jumaat dan Solat Hari Raya. Kita juga disunatkan untuk memakai wangi-wangian kerana ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan di dalam Islam. Selain itu, bersiwak dan memakai pakaian putih juga merupakan sunah dan amalan Rasulullah.''

6) Disunatkan untuk Solat Tahiyat al-Masjid.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kamu memasuki masjid, janganlah kamu duduk melainkan kamu solat dua rakaat. (Muttafaqun `alaihi).

7) Dilarang menjadikan masjid tempat laluan.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jangan menjadikan masjid-masjid sebagai tempat laluan atau jalan melainkan sebagai tempat mengi- ngati Allah dan tempat sembahyang. (Riwayat Tabrani dan dihasankan oleh al-Bani di dalam Sahihah, 1001 dan Sahih at-Targhib, 295).

Diriwayatkan daripada Abdulullah Ibn Mas`ud bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya salah satu tanda di antara tanda-tanda Hari Kiamat, ialah seorang lelaki berjalan di dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang dua rakaat di dalamnya. (Riwayat Ibn Khuzaimah dan disokong oleh al-Bani di dalam Sahihah, 649).

Kesimpulannya, masjid mempunyai darjat dan makam yang tinggi di dalam Islam yang patut kita agungkan dan kita hormati. Justeru, berdasarkan tujuh adab yang disebutkan di atas, marilah kita sama-sama menghormati dan memakmurkannya de-ngan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Semoga setiap amalan yang kita laksanakan dari hari ke hari akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah s.w.t. di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment