Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, May 31, 2011

10 Pembohongan Besar Media Berkenaan Israel


Artikel di bawah adalah kutipan langsung dari laman sesawang Haluan Palestin

Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk Israel, let’s talk about it, Collon telah menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:
1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua. Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’ dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.

5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya.

Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan. Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut.

Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkaya yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika, Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan.

Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana.

Jintan hitam herba penawar penyakit

Jintan hitam herba penawar penyakit

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my



SELEPAS tiga hari melakukan ekspedisi menggali sebuah kawasan di Lembah Raja, Mesir, pada 26 November 1922 tepat pukul 4 petang, Howard Carter, akhirnya menemui sebuah makam yang telah menjadi obsesnya sejak bertahun-tahun.
Artifak-artifak berharga yang dijumpai di makam Firaun Tutankhamun itu terlalu banyak yang sesuai dengan tarafnya sebagai seorang raja. Howard memerlukan masa selama sedekad untuk merekodkan 3,000 artifak yang ada.
Kesemua barang yang didapati di dalam makam yang tidak pernah terusik oleh penjarah itu merupakan keperluan dan cara hidup seorang raja Mesir. Hanya yang terbaik sahaja dibawa bersama ke alam selepas mati.
Antara barang-barang yang ditemui oleh ahli arkeologi dari London itu adalah singgahsana yang diperbuat daripada emas, tempat beradu, balang-balang berisi minyak dan makanan yang berkhasiat dan sebagainya.
Salah satu bahan yang dijtemui di makam berusia ribuan tahun itu adalah sejenis minyak hasil perahan herba jintan hitam atau lebih dikenali di dunia Arab sebagai habbatus sawda.
Habbatus sawda adalah sejenis herba yang boleh didapati di kawasan-kawasan tertentu terutama di Mediterranean dan telah diamalkan sejak zaman nabi.
Walaupun masyarakat Melayu mengenalinya sebagai jintan hitam, tetapi bentuknya berbeza dengan jintan manis atau putih.
Bersaiz lebih kecil berbanding jintan manis dan berwarna hitam, ia mengeluarkan sejenis bau yang nipis dan berempah tetapi tidak terlalu kuat.
Jika dimakan mentah-mentah atau masih belum diproses rasanya agak pahit.
Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Gunakanlah habbatus sawda kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat daripada segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut).”

BIJIAN jintan hitam diperoleh dari pistil bunganya.


Menurutnya, hadis sahih riwayat Al-Bukhari itu adalah saranan dan galakan Rasulullah kepada umatnya untuk menggunakan herba tersebut.
“Ia bertindak sebagai penyelaras perjalanan darah dan ia tidak khusus kepada satu-satu penyakit sahaja.
“Ia lebih banyak mencegah penyakit daripada mengubatinya,” kata Mohd. Daud ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Disebut dalam al-Quran
Kata Daud, atas gesaan Nabi itu, para sahabat seperti Saidina Ali dan Abdullah Auf turut sama mengamalkan habbatus sawda.
Sebaik-baiknya, habbatus sawda dimakan bersama madu, tambahan pula terdapat ayat dalam al-Quran, surah An-Nahla ayat 68 menceritakan berkenaan manisan lebah itu.
Mohd. Daud menegaskan, setiap perkara yang disebut dalam hadis dan al-Quran adalah yang terbaik untuk umat manusia serta mempunyai khasiat yang banyak.
Ia terbukti secara saintifik melalui kandungan bahan-bahannya yang terdiri daripada glukosa, polisakarida, kalsium, ferum, karotan dan asid amino.
Pakar Pemakanan Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shariza Abd. Razak berkata, habbatus sawda juga berfungsi sebagai bahan antitumor.
“Jadi, habbatus sawda amat baik untuk mengurangkan risiko dan mengawal penyakit kanser serta mampu meningkatkan kekuatan sistem imunisasi badan melawan penyakit seperti selesema,” katanya.
Menurut Dr. Shariza, individu yang mengalami alahan juga sesuai menggunakan habbatus sawda kerana terdapat bahan antihistamin di dalam jintan hitam itu.
“Bahan tersebut akan melawan histamin yang dihasilkan di dalam badan ketika alahan berlaku dan ia sesuai digunakan oleh penghidap ekzema atau radang kulit,” ujarnya.

BIJIAN habbatus sawda yang diimport oleh syarikat Seribu Dinar Distributor Sdn. Bhd. akan terus diproses bagi mengekalkan kualitinya.


Tinggi glukosa
Habbatus sawda juga boleh membunuh kuman kerana ia bertindak sebagi antibakteria.
Sehubungan itu, pesakit yang mengalami jangkitan bakteria terutamanya escherichia coli atau E. coli yang menyebabkan cirit-birit dan masalah penghadaman boleh mengamalkanya.
Bagi individu yang sentiasa mengalami keletihan dan sering tidak bermaya, habbatus sawda amat sesuai diamalkan kerana kandungan glukosanya yang tinggi.
“Habbatus sawda boleh bertindak sebagai bahan penambah tenaga dan biasanya dijadikan minuman atau sebagai salah satu bahan campuran dalam minuman seperti kopi dan teh,” ulas Shariza.
Selain dijadikan minuman, pengguna bebas membuat pilihan dalam apa bentuk sekalipun seperti kapsul atau minyak.
“Tiada had tertentu dalam pengambilannya malah kajian mendedahkan, seorang individu yang sihat dengan berat badan sebanyak 50 kilogram boleh mengambil antara satu hingga dua sudu teh sehari,” ulasnya.
Bagi sesetengah individu, jika habbatus sawda diambil berlebihan ia akan menyebabkan ketidakselesaan badan, panas badan dan gangguan fungsi tubuh tetapi ia masih lagi selamat untuk diambil.
“Tindak balas bergantung kepada individu dan sebaik-baiknya, ambil dalam sukatan yang disyorkan,” katanya berkongsi tip.

Monday, May 30, 2011

Berjemaah dalam menjaga kebersihan alam sekitar

  Berjemaah dalam menjaga kebersihan alam sekitar
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEHIDUPAN manusia dalam dunia moden terdedah kepada pelbagai wabak penyakit dan ada antaranya boleh meragut nyawa seperti penyakit demam denggi yang sedang merebak sekarang ini memerlukan perhatian semua pihak.

Islam sudah memberikan ingatan jelas berbentuk saintifik bagaimana kita dapat mengatur kehidupan dalam keadaan sihat sejahtera dengan memfokuskan kepada langkah pencegahan, bukannya pemulihan.
Contohnya, Islam meletakkan kualiti bersih sebagai prasyarat kepada sempurnanya iman seseorang hamba.
Paradigma fikir yang hanya menghargai kepentingan kesihatan tatkala ditimpa penyakit sewajarnya dihentikan dan meletakkan aspek kesihatan pada kedudukan tertinggi.

Benarlah kata Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sangat manusia lalaikan ialah masa lapang dan waktu sihat. Inilah dua anugerah Allah yang kita abaikan dengan beranggapan ia akan bertahan lama.

Keasyikan mencari nafkah kehidupan dan dalam keghairahan meneroka harta kebendaan duniawi, dua perkara khususnya kesihatan diabaikan tanpa mengambil sikap berjaga-jaga. Ada juga dalam kalangan kita prihatin mengenai kebersihan tubuh badan saja dan tidak memberi perhatian alam sekitar.

Ini juga satu lagi sikap yang bertentangan dengan tuntutan agama kerana penjagaan kebersihan dan mengekalkan kesihatan turut merangkumi alam sekitar.
Penyakit demam denggi merebak secara berleluasa akibat tidak mengambil berat kebersihan persekitaran menyebabkan aedes membiak.

Kawasan persekitaran rumah, laluan air atau longkang yang tersumbat tanpa langkah pembetulan juga menyenangkan pembawa penyakit seperti nyamuk bermaharajalela. Seandainya diteliti umat Islam jarang memberi perhatian kepada aspek kebersihan persekitaran.

Jika adapun hanya apabila sesuatu penyakit sudah merebak. Pada waktu itulah penghuninya sibuk dengan aktiviti gotong-royong secara drastik kerana takutkan penyakit.

Kelemahan masyarakat hari ini ialah pemikiran yang menganggap bahawa kerja pembersihan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak berkuasa. Sepatutnya menjaga kebersihan alam sekitar menjadi budaya kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti bersama dalam sesuatu komuniti dianggap sebagai kegiatan amar makruf yang menjurus kepada manfaat bersama. Bukan kualiti kesihatan dapat dipelihara, malah ikatan ukhuwah dapat dipertingkat.

Allah menegaskan kepada umat-Nya supaya sentiasa berlumba membuat kebajikan. Inilah medan terbaik untuk setiap mukmin mempamerkan sikap berlumba mencipta kebajikan sesama ummah selain dapat mengikis sikap mementing diri sendiri.

Ini satu lagi nilai murni ditekankan Islam kerana semangat berjemaah bukan hanya terhenti dalam aspek ibadah solat, tetapi mestilah diterjemahkan dalam aspek kehidupan lain seperti aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar.

Alangkah indah kehidupan masyarakat Islam seandainya segala aspek penghidupan dilaksanakan secara berjemaah dan ini tentu diberi keberkatan oleh Allah. Masyarakat bagai `enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' mesti dihindari orang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika semua pihak sedar menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama, maka tidak perlulah pelbagai kempen diadakan. Ini tidak, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa mencari pelbagai ikhtiar menyedarkan orang ramai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

Justeru, kita kena kembali menghayati seruan Islam yang mementingkan kebersihan supaya tahap kehidupan umat Islam di dunia ini terus berada pada kedudukan fizikal dan minda yang unggul.

GARIS PANDUAN UMUM OPERASI TANGKAP KHALWAT

GARIS PANDUAN UMUM OPERASI TANGKAP KHALWAT

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 Memandang Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan. Ini kerana operasi ‘tangkap khalwat’ selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini. Ramai orang menyangka tanpa operasi ‘tangkap khalwat’ maka bertambah perzinaan dalam masyarakat, sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat. Malang sekali, jika maksiat tertutup diintip dan dicari sementara yang nyata dibiarkan dan dipromosi.

 Maka dengan ini saya mencadangkan beberapa perkara berikut mestilah difahami dan diberikan perhatian dalam operasi ‘tangkap khalwat’;
 


- Gambar Hiasan

1. Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (mengintip aib orang lain) berkembang dalam masyarakat Islam.
Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperolehi secara jelas, bukan tajassus atau intipan. Jika pemberi maklumat melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak. Menerima pemberitahuan bersumberkan tajassus akan menggalakkan masyarakat kita mengintip antara satu sama lain. Maka, mungkin akan diintip hubungan seks pasangan suami isteri atas ‘kononnya’ hendak memastikan mereka tidak melakukan maksiat. Sebab itu apabila dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:

“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

2. Tidak Boleh Operasi Itu Sendiri Berasaskan Tajassus.
Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik, atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam. Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa. Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (Surah al-Hujurat ayat: 12)

3. Operasi Tidak Boleh Berasaskan Maklumat Yang Tidak Pasti
Sekalipun tanpa intipan, tetapi jika berita berasaskan syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat: (maksudnya)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Maka pemberi maklumat atau informer yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak. Termasuk dalam hal ini ‘kaki tajassus’. Al-Imam Ibn Kathir menyebut bahawa berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menolak riwayat orang yang tidak diketahui latarbelakangnya dibimbangi ia fasik.

4. Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.
Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan. Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:

“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad).


5. Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.
Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam. Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain. Ini tidak boleh disamakan dengan hukuman zina di khalayak ramai yang pasti dengan saksi yang yakin. Sebab, Nabi s.a.w berusaha menolak kes-kes zina, dihukum setelah pasti tanpa didedahkan aktiviti seks secara terperinci melainkan proses penghakiman.

6. Tidak boleh menuduh mereka yang berkhalwat itu berzina selagi tiada empat orang saksi yang melihat secara terperinci proses zina itu berlaku tanpa syak.
Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf.
http://drmaza.com/home/?p=1415

Sunday, May 29, 2011

Teknik Lajukan Broadband

 

Jom tengok teknik teknik nak lajukan BROADBAND anda ! Ayuhhhhhhhhhhhhhhh...

Langkah 1 :  Sambung Broadband ke Komputer anda dan buat Connection seperti biasa. Apa yang perlu anda tahu ialah IP untuk Broadband anda. Untuk memudahkan anda, klik DI SINI untuk tahu IP anda.

(PERHATIAN : IP BROADBAND INI SENTIASA BERUBAH-UBAH MENGIKUT TEMPAT, MASA DAN KEADAAN. JADI, SETIAP KALI ANDA SAMBUNG BROADBAND ANDA, ANDA KENA PASTIKAN IP ANDA DAHULU)





Langkah 2 : Setelah anda dapat IP anda, Buka Notepad dan masukkan Code di bawah ini di dalam Notepad tersebut dan jangan lupa masukkan IP yang anda dapat tadi. Klik Di Sini sekali lagi untuk dapatkan IP anda.
Panglima7 tambah sikit, nak dapatkan Notepad....kena..... Klik Start ---> All Programs ---> Accessories ---> Klik Notepad.   Bila gambar Notepad dah keluar sepeti di bawah.....copy code dibawah ini.
c:\windows\system32\ping IP ANDA -t
Cara Menulis :  c:\windows\system32\ping [jarak] IP ANDA [jarak] -t

Langkah 3 : Kemudian , Save As Fail Notepad tersebut sebagai ping.bat dan Simpan di Desktop anda. Ingat yer, jangan simpan di tempat lain,hanya di Desktop sahaja yang dibenarkan..hehe.
Panglima tambah sikit bagi faham....save file atas nama ping.bat dan savekan di desktop.
Langkah 4 : Klik pada ping.bat di Desktop anda dan satu tetingkap Command Prompt secara automatik akan keluar. Biarkan Command Prompt ini berjalan sepanjang proses anda online. Jika anda terkeluar daripada Connection, anda kena ulang semula Langkah 1 di atas.
         Okeh, untuk penambahan, sila biarkan tetingkap command prompt ni terbuka sepanjang anda online okeh? Lepas tu saksikan la perubahan speed internet anda ! Hehe..

          Aku dah try kat Digi Broadband aku ni, dan ia terbukti laju ! Macam minum power root je woo.. Hehe. Tak caya , try buat ! Hehe.. Kalau tak paham pape, bagitau aku okeh? Hehe.. 

Panglima7
Panglima dah cuba buat...memang laju dari kebiasaannya...mcm pekena kopi Jantan..hahahaha
Cuma kadang-kadang broandband stuck...cabut broadband dan tekan connect semula....laju melantun2.
Cuba laa...sahabat semua.
 
__._,_.___

Seni pemusnah masyarakat

Seni pemusnah masyarakat ?

6:31 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : Mohd Akmal bin Kamarudin
Seni yang memusnah sedang bermaharajalela di serata pelusuk dunia termasuk negara kita, seni ini sangat menyumbang kepada keruntuhan moral muda mudi termasuk kerosakan aqidah yang menggerunkan . Pentas teater, filem,muzik,nyanyian sentiasa diperkasakan sebagai senjata pemusnah paling ampoh untuk membunuh nilai-nilai murni dalam masyarakat. Seni sudah menjadi racun yang mujarab untuk melontarkan provokasi, ideology, dan fahaman yang songsang. Jesteru perkembangan dan sambutan yang sangat hebat, masyarakat tidak lagi menapis apakah mesej yang ingin disampaikan dalam kegiatan seni tersebut. Apa yang penting ialah hiburan. “Matlamat Menghalalkan Cara” inilah yang telah membawa malapetaka besar dalam peradaban semua bangsa yang mengakibatkan keruntuhan moral yang tidak dapat dibendung. Pentas seni telah mengalami anjakan. Adakah institusi Islam yang sering menjaga peradaban dapat menepis diri mereka dari fenomena ini. Tepuk dada tanyalah iman.

Sebagai langkah awal untuk menyelamatkan intitusi masyarakat yang hampir musnah ini, perkembangan ini wajib diislamisasikan supaya ia menjadi salah satu wasilah dakwah yang paling berkesan untuk menarik muda mudi kembali kepangkal jalan. Sebagai contoh, penurunan Al Quran sebagai panduan umat Islam diturunkan dalam bahasa yang sangat teratur. Hanya dengan jalan ini sahajalah syair jahiliyyah sangat berpengaruh dapat dipatahkan dan dilenyapkan. Tindakan Wali Songo di Indonesia yang telah mengislamkan seluruh Jawa dengan strategi pemanfaatan jalur seni dan budaya. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jawa amat menggemari seni pertunjukan wayang kulit, seni suara dan seni ukir. Menariknya, mereka tidak menekankan aspek hukum taklifi terlebih dahulu sebaliknyamenerapkan unsur-unsur tauhid dan nilai-nilai keislaman dalam bataskemampuan masyarakat setempat. Maulana Malik Ibrahim dikatakan tidakmencemuh segala kepercayaan dan pegangan lama penduduk tempatan. Sunan
Kalijaga pula memasukkan cerita-cerita Islam melalui wayang kulit bagimenggantikan hikayat Hindu yang diwarisi daripada nenek moyang.

Terdapat lagu-lagu yang dicipta oleh Kalijaga, Bunang, Kudus, Muria dan Drajat. Melalui seni suara yang diucapkan, mereka secara halus mengajak orang Hindu-Buddha kepada Islam. Perlu difahami bahawa seni boleh menjadi medan dakwah paling relevan hingga ke hari ini. Dakwah menjadi lebih lancar dan segar-bugar dengan adanya unsur-unsur seni yang menyegarkan.

Kita tidak boleh menolak kadang- kadang khalayak terutama remaja mudah bosan dengan khutbah dan ceramah,

Menyedari hakikat ini industri perfileman dan lagu sangat berkuasa dipersada seni harus menerima pembaharuan dan dibaik pulih. PAS harus meneraju perubahan ini. Jika kita sering mengkritik filem dan lagu di Malaysia mengapa pula kita tidak boleh menjadi penyumbang dan mengahsilkan sebuah karya yang mampu menembusi arena seni kebangsaan. Kita bukan golongan yang tandus tenaga pakar yang ahli dalam bidang ini. PAS harus meneroka jauh kehadapan demi kepentingan ummah dan Islam.

Situasi ini menuntut kesungguhan pengorbanan yang tinggi dari semua lapisan anggota parti terutama golongan agama, mereka ini bukan sekadar bercakap soal halal haram di masjid surau sahaja tetapi sanggup untuk turun padang bagi memandu masyarakat tentang cara pelaksanaannya. Kita harus memperakui kehebatan mubaligh- mubaligh Kristian yang begitu rancak mengembang fahaman mereka melalui apa jua cara termasuk perfileman. The Story of Jesus for Children, adalah filem yang diterbitkan khas untuk kanak- kanak mengenali Jesus telah dilancarkan dan diterjemah hampir ke lapan puluh bahasa. Filem tersebut telah dimuatkan di dalam sebuah laman web yang dibina khusus untuk filem tersebut. (www.jesusforchildren.org). Persoalannya adakah kita akan berpeluk tubuh sebagai pemerhati setia sahaja? Kita ummah Muhammad yang adalah ummah yang terbaik wajib berkerja untuk mengimbangi kegiatan seni yang semakin meruncing.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang sedang menuju era kegemilangan, wajib lah memandang serius untuk meneroka bidang seni sebagai salah satu wasilah dakwah.Kalau diteliti tentang penorakaan seni wasilah dakwah oleh gerakan islam seluruh dunia nescaya kita akan lihat Parti Keadilan Sejahtera PKS lebih terkehadapan dalam menerokai bidang ini. Mereka mempunyai kumpulan penyanyi tersendiri yang mampu menarik puluhan ribu peminat seni muzik untuk terut serta dalam konsert yg dianjurkan mereka. PKS juga telah menerokai bidang perfileman, filem yang bertajuk Sang Murabbi terbitan mereka telah membuka mata masyarakat, sebelum ia dilancarkan secara rasmi, pihak penerbit filem telah menerima tempahan yang amat memeranjatkan industri perfileman indonesia iaitu sebanyak 10 ribu keping DVD. Jika PKS mampu menerokai pelbagai bidang mengepa PAS tidak boleh melakukan perkara yang sama atau lebih maju dari itu.

Wednesday, May 25, 2011

Kewajiban Memberi Nafkah Zahir

Oleh Al-Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas

Apabila gerbang perkahwinan sudah dilalui, maka suami dan isteri haruslah saling memahami kewajiban-kewajiban dan hak masing-masing, agar tercapai keseimbangan dan keserasian dalam membina rumah tangga yang harmoni.

Di antara kewajiban-kewajiban dan hak-hak tersebut adalah seperti yang tersurat dalam sabda Nabi Sallallaahu ‘alaihi wa sallam, dari Sahabat Mu’awiyah bin Haidah bin Mu’awiyah al-Qusyairi radhiyallaahu ‘anhu bahwasanya dia bertanya kepada Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam, “Ya Rasulullah, apakah dia hak seorang isteri yang mesti dipenuhi oleh suaminya?” Maka Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam menjawab:

1. Engkau memberinya makan apabila engkau makan,
2. Engkau memberinya pakaian apabila engkau berpakaian,
3. Janganlah engkau memukul wajahnya,
4. Janganlah engkau memburuk-burukkannya (menghinanya), dan
5. Janganlah engkau meninggalkannya melainkan di dalam rumah (iaitu jangan berpisah tempat tidur melainkan di dalam rumah).”

ENGKAU MEMBERINYA MAKAN APABILA ENGKAU MAKAN
Memberi makan merupakan istilah lain dari memberi nafkah. Memberi nafkah ini telah diwajibkan ketika sang suami akan melaksanakan ‘aqad nikah, yaitu dalam bentuk mahar, seperti yg tersurat dalam Al-Qur’an, surat al-Baqarah ayat 233.
Allah berfirman
"Ertinya: …Dan kewajiban si ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang itu tidaklah dibebani lebih dari kemampuannya.” (Al-Baqarah: 233)

Bahkan ketika terjadi perceraian, suami masih berkewajiban memberikan nafkah kepada isterinya selama masih dalam masa ‘iddahnya dan nafkah untuk menguruskan anak-anaknya. Barangsiapa yang hidupnya sekadar cukup makan, dia tetap wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
"ertinya: …Dan orang yang terbatas rizkinya, hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak membebani seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.” (At-Thalaq: 7)

Ayat yang mulia ini menunjukkan kewajiban seseorang untuk memberikan nafkah, meskipun ia dalam keadaan serba kekurangan, tentunya hal ini disesuaikan dengan kadar rezeki yang telah Allah berikan kepada dirinya.

Berdasarkan ayat ini pula, memberikan nafkah kepada isteri hukumnya adalah wajib. Sehingga dalam mencari nafkah, seseorang tidak boleh bermalas-malasan dan tidak boleh bergantung hidup kepada orang lain serta tidak boleh meminta-minta kepada orang lain agar memberikan nafkah kepada isteri dan anaknya. Sebagai ketua rumah tangga, seorang suami harus memiliki usaha dan bekerja dengan sungguh-sungguh sesuai dengan kemampuannya.

Perbuatan meminta-minta menurut Islam adalah perbuatan yg sangat hina dan tercela. Hatta burung sekalipun, yang diciptakan oleh Allah ‘Azza wa Jalla tidak sesempurna manusia yang dilengkapi dg kemampuan berpikir dan tenaga yang jauh lebih besar, tidak pernah meminta-minta untuk mencari makan dan memenuhi keperluannya. Ia terbang pada pagi hari dalam keadaan perutnya kosong, dan kembali ke sarangnya pada waktu petang dengan perut yang telah kenyang. Demikianlah yang dilakukannya setiap hari, meskipun hanya berbekalkan sayap dan paruhnya sahaja.

Dalam mencari rezeki, seseorang hendaknya berikhtiar (melakukan usaha) terlebih dahulu, kemudian bertawakkal (menggantungkan harapan) hanya kepada Allah, sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam.

"mafhumnya: Seandainya kamu sekelian bertawakkal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, maka sesungguhnya kamu akan diberikan rezeki oleh Allah, sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung. Di pagi hari, burung itu keluar dalam keadaan kosong perutnya, kemudian pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang.”

Seorang suami juga harus memastikan (bahawa ia membawa pulang) rezeki-rezeki yang halal dan tayyibah, untuk diberikan kepada isteri dan anaknya. Bukan dengan cara-cara yang dicela dan dilarang oleh syari’at Islam yang mulia. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan menerima dari sesuatu sumber yang haram.

Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"mafhumnya: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik (juga). Sesungguhnya Allah Ta’ala memerintahkan kepada kaum mukminin seperti yang Dia perintahkan kepada Rasul. Maka, Allah berfirman: ’Wahai PRasul, makanlah dari makanan yg baik-baik, dan kerjakanlah amal yang salih." (Al-Mukminuun: 51)

Dan Allah Ta’ala berfirman.
"mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian." (Al-Baqarah: 172)

Kemudian Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan tentang seseorang yang lama bermusafir; rambutnya kusut berdebu, dan menadahkan kedua tangannya ke langit seraya menyeru, ‘Yaa Rabb-ku, yaa Rabb-ku,’ padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dipenuhi keperluan dengan yang haram, bagaimana do’anya akan dimakbulkan?”

Nafkah yang diberikan sang suami kepada isterinya, lebih besar nilainya di sisi Allah ‘Azza wa Jalla dibandingkan dengan harta yang diinfaqkan (meskipun) di jalan Allah ‘Azza wa Jalla, atau diinfaqkan kepada orang miskin, atau untuk memerdekakan seorang hamba sahaya.

Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"mafhumnya: (Antara) wang yang engkau infaqkan di jalan Allah, wang yang engkau infaqkan untuk memerdekakan seorang hamba (abdi), wang yang engkau infaqkan untuk orang miskin, dan wang yang engkau infaqkan untuk keluargamu, maka yang lebih besar ganjarannya adalah wang yang engkau infaqkan kepada keluargamu.”

Setiap yang dinafkahkan oleh seorang suami kepada isterinya akan diberikan ganjaran oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa sallam:
"Mafhumnya: …Dan sesungguhnya, tidaklah engkau menafkahkan sesuatu dengan niat untuk mencari wajah (yakni keredhaan) Allah, melainkan engkau diberi pahala dengannya, sehinggakan apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu akan mendapat ganjaran.”

Seorang suami yang tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka ia berdosa. Nabi Sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
"Mafhumnya: Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang wajib ia beri makan (tanggungan yang wajib diberi nafkah).”

(Disalin dari buku Bingkisan Istimewa Menuju Keluarga Sakinah, Penulis Yazid bin Abdul Qadir Jawas, Penerbit Putaka A-Taqwa Bogor - Jawa Barat, Cet Ke II Dzul Qa'dah 1427H/Desember 2006)
___ Foote Note
. Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 2142), Ibnu Majah (no. 1850), Ahmad (IV/447, V/3, 5), Ibnu Hibban (no. 1286, al-Mawaarid), al-Baihaqi (VII/295, 305, 466-467), al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah (IX/159-160), & an-Nasa'i dalam ‘Isyratun Nisaa' (no. 289) & dalam Tafsiir an-Nasa'i (no. 124). Hadits ini dishahihkan oleh al-Hakim & disetujui oleh adz-Dzahabi.
. Hadits shahih: Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (no. 2344), Ahmad (I/30), Ibnu Majah (no. 4164), at-Tirmidzi berkata, “Hadits ini hasan shahih.” Dishahihkan juga oleh al-Hakim (IV/318), dari ‘Umar bin al-Khaththab radhiyallaahu ‘anhu.
. Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Muslim (no. 1015), at-Tirmidzi (no. 2989), Ahmad (II/328) & ad-Darimi (II/300), dari Shahabat Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu.
. Hadits shahih: Diriwayatkan oleh Muslim (no. 995), dari Shahabat Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu.
. Hadits shahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 1295) & Muslim (no. 1628), dari Sa’ad bin Abi Waqqash radhiyallaahu ‘anhu.
. Hadits hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 1692), dari Shahabat ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallaahu ‘anhuma. Hadits ini dihasankan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahiih Sunan Abi Dawud (V/376, no. 1485).
Penulis: Al-Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas & diterbitkan oleh almanhaj.or.id

(sumber: http://www.akhlakislam.com/hak-isteri-yang-harus-dipenuhi-suami-mem...)