Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Tuesday, December 1, 2009

Antara Tajdid dan Biadab

Debat TV antara Dr. Muhd Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin and Dr. Fauzi Deraman

Oleh Abdul Muntaqim Zulkipli (mantan Timb. Presiden PKPIM)


Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.



Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’ minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.



Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.



Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.



Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!



Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!



Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.



Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid! Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.



Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!



Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.



Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.



Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!



Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!



Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.



Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!



Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.



Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab. Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh- lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.



Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!



Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.



Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.



Wallahu’alam.

Survey: The Importance of the English Language in the Workplace


KUALA LUMPUR, November 19 2009 – The importance of the English language in the workplace continues to be a top concern among employers in the country, a JobStreet.com study reveals.
According to the results of this study, a staggering 91% of employers said that English is the language of business communication. By contrast, only 6% of them used the Chinese language while 2% used Bahasa Malaysia instead.
We also asked employers if the quality of the English language amongst new hires has improved over the last one year. More than half (54%) stated that there was no change while 16% say that it has dropped. Still, a notable 30% maintained that it has improved, though this may be due to an influx of foreign university graduates returning to the country.
To every business entity, productivity is of utmost importance. A landslide majority of 95% of employers believed that better English would improve the productivity of employees, as opposed to the 5% who don’t. It was not surprising then to find that 66% of employers have turned down applicants due to a bad command of English while a further 26% would do so if necessary.
But how do employers screen through new hires on their command of the English language? Screening via phone interviews and resume slips come in at 36% and 53% respectively. The most popular method by far however is to screen a new hire’s English through a face-to-face interview (84%).
Still, despite these various methods to filter applicants, about 61% of employers surveyed said they were looking for the right tools to gauge a job seeker’s command of the English language. Also, 78% of employers were keen on using an English test to help in the hiring process. In line with these numbers, 63% of employers preferred to hire new people with already a good command of English, while 30% would give on-the-job training to new hires.
The emphasis for the employers at large lies mainly in the competency of new hires when it comes to conversational English. The JobStreet.com study revealed in terms of importance, 92% of employers felt that conversational English was the most important with 65% choosing grammar, 55% indicated comprehension and 47% saying vocabulary.
This study on the importance of the English language in the workplace was conducted by JobStreet.com in August 2009. With the participation by 1001 employers, the study was a follow-up research on an earlier survey in July 2009 on reasons why employers felt fresh graduates remained unemployed.
*Note: Curious to see where you stand amongst your peers in English? Take the JobStreet.com ELA today.

--

wanita & warna

 
Merah
Happy -Go-Lucky! Berani, tegas dan mempunyai pendirian sendiri.

Biru
Setia pada pasangan, pandai berjimat, suka berterus-terang, jujur, cekap dan mudah memaafkan.

Ungu
Pemurah hati, tak suka di printah, berinisiatif, bijak tapi ada masanya terlalu beremosi.

Kelabu
Suka merendah diri, tenang, suka mengalah, suka berkorban, cerdas dan bijak.

Kuning
Gemar membaca, tekun, cerdas dan tabah menghadapi cabaran.

Putih
Bersih fikirannya, tak crewet, berkata benar, jujur, rendah hati, sopan santun, pramah, sentiasa tenteram hatinya,suka menolong dan hidup bertawakal.

Hijau
Segar, suka pada kebahgiaan, tak suka bergaduh atau bertekak, patuh pada pegangan agama, suka berhias, teguh pendirian hingga kadang-kadang seakan kolot.

Hitam
Suka menyendiri, perhatin, kuat menghadapi dugaan hidup, tak mudah di pengaruhi, kuat berfikir,setia pada pasangan, baik hati tapi akan cepat tersinggung.

Coklat
Kaya dengan sifat keibuan, merendah diri, sopan santun, halus budi pekerti, hati mudah merasa was-was dan takut berbuat salah.

Ok, tak kiralah sama ada anda tergolong dalam kategori wanita yang satu. Hakikatnya, kaum Hawa di cipta dengan keistimewaan yang tersendiri. Kecantikan wanita yang sebenarnya bukan terletak pada kehalusan wajahnya, tapi jiwa dan hati nalurinya. Didikan agama paling penting. Betul tak? Dari situlah kecantikan akan menyerlah sepanjang hayat. Smile Smile

Smile Smile Smile

Makna air mata insan

Makna air mata insan

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.

Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.

Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:


# Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
# Menangis kerana rasa takut.
# Menangis kerana cinta.
# Menangis kerana gembira.
# Menangis kerana menghadapi penderitaan.
# Menangis kerana terlalu sedih.
# Menangis kerana terasa hina dan lemah.
# Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
# Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
# Menangis orang munafik - pura-pura menangis.


Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.

Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka.

Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

# Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.
# Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.
# Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.


Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud: “Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.

# Apabila dahinya berpeluh.
# Air matanya berlinang.
# Hidungnya keluar cecair.


Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t.

Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.


--

Khasiat minyak ikan kepada kesihatan

Khasiat minyak ikan kepada kesihatan
MANFAAT pengambilan minyak ikan dalam pemakanan seharian semakin banyak diperkatakan. Minyak ikan khususnya ikan berlemak yang lazimnya diperolehi daripada lautan perairan sejuk seperti salmon, tuna, makerel, hering dan beberapa lagi. Lebih khusus lagi adalah kandungan asid lemak,iaitu omega-3.
Dalam beberapa dekad ini banyak kajian klinikal yang diterbitkan menyokong kesan positif pengambilan asid lemak omega-3 kepada kesihatan. Kesihatan jantung antara isu yang banyak dibincangkan apabila dikaitkan dengan manfaat pengambilan minyak ikan.
Kesihatan jantung tidak boleh dipandang remeh. Apabila satu atau lebih arteri koronari menjadi sempit akibat pemendapan kolesterol dan bahan-bahan lain pada dinding salur darah dan membentuk plak, ia akan menjejaskan aliran darah ke otot jantung. Kejadian plak akan menyempit dan mengeraskan salur darah. Proses ini dipanggil aterosklerosis atau pengerasan arteri.
Sakit dada, tekanan darah tinggi, kesukaran bernafas, denyutan jantung yang cepat, pening adalah antara simptom lazim akibat masalah jantung. Pengambilan minyak ikan didapati bermanfaat dalam merendahkan paras kolesterol berbahaya. Selain itu, ia didapati meningkatkan penghasilan vasodilators poten (melapangkan arteri) untuk memperbaiki aliran darah.
Memandangkan kebaikan inilah kita dicadangkan mengambil ikan sebagai hidangan terutama ikan berlemak daripada perairan sejuk. Persatuan jantung Amerika mencadangkan pengambilan asid lemak omega-3, sama ada di kalangan mereka yang menghidap penyakit jantung koronari dan juga mereka yang normal.
Penghidap penyakit jantung koronari disarankan mengambil sekitar 1,000mg asid lemak omega-3 sehari, manakala The International Society for Study of Fatty Acids and Lipids (ISSFAL) mencadangkan pengambilan sekitar 650mg omega-3 sehari untuk pengekalan kesihatan.
Kajian yang dibuat pada 1992 menunjukkan pengambilan sebanyak 1800mg EPA dan 2200 mg DHA diperlukan untuk mereka yang mempunyai paras trigliserida yang tinggi.
Masalah keradangan
Artritis merupakan masalah keradangan sendi dan mungkin juga menjadi simptom kepada masalah kesihatan lain. Banyak jenis artritis yang boleh berlaku, tetapi yang paling lazim adalah osteoartritis, reumatoid artritis dan gout.
Beberapa kajian merumuskan suplemen minyak ikan seharusnya dianggap sebagai sebahagian daripada terapi artritis. Asid lemak omega-3 juga menghalang aktiviti enzim aggrecanases yang memecah rawan sendi. Penghidap artritis juga didapati mempunyai profil asid lemak yang tidak normal dan kurang dalam sesetengah asid lemak perlu.
Pengambilan asid lemak omega-3 iaitu asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid dokosahesenoik (DHA) boleh membantu memandangkan ia terbabit dalam pengurangan keradangan. Omega-3 menghasilkan perubahan yang baik dalam merencatkan penghasilan kompaun keradangan yang dirembeskan oleh sel darah putih.
Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet, jurnal perubatan mencadangkan kemerosotan sendi yang berkaitan dengan artritis boleh diperlahankan dengan pengambilan suplemen. Ia menjelaskan mengapa suplemen seperti minyak evening primrose dan minyak ikan dalam nisbah 4:1 bermanfaat untuk merawat artritis.
Asid lemak perlu terutama EPA adalah penting untuk psoriasis (penyakit kulit kronik dengan tompok-tompok gatal, bersisik dan kemerahan). EPA merencatkan penghasilan leukotriene (agen keradangan poten) daripada asid arakidonik.
Perubahan positif di kalangan penghidap psoriasis boleh dilihat dengan pengambilan omega-3 yang membantu dalam pengurangan penghasilan leukotriene yang meningkatkan pergandaan sel dan penghasilannya yang lebih tinggi di kalangan penghidap psoriasis.
Memandangkan tubuh tidak boleh menghasilkan asid lemak perlu, dengan itu kita perlu mendapatkannya melalui diet dan pengambilan suplemen. Asid lemak perlu (EFAs) yang terdiri daripada omega-6 dan omega-3 adalah nutrien penting dan mempunyai agen antikeradangan. Konsentrasi EPA dan DHA yang tinggi lazimnya menjadi pilihan untuk memenuhi dos yang diperlukan serta memudahkan pengambilan.

Senarai 50 tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009

Nik Aziz disenarai 50 tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009


KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.
Menteri Besar Kelantan itu,  disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.


Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Wanita tidak sedar jadi mangsa keganasan

Wanita tidak sedar jadi mangsa keganasan
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
JANGAN sesekali fikir keganasan terhadap wanita hanya berlaku apabila adanya tindakan fizikal seperti tamparan, tumbukan atau tendangan daripada lelaki sehingga menimbulkan kesan luka dan lebam di mana-mana bahagian badan.
Keganasan terhadap wanita juga berlaku melalui lima cara lain iaitu psikologi dan emosi, sosial, kewangan, seksual serta domestik.
Kebanyakan lelaki tidak menyedari perlakuan mereka mengugut, mencaci atau menengking wanita adalah salah satu bentuk keganasan yang disebut psikologi dan emosi.
Sikap ini akan membuatkan mangsa sentiasa berada dalam keadaan takut, hilang keyakinan dan mengehadkan kebebasan atau haknya untuk membuat pilihan sendiri.
Manakala, keganasan sosial berlaku apabila wanita dihalang bergaul atau ditakut-takutkan untuk bersosial dengan orang lain sehingga membuatkannya bergantung kepada pelaku.
Selain itu keganasan kewangan dikatakan wujud apabila wanita dihalang dan tidak dibenarkan bekerja, ditegah membelanjakan pendapatan untuk diri sendiri atau menyimpan wang gaji.
Dari segi keganasan seksual, ia timbul jika wanita diperlakukan seperti hamba seks ketika melakukan hubungan seks, kekasaran ke atas fizikal sehingga menimbulkan kesakitan atau dipaksa melakukan gaya seks membebankannya.
Ia juga boleh berlaku melalui perhubungan seks antara suami isteri, perbuatan rogol atau liwat.
Cara keganasan domestik adalah hampir sama dengan keganasan kewangan cuma bezanya lelaki terbabit akan bertindak menguasai diri, kehidupan sosial atau kewangan wanita.
Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan berkata, setiap hari 10 wanita menjadi mangsa dera di negara ini namun itu hanya kes yang dilaporkan kepada polis, jadi tidak diketahui jumlah sebenar yang kemungkinan jauh lebih tinggi.
"Kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, tempat awam, jalan raya dan dalam kenderaan.
"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan orang yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Memerangi Jenayah Keganasan Terhadap Wanita: Tindakan Segera Menyelamatkan Nyawa sempena Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2009 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, majlis itu dihadiri lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada ahli parlimen, pengerusi dan ahli Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK), pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta penuntut universiti.
Majlis itu bertujuan memberi penerangan mengenai akta yang melindungi wanita dan kanak-kanak dalam kes keganasan.
Pada masa yang sama ia juga diharap dapat meningkatkan pengetahuan wanita mengenai keganasan terhadap mereka, di samping menjelaskan puncanya serta cara menangani jenayah berkenaan.
Selain itu, ia bagi mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan peranan semua pihak dalam menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita.
Chin Lan berkata, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.
Gejala ini katanya, berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.
"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.
Kebiasaannya, wanita yang menunjukkan sikap terlalu bergantung kepada lelaki, tidak mempunyai pengetahuan berhubung jenayah keganasan, tidak melawan, terlalu mendengar kata dan cuai dengan persekitaran sering menjadi mangsa.
Malangnya menurut Chin Lan, banyak wanita sendiri yang tidak menyedari mereka menjadi mangsa kerana menganggap keganasan hanya berlaku dalam bentuk fizikal iaitu apabila dipukul atau dikasari.
Sedangkan hakikatnya, keganasan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penderaan dari segi emosi.
"Ada juga wanita yang menyedari mereka mangsa keganasan tetapi mendiamkan diri kerana takut, malu atau lebih memikirkan kepentingan anak. Lebih teruk ada yang tidak tahu wujudnya undang-undang khas untuk kesalahan ini.
"Keadaan ini memang menyedihkan dan sudah tiba masanya untuk wanita sendiri berubah serta mengambil tahu nasib diri mereka," katanya.
Bercerita pengalaman sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota polis dan pakar motivasi bagi mangsa jenayah, Chin Lan berkata, beliau sudah berurusan dengan banyak kes termasuk yang amat menyedihkan.
"Saya pernah berurusan dengan seorang suri rumah yang mengorbankan masanya hampir 30 tahun untuk menguruskan rumah tangga, melayan suami dan membesarkan anak-anak.
"Wanita ini adalah seorang isteri dan ibu yang sangat setia kepada keluarga sehingga tidak tahu bersosial bersama masyarakat atau rakan-rakan.
"Namun suaminya ingin berkahwin lain dan mahu memberinya pampasan kira-kira RM30,000. Cuba anda fikir, adakah jumlah itu berbaloi dengan pengorbanannya selama ini?
"Ada juga kes wanita yang berpuluh kali dipukul suaminya dan melaporkannya pada polis tetapi apabila diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan supaya dakwaan boleh dikenakan terhadap suaminya, dia tidak melakukannya kerana simpati dan akhirnya berbaik semula atas alasan anak-anak masih kecil,'' kata Chin Lan.
Menurut Chin Lan, wanita tidak seharusnya menjadikan sesuatu perkara terutama anak sebagai alasan untuk terus bersama pelaku kerana itu akan menyebabkan mereka terus menjadi mangsa.
"Sebenarnya negara mempunyai banyak akta membantu wanita yang dianiaya. Jadi jika keganasan wanita berlaku kepada anda, bertindaklah segera.
"Jika sekali kena, mungkin peluang masih boleh diberi kerana ia mungkin tidak disengajakan tetapi jika ia membabitkan keganasan serius atau untuk kali seterusnya, jauhkan diri dan tolong buat laporan polis kerana nyawa lebih berharga," katanya.
Ujarnya, mangsa adalah individu utama yang boleh membantu dirinya dan perlu bertanggungjawab dalam membantu polis menyelamatkan dirinya dan mengurangkan jenayah keganasan terhadap wanita yang semakin meningkat ketika ini.
Usaha membendung jenayah keganasan terhadap wanita, bukan bergantung kepada seorang individu, satu organisasi atau di bahu kerajaan tetapi perlu membabitkan kerjasama semua rakyat di negara ini.

--