Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Friday, May 10, 2013

Sistem ‘pecah dan perintah’ yang hampir-hampir terkubur


A. Faizal Rahman , 10 Mei 2013
‘Tsunami Cina’ dan tindak balas susulan

Kemerosotan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 amatlah ketara. Di bandar-bandar besar, sokongan mereka merosot serendah 10%. Akibatnya, walaupun berjaya mengekalkan kuasa di peringkat pusat, prestasi BN kali ini lebih teruk dari prestasi terburuknya sebelum ini (2008). Jika pencapaian buruk PRU12 dijelaskan dengan ‘tsunami politik’, kemerosotan pencapaian BN PRU-13 dikaitkan dengan ‘tsunami Cina’.

Biarpun ungkapan ‘tsunami Cina’ benar dari segi statistik, olahan media perdana bersifat reaktif dan emosional. Ungkapan tersebut diolah bagi menegaskan rasa kecewa terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong BN. Contohnya, tajuk-tajuk utama akhbar harian seperti , ‘Apa lagi Cina mahu?’, dan juga berita television yang dipenuhi dengan luahan kecewa pemimpin BN kepada masyarakat Cina.

Selaku kerajaan, tindakan menyalahkan segmen masyarakat yang tidak memberikan kemenangan yang diingini, menonjolkan ketidakmatangan kepimpinan (apatah lagi jika disusuli dengan penindasan seperti yang dilakukan kepada rakyat Kelantan selama ini). Ia juga menyerlahkan hipokrasi slogan 1Malaysia. Adakah polisi ‘segalanya’ 1Malaysia itu hanya untuk meraih undi? Dan, tidakkah ia hipokrit apabila undi yang diraih tidak ’1Malaysia’, semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan hilang entah ke mana?

Pengolahan ungkapan ‘tsunami Cina’ juga bersifat provokatif. Ia membakar sentimen perkauman; menakut-nakutkan masyarakat Cina dan menaikkan kemarahan masyarakat Melayu. Bukankah ini tindakan provokasi yang mengancam ketenteraman awam? Bukankah kerajaan BN dahulu yang memberi jaminan keamaan semasa dan selepas proses pilihan raya?

Pelik jika diteliti perilaku pemimpin-pemimpun BN. Sikap mereka dilihat sama-sekali tidak konsisten, sebelum dan selepas PRU. Puncanya – tidak lain, tidak bukan, hanyalah kerana sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalan penjajah yang diwarisi dan diguna pakai kerajaan selama ini, hampir-hampir digagalkan pada PRU13.

Persepsi salah mengenai aktivis Cina
Penulis berpeluang berkerjasama dengan aktivis-aktivis Cina sepanjang tempoh kempen PRU-13. Apa yang penulis saksikan, pergerakan aktivis Cina ini cukup berbeza dari persepsi orang Melayu tentang mereka.

Dari sudut demografi, aktivis Cina ini adalah dari golongan pertengahan dan majoritinya dari golongan muda. Mereka terdiri daripada pemilik perniagaan kecil seperti pengusaha kedai komputer dan butik pakaian, dan juga mahasiswa. Mereka adalah golongan majoriti Cina yang rata-rata berfikiran sederhana dan tradisional. Mereka bertutur dalam bahasa Cina sesama sendiri, tetapi memilih untuk menggunakan bahasa Melayu apabila bergaul dengan orang Melayu.

Mereka bukanlah tauke-tauke kapitalis yang licik menipu orang Melayu. Perlakuan dan karakter mereka tidak ubah seperti mana-mana kelas pertengahan; tidak kiralah orang Melayu, atau orang putih, mahupun orang Afrika – ‘simple-minded’, rajin bekerja dan suka berjenaka. Walaupun penguasaan bahasa Melayu mereka ditahap sederhana sesetengahnya (selaku rakyat Malaysia), usaha bertutur dalam bahasa Melayu, lebih-lebih lagi golongan muda, boleh diberi pujian. Yang pastinya, mereka bukanlah golongan Cina yang berbahasa Inggeris pelat Cina.

Dasar perjuangan mereka bersifat sejagat - menegakkan keadilan, kebebasan bersuara, menentang kezaliman dan menyokong usaha meningkatkan kualiti kehidupan. Mereka tidak berhajat mengambil alih tampuk kepimpinan negara atau ingin menjadikan negara ini, negara komunis. Besar kemungkinan, falsafah komunisme itu pun mereka tidak tahu. Mereka menghormati konsep demokrasi raja berpelembagaan dan tidak berhajat untuk menukarkan negara ini kepada negara republik seperti Singapura. Melalui pengamatan penulis, tiada bau-bau  fahaman komunis ataupun republikan dalam kalangan mereka.

Persamaan status ekonomi, karakter dan dasar perjuangan membuatkan aktivis Cina ini diterima baik oleh kelompok-kelompok pro-perubahan kaum-kaum lain, terutamanya Melayu. Solidariti antara dua kaum terbesar ini cukup sihat, bukan sahaja pada peringkat kepimpinan, malah di peringkat akar umbi. Jika dahulu ceramah-ceramah politik tertumpu kepada kaum-kaum tertentu, kini ceramah-ceramah politik melibatkan penyertaan pelbagai kaum. Isu-isu yang dibincangkan merentasi sempadan perkauman dan bersifat sejagat, tidak hanya menyentuh hal-hal perkauman yang sempit. Kini, bukanlah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina berpelukan dengan seorang Tok Guru, dan seorang lebai makan semeja dengan amoi Cina.

Perpaduan antara kaum inilah yang hampir-hampir meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ yang selama ini diguna pakai BN untuk mengekalkan kuasa.

Pecah dan perintah

Hampir seluruh rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan menengah (sekolah menengah) memahami konsep ‘pecah dan perintah’ penjajah British. Ramai juga kalangan masyarakat yang sedar akan penggunaan dasar yang sama oleh kerajaan BN selama ini. Banyak penulisan dan komentari yang menerangkan bagaimana kerajaan memecahbelahkan masyarakat dengan isu-isu perkauman untuk kekal berkuasa, hinggakan pakcik-pakcik di kedai kopi mampu membuat analisa tepat mengenai pendekatan tersebut. Namun, disebabkan serangan sentimen agama dan perkauman yang bertalu-talu menjelang PRU13 yang lepas, ahli-ahli fikir dan masyarakat keseluruhannya, bagaikan leka dengan apa yang dilakukan kerajaan. Secara terang-terangan kerajaan sekali lagi, tanpa sebarang pengubahsuaian, menggunakan pedekatan ‘pecah dan perintah’. Oleh itu, ada baiknya kita mengulang kaji secara ringkas konsep ini.

Semasa menjajah Tanah Melayu, British memecahkan kosentrasi kuasa politik dan ekonomi penduduk Tanah Melayu mengikut kaum. Raja-raja dijadikan simbol dan kuasa mereka dibataskan kepada adat istiadat dan hal ehwal agama. Orang Melayu dibiarkan menjalani kehidupan tradisional di kampung-kampung. Kaum-kaum pendatang Cina dikerah berkerja di lombong-lombong bijih timah, India di estet-estet ataupun pegawai kerajaan, dan Nepal (Gurkha) sebagai pegawai keselamatan. Kaum peniaga Cina ditempatkan di bandar-bandar untuk menjalankan kegiatan ekonomi.  Masyarakat dipecah-pecahkan supaya konsentrasi kuasa politik dan ekonomi berpecah kepada poket-poket kecil mengikut kaum. Oleh sebab kuasa politik dan ekonomi tidak lagi tertumpu, upaya dan sumber untuk menentang penjajahan dilemahkan. Ini memudahkan pihak penjajah memerintah dan mengaut segala hasil negara. Inilah ‘pecah dan perintah’ ala British.

Setelah Merdeka, perpecahan masyarakat dibiarkan pemerintah negara yang mewarisi kuasa dari British. Pegawai tadbir Melayu asuhan British mewarisi kuasa politik dan kapitalis Cina menguasai ekonomi. Mereka membentuk golongan elit negara. Hubungan antara mereka amatlah erat. Bagi mengekalkan kuasa dan kekayaan dikalangan kelompok mereka, dasar ‘pecah dan perintah’ penjajah, bukan sahaja dibiarkan berterusan, tetapi disuburkan lagi, hingga ke hari ini. Apabila rakyat berpecah-pecah, tumpuan bagi menidakkan pembolotan kekayaan negara (oleh golongan elit) dilemahkan. Bagi memecah-belahkan rakyat, sentimen perkauman disemat kepada pemikiran rakyat biasa. Cina akan digambarkan sebagai ‘penipu’, ‘perompak hak Melayu’, ‘komunis’, ‘cuba memurtadkan Melayu’ oleh pemimpin Melayu kepada bangsanya. Manakala, Melayu digambarkan sebagai ‘malas’, ‘ekstrem beragama’, ‘ingin potong tangan’ dan ‘rogol wanita Cina yang tidak menutup aurat’ oleh pemimpin Cina kepada bangsanya. Tidak hairanlah jika kelas pertengahan dan bawahan Melayu dan Cina saling curiga-mencurigai dan tidak pernah bersatu (hinggalah baru-baru ini). Ini memudahkan golongan elit membolot kekayaan negara. Ini semua ‘pecah dan perintah’ ala BN. Dulu British, kini BN.

Walau bagaimanpun, strategi ini sudah basi. Masyarakat dari golongan pertengahan, terutamanya masyarakat Cina sudah celik. Kesedaran masyarakat dijelmakan dalam trend mengundi yang beralih kepada Pakatan Rakyat (PR). Pemimpin BN yang hanya tahu memerintah dengan kaedah ‘pecah dan perintah’ mula terdesak. Hasilnya – reaksi tidak bertanggungjawab seperti yang dibincangkan di awal penulisan.

Kedudukan Islam

Masyarakat Cina bangkit sejak 2008 lagi. Kebangkitan mereka bersebab, bukannya secara tiba-tiba atau spontan. Mereka merasakan yang mereka dizalimi, suara mereka tidak didengari dan kehidupan mereka semakin menekan.

Sebagai kaum Muslimin, pendekatan Islamik adalah dengan menjadi pembela kepada golongan yang merasakan diri mereka teraniaya. Renungkan penyebaran Islam di zaman sahabat. Mereka menakluki wilayah dari Parsi hingga ke Mesir. Ini dikecapi dalam tempoh satu generasi sahaja. Asas perjuangan mereka bukanlah bermotifkan politik, emperialisme ataupun ekonomi, tetapi untuk membebaskan penduduk setempat dari kezaliman Kisra Parsi dan Maharaja Rom dan menegakkan keadilan Islam. Inilah konsep dakwah yang paling efektif – menegakkan keadilan. Kita, selaku Muslimin, harus mencontohi para sahabat – dalam konteks negara ini; membela nasib orang Melayu, Cina, India, Bangla dan sesiapa sahaja yang dizalimi, ‘tanpa mengira bulu’. Manakala,  prejudis dan penindasan terhadap masyarakat bukan Melayu sama-sekali tidak Islamik dan counter-productive kepada penyebaran Islam.

Malangnya, pertubuhan-pertubuhan yang menonjolkan diri sebagai pembela agama seperti Perkasa, ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dan Jati (NGO Hassan Ali) dilihat keliru dan gagal menghayati konsep Islam ini. Mereka masih terjerat dalam permainan ‘pecah dan perintah’ kerajaan. Secara sedar atau tidak, mereka menjadi ejen atau ‘tali barut’ kerajaan dalam menakut-nakutkan umat Islam yang susah dan miskin. Kata pertubuhan-pertubuhan ini, ‘Cina akan mengambil alih kerajaan’, ‘negara ini akan menjadi negara Kristian’ dan sebagainya. Racun-racun pemikiran begini membuatkan umat Islam yang mundur terus mundur dan ketakutan, curiga terhadap perubahan dan prejudis terhadap kaum lain. Kesannya, orang-orang kampung, golongan miskin dan tua mengundi secara defensif kepada BN, walhal, merekalah golongan yang paling beruntung jika perubahan berjaya dilakukan pada PRU-13. Usaha untuk meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ secara mutlak terbantut – semuanya angkara kebodohan dan kemunafikkan pertubuhan-pertubuhan ‘pembela agama’ tersebut.

Projeksi

Arus perubahan ini tidak boleh disekat lagi. Masyarakat Cina sudah bangkit secara total. Masyarakat Melayu (Islam) pula tidak mungkin diperbodohkan selama-lamanya. Sedikit masa lagi akan sedarlah orang Melayu keseluruhannya. PRU14 mungkin melihatkan penolakkan mutlak rakyat kepada BN, jika isu-isu perkauman dan agama terus dipermainkan.

Jadi, bagi pemimpin BN – usahlah marah kepada rakyat yang sudah muak dengan sistem ‘pecah dan perintah’ itu. Tidak perlu  menuding jari kepada masyarakat Cina atau Melayu yang tidak menyokong BN. Bertindaklah secara waras dan pimpinlah secara ikhlas. Buang sahaja slogan-slogan hiprokrit 1Malaysia dan Transformasi itu dan ini. Transformasi yang lebih utama adalah transformasi pendekatan pemerintahan kepada yang adil dan saksama. Jika ia terlalu sukar, ada baiknya di-’tranformasikan’ sahaja tompok kepimpinan BN. Jika tidak juga, rakyat pasti akan menolak BN secara mutlak di PRU akan datang. Ketika itu, rakyat akan menyambut kemenangan mereka sebagai ‘Merdeka semula’, dan BN akan disamakan dengan penjajah – perompak khazanah negara, didalam catatan sejarah.

No comments:

Post a Comment