Allah
Subhanahuwata’ala (سبحانه و تعالى)
berfirman:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ
عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ
الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا
الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا
أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan,
dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya
empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan)
agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang
empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun
memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang
yang bertaqwa.”
(Surah
Al-Taubah : 36)
.
Dua
belas bulan yang disebut oleh Allah سبحانه و تعالى
di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sebuah hadith yang telah
diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberikan khutbah ketika
ibadah haji dengan berkata:
“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah
menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram,
tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang
terletak antara Jamada dan Syaaban.”
(riwayat Imam Ahmad).
.
Bulan
dalam bahasa Arab disebut “Al-Syahru” bermaksud bulan yang
merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan
Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula dari perisiwa Nabi
Muhammad صلى الله عليه وسلم dan umat
Islam berhijrah ke Madinah.
.
Kebanyakan
nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca
semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar
yang berlaku. Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih
awal setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi
nama sesetengahnya kini.
.
Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan
telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti
berikut :
.
Muharam ( محرّم)
Bulan
ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan
budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini.
Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم
meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram
dalam Islam.
.
Safar (صفر)
Safar
adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr”
yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab
Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang
dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Perkataan
Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai,
kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.
.
Rabiulawal (ربيع
الأول)
Rabiulawal
merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga
iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.
.
Rabiulakhir (ربيع
الآخر/ ربيع الثاني)
Rabiulakhir
merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga
iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.
.
Jamadilawal (جمادي
الأول)
Jamadilawal
(Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan
“Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang
bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
.
Jamadilakhir (جمادي
الآخر / جمادي الثاني)
Jamadilakhir
(Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir
merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk
daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa
ketika itu.
.
Rejab (رجب)
Rejab
adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini
salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya,
bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari
induknya.
Rejab
juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan
dilarang berperang.
Ia
dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab
al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga
bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di
tengah-tengah.
.
Syaaban (شعبان)
Bulan
Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’
atau ‘golongan’ dan “syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang
dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara
berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.
Pada
bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah
mencari air dan bekalan makanan.
.
Ramadhan (رمضان)
Ramadhan
merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”,
yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini
menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada
bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.
Dan
setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم,
bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.
.
Syawal (شوال)
Syawal
merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal
dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata
kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan.
Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina
mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini
juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.
Manakakala
setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah
melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa
Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri
atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.
.
Zulkaedah (ذو
القعدة)
Zulkaedah
merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’
atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat
jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini
merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
Inilah
bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga
mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk
menunaikan Haji.
.
Zulhijjah (ذو
الحجة)
Zulhijjah
adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan
suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan
ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang
bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil
perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat
Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Pada
zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan
ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih
tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10
Zulhijjah.
.
.
Berdasarkan
makna setiap bulan yang dinyatakan, pastinya masing-masing mempunyai kelebihan
dan keistimewaannya. Muslim yang cemerlang tidak akan memilih bulan tertentu
untuk beribadat kepada Allah سبحانه و تعالى.
Seseorang itu perlulah sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala
suruhan dan perintah Allah سبحانه و تعالى pada
setiap masa dan keadaan sehinggalah dijemput menghadap Allah سبحانه و تعالى kelak.
Maka
marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah سبحانه و تعالى atas kesempatan diberikan peluang
hidup untuk sekian kalinya. Seterusnya kita perlu persiapkan diri dengan
berazam dan melakukan hijrah bagi menghadapi permulaan Awal Muharam dan
tahun baru ini demi perubahan untuk menghadapi ibadah berkualiti dan kehidupan
mukmin sejati di tahun-tahun mendatang. InsyaAllah.
.
.
والله
أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui
apa yang benar)
No comments:
Post a Comment