Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Monday, October 26, 2009

Di antara Dua Rasa ( Muhasabah)

Di antara Dua Rasa

Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah
untuk merasa. Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa
dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara.

Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa
sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai,
rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan,
pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan,
rasa tidak apa-apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa
akan masuk Syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa
ketuanan.

Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa
bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan, dengan
mati dan dengan Neraka, rasa dhaif, rasa jahil, rasa tidak mampu, rasa
bergantung harap dengan Tuhan dan sebagainya. Semua ini dinamakan
rasa-rasa kehambaan.

Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya
mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak
semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang
merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan
dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang
dan malam. Sembahyang pun tidak.

Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, sangat dihormati dan
disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang
merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan
dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah
dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah
banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku yang
ditulisnya.

Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah
semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan
realiti sebenar orang yang berkenaan. Apa yang dirasakan tidak
semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan sebenar dan amalan
lahir orang tersebut. Orang yang merasakan dirinya baik mungkin jahat
dan orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang
merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan yang merasakan dirinya
bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin
berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas.

Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah
menganggap dirinya mulia dan dengan itu telah melakukan dosa batin atau
dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau
dalam hidupnya dia jahat. Siapa yang merasakan dirinya tidak berdosa
sudah melakukan dosa kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu
dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau
dia memang membuat dosa. Siapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya
hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga
satu dosa. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan
merasakan diri ikhlas itu satu sifat mazmumah.

Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ketuanan yang bersarang di hati
seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak
berdosa, tidak bersalah, tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang
dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh
mendatangkan dosa. Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa ini
menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan.
Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah
melakukan syirik khafi (syirik kecil) kerana mahu berkongsi sifat dengan
sifat-sifat kemuliaan Tuhan.

Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala
kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita
diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Justeru itu,
buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elaklah
dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak
dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan tetapi rasakanlah yang kita ini
jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita
dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.

Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti
pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi
tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih
dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa
yang kita rasakan di hati itu lain pula.

Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati.
Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini
bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini
jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil.
Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang
kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang
dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah
bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.

Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa
yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa
yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil
sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan
dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang jongkit
di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif.
Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah
sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.

No comments:

Post a Comment