Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Wednesday, August 5, 2015

Rahsia Di Sebalik Tujuh Ayat Surah al-Fatihah



Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.
 
Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan.
 
Antaranya ialah:
 
  • 1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

  • 2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a.) Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.

b.) Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.

c.) Kedua-dua lutut

d.) Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

  • 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.


  • 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi

Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

  • 5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.

Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu ammarahii. Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu radhiahvi. Nafsu mardhiahvii. Nafsu kamilah
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah.

Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap.

Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.
  
Surah Fatihah Dibaca Dlm Setiap Solat

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama.

Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu ‘Surah Yang Dapat Kemenangan’ daripada menamakan ia ‘Surah Pembukaan’.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi’il - ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Subhanallah. Allahu Akbar! Mari kita sama-sama memperbanyakkan bacaan surah al-Fatihah setiap masa dan ketika. :)

Maksud Asal Nama Bulan-Bulan Islam


Allah Subhanahuwata’ala (سبحانه و تعالى) berfirman:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِ‌كِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Taubah : 36)
.
Dua belas bulan yang disebut oleh Allah سبحانه و تعالى di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:
“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.” (riwayat Imam Ahmad).
.
Bulan dalam bahasa Arab disebut “Al-Syahru” bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula dari perisiwa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  dan umat Islam berhijrah ke Madinah.
.
Kebanyakan nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar yang berlaku. Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.
.
Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :
.
    Muharam ( محرّم)
Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم  meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
.
    Safar (صفر)
Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Perkataan Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.
.
    Rabiulawal (ربيع الأول)
Rabiulawal merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.
.
    Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)
Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.
.
    Jamadilawal (جمادي الأول)
Jamadilawal (Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan “Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
.
    Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)
Jamadilakhir (Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
.
    Rejab (رجب)
Rejab adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya.
Rejab juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan dilarang berperang.
Ia dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di tengah-tengah.
.
    Syaaban (شعبان)
Bulan Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’ dan “syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.
Pada bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah mencari air dan bekalan makanan.
.
    Ramadhan (رمضان)
Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.
Dan setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.
.
    Syawal (شوال)
Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.
Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.
.
    Zulkaedah (ذو القعدة)
Zulkaedah merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
Inilah bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
.
    Zulhijjah (ذو الحجة)
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.
.
.
Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan, pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Muslim yang cemerlang tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah سبحانه و تعالى. Seseorang itu perlulah sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala suruhan dan perintah Allah سبحانه و تعالى pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dijemput menghadap Allah سبحانه و تعالى kelak.
Maka marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah سبحانه و تعالى atas kesempatan diberikan peluang hidup untuk sekian kalinya. Seterusnya kita perlu persiapkan diri dengan berazam dan melakukan hijrah bagi menghadapi permulaan Awal Muharam dan tahun baru ini demi perubahan untuk menghadapi ibadah berkualiti dan kehidupan mukmin sejati di tahun-tahun mendatang. InsyaAllah.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Sejarah Awal Takwim Dunia Islam



Sistem pentarikhan pertama diajarkan Nabi Adam AS kepada anaknya, Nabi Syits AS yang bermakna pemberian Allah SWT sebagai pengganti anaknya, Habil yang dibunuh Qabil dalam peristiwa pembunuhan manusia pertama berpunca daripada kisah pengorbanan. (Ayat 27-31 Surah al-Maidah)
.
Allah SWT telah menurunkan 50 lembaran (suhuf) kepada Nabi Syits yang berisi ajaran Allah SWT.
 .
(Nota Tambahan; Empat kitab suci yang diturunkan Allah SWT ialah Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran, manakala suhuf ialah 104 dan 50 daripadanya diturunkan kepada Nabi Syits seperti diriwayatkan Ibn Hibban daripada Abu Darda’ secara marfu’.)
.
Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Qishashul Anbiya’ (Kisah Nabi) menukil perkataan Muhammad ibn Ishaq bahawa ketika Nabi Adam ystem ajalnya, Baginda berpesan kepada anaknya, Syits dan mengajarkan kepadanya perihal waktu malam dan siang. Baginda juga mengajarkan ibadah pada waktu berkenaan serta memberitahu kepadanya taufan yang akan berlaku.
Siang dan malam adalah tanda kebesaran Allah SWT dengan diputarkannya matahari, bumi dan bulan, menerusinya kita boleh mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah SWT berfirman:
 هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ‌ نُورً‌ا وَقَدَّرَ‌هُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ ﴿٥
“Dialah yang menjadikan matahari bersinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-pindah) di tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semua itu melainkan dengan faedah. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).”  (Surah Yunus: ayat 5)
Kita juga boleh menjumpai makna sama dengan ayat ini dalam Surah al-Isra ayat 12.
 .
Daripada apa yang diajarkan Adam kepada Syits ialah Allah menetapkan 12 bulan dalam setahun. Al-Quran menjelaskan dalam Surah al-Taubah: ayat 36:
 إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِ‌كِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (yste) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.”
.
.
Takwim Hijrah
.
Bulan pada tahun Hijrah bermula dengan Muharam dan tahun Masihi bermula dengan Mac pada asalnya. Kedua-dua bulan ini berkaitan dengan perang. Nama Muharam diberikan orang Arab terdahulu kerana di dalamnya dilarang peperangan selepas pelaksanaan haji pada Zulhijjah. Sedangkan Mac adalah nama tuhan perang orang Rom.
.
Jika diperhatikan sejarah penamaan bulan dalam tradisi Masihi dan Hijrah dan tahun lain kita dapati semuanya menggunakan bulan sebagai asal pengiraan masa. Pada mulanya bulan pada tahun Masihi hanya 10 bermula dari Mac hingga Disember yang bermakna bulan ke-10.
Mereka menambah Januari dan Februari ke dalam ystemr kerana pada dua bulan tidak ada kegiatan kehidupan bermakna bulan berkenaan adalah musim sejuk.
.
Lain halnya dengan bulan pada Hijrah. Ia dari awal berjumlah 12 seperti diajarkan Syits dengan ketetapan Allah. Ketika orang Arab terdahulu hendak menamakan bulan, mereka sepakat awal tahun dimulakan selepas selesainya pelaksanaan haji pada Zulhijjah supaya mudah diingati kerana ibadah itu adalah penyatuan bangsa Arab yang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim AS.
.
.
Sejarah Permulaan Kalendar Hijriah
.
Sejak dahulu, sebelum datangnya Islam, Bangsa Arab telah menggunakan tahun Qamariah. Hanya tidak semua masyarakat jahiliah di seluruh Semenanjung Arab sepakat dalam menentukan kalendar tertentu, sehingga pentarikhan mereka berbeza-beza. Meskipun begitu, mereka mengenali kalendar Qamariah dan mereka menggunakan konsep ini untuk membuat pentarikhan bagi suku mereka masing-masing.
.
Kalendar Qamariah yang mereka kenal sejak zaman dahulu, sama dengan kalendar Qamariah yang berlaku ketika ini. Dalam satu tahun, ada dua belas bulan dan awal bulan ditentukan mengikut terbitnya hilal (bulan sabit pertama). Mereka menetapkan bulan Muharram sebagai awal tahun. Mereka juga menetapkan empat bulan haram (bulan suci). Mereka menghormati bulan-bulan haram ini. Mereka jadikan empat bulan haram sebagai masa dilarangnya berperang antara-suku dan golongan.
.
.
Nama Asal Bulan ~ Pada Kalendar Qamariah
.
Jadual berikut merupakan senarai nama-nama bulan Qamariah dari pelbagai versi:
.
No
Kalendar Kaum Tsamud    (Dari Riwayat Al-Azdi)
Kalendar Sebelum Kedatangan Islam (Dari Riwayat  Al-Bairuni)
Kalendar Sebelum Kedatangan Islam  (Dari Riwayat  Al-Mas’udi)
Kalendar Sejak Tahun 412 H
1
Mujab
Al-Mu’tamir
Natiq
Muharram
2
Mujir
Najir
Tsaqil
Safar
3
Murid
Khawwan
Thaliq
Rabi’ul Awal
4
Mulzim
Shuwan / Bushon
Najir
Rabi’ul Ahir
5
Mashdar
Hantam / Hanin / Runna
Simah
Jamadil Ula
6
Hawbar
Zuba
Amnah
Jamadil Akhir
7
Hubal
Al-Asham
Ahlak
Rajab
8
Muha
Adil
Kusa
Sya’ban
9
Dimar
Nafiq / Nathil
Zahir
Ramadhan
10
Dabir
Waghil / Waghl
Burth
Syawal
11
Haifal
Hawa’/ Rannah
Harf
Zulqa’dah
12
Musbil
Burk
Na’as
Zulhijjah
.
Panamaan bulan Qamariah yang berlaku saat ini-menurut pendapat yang kuat-telah ada sejak awal abad kelima Masehi. Ada yang mengatakan, bahawa yang menetapkan pertama kali adalah Ka’ab bin Murrah, datuk kelima Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
.
Ada lima bulan (Rabi’ul Awal, Jamadil Akhir, Jumadil Awal, Jamadil Akhir, dan Ramadhan) yang namanya ditetapkan mengikut keadaan musim yang berlaku di bulan tersebut:-
.
1.  Rabi’ul Awal dan Akhir diambil dari kata “rabi’” yang bermaksud ‘bunga’ kerana ketika penamaan bulan Rabi’ bertepatan dengan musim semi.
2.  Jumadil Ula dan Akhirah diambil dari kata “jamad” yang ertinya ‘beku’, kerana pada ketika penamaan bulan ini bertepatan dengan musim sejuk, yang saat itu air membeku.
3.  Ramadhan diambil dari kata “ramdha’” yang bermaksud’ sangat panas ‘, kerana penamaan bulan ini bertepatan dengan musim panas.
.
.
Tujuh bulan yang lain dinamakan dengan nama keadaan masyarakat dan kitaran sosial:-
.
1.  Muharram dari kata “haram” yang bermaksud ‘suci yang terlarang’ kerana bulan ini termasuk salah satu di antara empat bulan suci dan dilarang berperang.
2.  Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Dinamakan “Safar”, kerana pada bulan ini rumah-rumah banyak yang kosong ditinggalkan penghuninya untuk berperang.
3.  Rejab bermaksud ‘mengagungkan’ kerana masyarakat jahiliah sangat menghormati bulan ini, dan dijadikan sebagai masa sangat dilarang untuk berperang. Kerana itu, mereka menyebut bulan ini dengan “Rajab Al-A’sham” (Rajab yang sunyi).
4.  Syaaban diambil dari kata “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’. Disebut Sya’ban, kerana pada bulan ini masyarakat jahiliah berpecah, membentuk kelompok-kelompok untuk melakukan peperangan, setelah mereka meninggalkan perang di bulan Rejab.
5.  Syawal diambil dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ kerana bulan ini adalah musim di saat unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan.
6.  Zulqa’dah diambil dari kata “al-qa’du” yang bermaksud ‘duduk’. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan, kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
7.  Zulhijjah diambil dari perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini iaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
.
.
Keadilan Takwim Hijrah
 .
Takwim Hijrah memberi keadilan meaksanakan Ibadah. Amalan dalam Islam tidak statik tetapi berlaku pada setiap musim untuk menguji iman umatnya dan memikirkan kebijaksanaan Yang Maha Khaliq.
.
Daripada beberapa tanda yang menunjukkan Islam agama yang adil ialah penggunaan kalendar Hijrah dalam sistem pentarikhan. Oleh itu, kita berpuasa Ramadan pada semua musim; hujan dan kemarau; sejuk, panas, bunga dan luruh. Begitu juga pelaksanaan haji dan merayakan hari kebesaran Islam lain.
.
Dengan perkataan lain, sistem ibadah dalam Islam tidak dihadkan pelaksanaannya pada masa yang tetap dan statik, tapi berubah mengikuti perubahan iklim. Sistem ini memberikan keadilan kepada semua masa untuk berasakan nuansa keislaman di dalamnya. Sebagai contoh, jika Ramadan pada Julai saja, tentu kita tidak akan berasakan keindahan berpuasa pada musim sejuk. Begitu juga sebaliknya, jika kita tetapkan puasa Ramadan pada Disember saja, tentu kita tidak akan berasa betapa beratnya berpuasa pada musim panas.
.
Kelebihan dan keistimewaan pada perubahan ini membolehkan setiap Muslim merasai kemanisan dan keindahan beribadat kepada Allah Subhanahuwata’ala pada masa-masa dan keadaan berbeza tanpa sebarang masalah berpanjangan.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)