Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.
Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan.
Antaranya ialah:
- 1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat
atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi
kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang
lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak.
Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al
Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia
benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh
selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan
kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.
- 2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk,
ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana
sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini
terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak
melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat
untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.
Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
a.) Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di
kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula
ada bermacam-macam jenis.
b.) Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat
baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan
orang.
c.) Kedua-dua lutut
d.) Kedua-dua tapak kaki
Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh
anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah
kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota
yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan
bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan
Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati,
apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.
- 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat
dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang
nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh
intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat
salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak
dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat
Neraka.
- 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan
dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada
hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah
mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja.
Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak
juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan
seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib
seperti malaikat.
Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia
juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat
manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya
mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan
bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang
malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut campur tangan dalam
menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan
izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan
manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi
saintis tidak boleh kesan.
Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup
manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh
ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya
ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa
bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu,
jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia.
Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia,
bermakna jin itu berasal dari Indonesia.
Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk
menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.
Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman
Allah di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan
serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka
menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk
mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya
(untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29)
Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup
hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan
yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang
binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah
apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu
dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak
kita maka akan timbul masalah.
- 5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang
tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita.
Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu ammarahii.
Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu radhiahvi. Nafsu
mardhiahvii. Nafsu kamilah
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri
dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh.
Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu
boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh
atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi
Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah.
Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang
tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah
pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah
goyang.
Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula
dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia
benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak
masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan
mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari
tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah
kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada
mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah;
nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh
menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan
nafsunya.
Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf
malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk
kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan
Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak
beralih dari satu tahap ke satu tahap.
Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu
nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu,
dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada
Al Quran.
Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha
Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita
boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di
dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau
kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang
mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya
hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.
Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk
memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan
kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu
itu walaupun sifatnya tidak sama.
Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia
tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk
memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling
tinggi mutmainnah.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan
kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak
pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan
Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani
yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang
dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat
falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666
ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk
mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif
dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh
tahap nafsu itu.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal
baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah,
belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya
lebih suka mengatakan Al Fatehah itu ‘Surah Yang Dapat Kemenangan’ daripada
menamakan ia ‘Surah Pembukaan’.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah
Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya
elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini
kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani
seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan
surah ini menggunakan isim fi’il - ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik
makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu
mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar
dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap
semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.
Subhanallah. Allahu Akbar! Mari
kita sama-sama memperbanyakkan bacaan surah al-Fatihah setiap masa dan ketika.
No comments:
Post a Comment