Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Thursday, November 5, 2009

Lima komponen diri penentu tumpuan maksimum

Lima komponen diri penentu tumpuan maksimum


Oleh Siti Aishah Mahamad

TUMPUAN sangat penting dalam kehidupan, sama ada ketika solat, belajar, bekerja, beribadat atau bersukan.

Sewaktu solat, tumpuan ialah khusyuk. Kita maklum Allah menjanjikan pelbagai kelebihan bagi orang yang khusyuk ketika solat. Dalam sukan pula, kita sering mendapati juara kecundang di gelanggang disebabkan hilang tumpuan ketika pertandingan.

Tumpuan sangat penting dalam proses pembelajaran. Saban tahun kita membaca dalam akhbar cerita kejayaan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa faktor utama mereka lulus cemerlang kerana memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.

Tumpuan yang dimaksudkan di sini ialah semua komponen diri iaitu tumpuan jasad, hati, akal, emosi dan roh.

Dalam bilik kuliah, tumpuan jasad dimulakan dengan pemilihan tempat duduk yang membolehkan seseorang pelajar mendapat tumpuan maksimum.

Tempat duduk terbaik ialah di bahagian mudah dilihat pensyarah dan pelajar senang mendengarnya. Ini disebabkan tumpuan jasad utama ialah tumpuan penglihatan dan pendengaran supaya segala nasihat, panduan dan pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah dapat dicerap sepenuhnya.

Tumpuan hati pula perlu dimulakan dengan azam belajar bersungguh-sungguh dan berjaya sebagai pelajar cemerlang. Menghadiri program motivasi, begitu juga membaca cerita kejayaan ahli sains adalah antara cara menumpukan hati terhadap kegiatan berkaitan ilmu pengetahuan.

Dalam kelas, keinginan hati perlu dikawal supaya kita hanya memberikan perhatian kepada aktiviti pembelajaran dan hati tidak menyimpang kepada perkara lain yang tiada kaitan dengan ilmu.

Antara cara melakukan tumpuan emosi pula ialah menanamkan tekad untuk berjaya bagi membalas jasa dan memenuhi harapan ibu bapa. Tekad juga termasuk ingin menyumbang kepada agama, negara dan ummah.

Pada masa sama, pelajar hendaklah mengawal emosi negatif yang mungkin merencatkan motivasi seperti perasaan tidak sukakan pensyarah, tidak suka sistem atau peraturan universiti.

Perkara remeh-temeh ini wujud di mana-mana dan jangan dibiarkan menjejaskan prestasi.

Tumpuan akal pula bermaksud fokus sepenuhnya bagi memahami pelajaran, menyelesaikan soalan latihan, menyiapkan projek, tugasan dan sebagainya. Penumpuan akan menjadikan akal kita kuat. Untuk melakukan penumpuan akal, pelajar hendaklah memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran pensyarah sama ada dalam dewan kuliah atau makmal.

Ini bermaksud pelajar hendaklah membaca, mendengar, mencatat dan berfikir dengan penuh minat setiap unit ilmu yang disampaikan pensyarah. Selepas itu, pelajar hendaklah membuat latihan, tugasan, dan sebarang kerja berkaitan dengan topik yang baru diajar itu segera.

Kelewatan melakukan kegiatan pengukuhan ini akan mengurangkan kualiti hasilnya. Ini kerana penangguhan boleh menyebabkan kurang motivasi dan kurang daya ingatan.

Pelajar perlu mengawal akalnya daripada memikirkan unsur negatif dan kurang utama kerana ini boleh mengurangkan kekuatan dan kualiti pemikiran.

Pembelajaran adalah kegiatan utama pelajar. Kegiatan lain seperti beribadah, bersukan, berekreasi dan sebagainya hendaklah dilakukan untuk menguat atau menyokong aktiviti pembelajaran atau sebagai aktiviti selingan saja.

Jangan sekali-kali melakukan kegiatan ini hingga menjejaskan pembelajaran. Contohnya, kegiatan sukan hendaklah dilakukan untuk menyihatkan dan mencergaskan badan. Kita tidak sepatutnya bersukan hingga meninggalkan kelas atau menyebabkan badan terlalu letih. Jika ini berlaku pelajar mungkin tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran atau mengulang kaji pelajaran.

Tumpuan roh adalah kemuncak segala tumpuan. Segala ibadat fardu dan sunat yang menjadi amalan orang bertakwa seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala aktiviti kebajikan adalah amalan yang mendekatkan diri pelajar dengan Allah. Ia juga dapat menambah kualiti kemanusiaan seseorang.

Kegiatan ini akan menguatkan iman, memberikan kesejahteraan hati serta akal dan ketenangan emosi. Juga, insya-Allah segala amalan ini akan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada pelajar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup dan cabaran sebagai pelajar remaja.

PENULIS adalah pengetua sekolah dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com


--

Penyelenggaraan Kenderaan

Bila perlu servis utama?

Jika anda sudah biasa dengan penyelenggaraan biasa, bagaimana pula dengan penyelenggaraan utama?




ENJIN kereta moden terbina daripada ratusan atau ribuan komponen bergerak yang saling berhubung antara satu lain bagi melengkapkan kitaran operasi.
Komponen itu dibina daripada material yang berbeza dan memiliki jangka hayat tertentu bergantung kepada ketahanan dan jangka hayat bahan tersebut.
Jadi, bagi memudahkan penjadualan gantian komponen, pihak pengeluar bersepakat untuk menyeragamkannya mengikut batuan perjalanan.
Semuanya dirujuk dengan melihat jarak perjalanan yang telah dilalui oleh kenderaan tersebut dalam odometer yang dipasangkan standard pada semua kenderaan bermotor.
Penyelenggaraan berkala yang pendek termasuklah penukaran minyak pelincir, bendalir kotak gear, cecair brek dan stereng kuasa, air radiator, pad brek, pengelap cermin, tayar dan beberapa yang lain.
Ia ditukar pada kadar perjalanan setiap 3,000 kilometer (km), 5,000 km, 10,000 km mengikut jenis kenderaan, ataupun berdasarkan pemerhatian fizikal.
Penyelenggaraan utama pula adalah komponen bergerak yang lebih panjang jangka hayatnya seperti tali sawat dan pelapik klac (untuk kereta manual).
Tali sawat
Enjin-enjin moden kebanyakannya menggunakan susunan silinder menegak yang disebut over head camshaft (OHC).

PASTIKAN anda menggunakan khidmat mekanik yang bertauliah semasa menukar tali sawat kereta.


Berbeza dengan teknologi lama seperti pushrod, enjin-enjin moden lebih kompak, ringan dan ekonomikal.
Susunan enjin itu memastikan silinder mempunyai jarak perjalanan yang maksimum dalam sebuah silinder yang kecil di mana crankshaft dihubungkan dengan aci-sesondol di bahagian kepala silinder dengan tali sawat.
Tugas tali sawat ialah memastikan crank atau engkol berpusing tepat sebagaimana aci-sesondol menekan balik injap, seterusnya palam pencucuh menghasilkan percikan api kepada kepala omboh.
Penentuan masa (timing) yang betul amatlah kritikal ketika pemasangan tali sawat kerana sedikit sahaja kesilapan, keharmonian pergerakan semua komponen itu akan terjejas.

TALI sawat kereta biasanya mempunyai jangka hayat batuan 100,000 km.


Tali sawat kenderaan mempunyai jangka hayat yang tertentu. Sila rujuk buku panduan kenderaan anda. Dalam kolum jadual penyelenggaraan biasanya dicadangkan batuan yang sesuai untuk ditukar tali sawat tersebut.
Sesetengah kereta pula terdapat pelekat khas yang diletakkan pada penutup rocker enjin untuk mengingatkan pengguna masa yang sepatutnya tali sawat ditukar.
Rata-rata pengeluar mencadangkan tali sawat ditukar selepas batuan mencecah 100,000 km. Namun, ada juga yang mencadangkan 60,000 km, 80,000 km dan sebagainya. Ia bergantung pada jenis kereta dan enjin.
Penukaran komponen itu perlu diambil serius kerana anda akan menghadapi mimpi ngeri sekiranya tali sawat putus secara tiba-tiba ketika enjin bergerak.
Bagi keadaan yang teruk, omboh boleh retak atau pecah dan injap kepala silinder boleh bengkok. Kos pembaikannya melibatkan proses yang disebut overhaul iaitu enjin yang mengalami masalah serius, perlu dileraikan dan digantikan komponen pakai lusuh yang lain.
Pemasangan tali sawat itu juga perlu dilakukan oleh mereka yang pakar. Enjin susunan empat silinder sebaris dengan aci sesondol tunggal biasanya lebih mudah.
Namun, bagi enjin dengan dua aci sesondol (DOHC) lebih sukar, malah enjin-enjin susunan V seperti Perdana V6 yang memiliki empat aci sesondol adalah lebih rumit.
Banyak kes terjadi, kereta kehilangan kuasa atau langsung tidak boleh dihidupkan selepas tali sawat ditukar akibat kesilapan menentu ukur pemasa tali sawat pada kedudukan yang tepat.
Timing chain
Namun tidak semua enjin jenis OHC menggunakan tali sawat. Ada segelintir yang menggunakan timing chain. Mekanismanya sama, namun komponennya lebih kukuh yang diperbuat daripada besi seperti yang terdapat pada motosikal.
Berbeza dengan timing belttiming chain memiliki jangka hayat yang lebih lama. Lazimnya lebih sekali ganda daripada usiatiming belt, namun kos penggantian biasanya lebih tinggi selain pemasangan yang agak kompleks.

TIMING chain mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding tali sawat.


Enjin yang menggunakan mekanisme itu ada yang dicadangkan pada batuan 200,000 km. Sama seperti timing belt, ia perlu diselenggara bila tiba masanya.
Bila jangka hayat komponen tersebut telah sampai masanya untuk ditukar, jangan berlengah lagi. Seperkara lagi yang lebih penting, pastikan peralatan tersebut adalah yang asli.
Walaupun harganya lebih mahal daripada komponen tiruan, ia dijamin pengeluar dan melalui proses kawalan kualiti yang rumit.
Ia telah diuji dan bertepatan dengan spesifikasi pengeluar. Jangan mengambil risiko berjimat dengan menggunakan komponen tiruan kerana tali sawat dan timing chain ibarat nyawa kenderaan.
Sumber: Kosmo

Mengapa sembahyang menghadap Kaabah ?

Soalan:
Memandangkan Islam mengharamkan penyembahan berhala, mengapa orang Islam menyembah dan tunduk kepada Kaabah semasa solat?

Jawapan:
Kaabah adalah kiblat iaitu arah yang dihadap apabila orang Islam menunaikan solat. Penting untuk dinyatakan, sungguhpun orang Islam menghadap Kaabah semasa solat, mereka tidak menyembah Kaabah. Orang Islam menyembah dan tunduk hanya kepada Allah (S.W.T.).
Surah Baqarah menyebut:
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan mukamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.”
[Al-Baqarah 2:144]
1.Islam menganjurkan perpaduan.
Contohnya jika orang Islam ingin menunaikan solat, berkemungkinan ada orang yang ingin menghadap utara, ada yang ingin menghadap selatan. Untuk menyatukan umat Islam dalam penyembahan kepada Tuhan Yang Satu, di mana sahaja mereka berada, umat Islam disyaratkan menghadap hanya satu arah, iaitu Kaabah. Jika ada umt Islam yang tinggal di sebelah barat Kaabah, mereka menghadap ke timur. Begitu juga, jika mereka tinggal di sebelah timur Kaabah, mereka menghadap ke barat.
2. Kaabah terletak di Tengah Peta Dunia.
Orang Islam merupakan orang pertama melukis peta dunia. Mereka melukis peta dengan bahagian selatan menghala ke atas dan utara menghala ke bawah. Kaabah terletak di tengah-tengah. Kemudian, ahli kartografi barat pula melukisnya terbalik, utara menghala ke atas dan selatan pula menghala ke bawah. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, Kaabah terletak di tengah-tengah peta dunia.
3. Tawaf mengelilingi Kaabah menandakan satu Tuhan.
Apabila orang Muslim pergi ke Masjidil Haram di Mekah, mereka mengerjakan tawaf ataupun membuat pusingan mengelilingi Kaabah. Perbuatan ini melambangkan kepercayaan dan penyembahan Tuhan Yang Satu, iaitu, sebagaimana setiap bulatan mempunyai satu pusat, maka, hanya Allah (S.W.T.) sahaja yang layak disembah.
4. Hadis Umar (r.a.)
Berkenaan batu hitam, Hajarul-Aswad, terdapat hadis yang dikaitkan dengan sahabat terbilang Nabi Muhammad (S.A.W.), Umar (R.A.).
Menurut Sahih Bukhari, Jilid 2, Kitab Haji, bab 56, H.No. 675, Umar (r.a) berkata,”Aku tahu engkau adalah batu dan tidak mendatangkan sebarang manfaat ataupun kemudaratan. Jika tidak kerana aku melihat Nabi (S.A.W.) menyentuh (dan mencium) kamu, nescaya aku tidak akan menyentuh (dan mencium) kamu.”
5. Ada orang berdiri di atas Kaabah dan melaungkan azan.
Semasa zaman nabi, ada orang yang berdiri di atas Kaabah dan melaungkan azan, ataupun panggilan untuk solat. Mungkin kita boleh bertanya orang yang mendakwa bahawa umat Islam menyembah Kaabah: siapakah penyembah berhala yang berdiri di atas berhala yang disembahnya?

Petikan daripada buku: 20 Persoalan Paling Lazim Tentang Islam (Tulisan Dr. Zakir Naik)(Terbitan Saba Islamic Media 2006)

Wednesday, November 4, 2009

Mutiara HaTi

"Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada pada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA: HAK KEPADA KUBUR.

Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (PENJAGA SYURGA)

Iaitu: Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Iaitu: Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu: Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

 

Tuesday, November 3, 2009

Transkrip Perbahasan Bajet 2010 0leh Dato Seri Anwar Ibrahim.

Berikut adalah Teks Perbahasan Bajet 2010 oleh Dato Seri Anwar Ibrahim diParlimen pada 26 Oktober 2009. Paparan ini dipetik dari Hansard Parlimen Malaysia

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah bahawa rang undang-undang bernama suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2010 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibacakan kali yang kedua sekarang dan masalah bahawa usul di atas nama Yang Berhormat Menteri Kewangan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat ini diedarkan kepada Jawatankuasa
sebuah-buah Majlis sekarang. Kedua-dua masalah tersebut terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat Permatang Pauh.

11.33 pg.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucap terima kasih atas kesempatan saya turut serta dalam perbahasan ini. Hari Jumaat yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2010 bertemakan Bajet Berkebajikan Rakyat.

Izinkan saya untuk meminta Dewan merenung semula ucapan bajet dan belanjawan sebelumnya. Semuanya menjanjikan sesuatu yang lebih baik dari sudut kebijakan ekonomi dan langkah-langkah fiskal yang boleh membantu untuk menjana pertumbuhan yang lebih meyakinkan. Apakah yang berbeza daripada ucapan belanjawan Yang Berhormat Menteri Kewangan tahun ini dengan ucapan belanjawan tiga tahun, lima tahun, enam tahun yang lalu?

BAJET 2010 : APAKAH PANDANGAN ISLAM?

BAJET 2010 : APAKAH PANDANGAN ISLAM?

Datuk Seri Najib memulakan pembentangan bajet dengan memetik surah Az Zukhruf ayat 32 dengan menekankan bahawa bajet ini adalah amanah yang diberikan yang wajib beliau tunaikan. Ketika artikel ini ditulis, masih terlalu awal bagi saya mengemukakan pandangan-pandangan tokoh mengenai bajet. Tetapi sebagaimana tahun-tahun yang sudah, samada pendangan yang memuji mahupun yang mengkritik masih dalam kerangka bajet dalam ideology kapitalisme. Jadi, apakah sebenarnya pandangan Islam tentang belanjawan, insyaAllah sama-sama kita kupas bersama malam ini.

SEJARAH BAJET
Bajet adalah pernyataan ekonomi dan kewangan utama yang dibuat setiap tahun. Di Britain, ia disedikan oleh Canselor dar Jabatan Exchequer untuk dibentangkan di Parlimen. Sejak 1698, menjadi satu amalan bagi Canselor untuk membentangkan bajet pada musim bunga atau kebiasaannya pada minggu keempat bulan Oktober. Sehingga hari ini menjadi budaya bagi mereka yang dididik sebagai pengamal ekonomi kapitalisme untuk menyusun bajet sedemikian rupa dan Menteri membentangkannya untuk 2/3 kelulusan di Parlimen.

PANDANGAN ISLAM TENTANG BAJET
1) Amalan membentangkan bajet untuk kelulusan cabinet adalah tatacara penggubalan hukum dalam system demokrasi. Sedangkan dalam system khilafah Islamiah, khalifah boleh meminta input dan pandangan majlis ummat (majlis syura) tetapi tidak perlu mendapat kelulusan. Majlis ummat sekadar bertanggungjawab memuhasabah jika khalifah tidak mengamalkan perbendaharaan yang selari dengan hukum Islam.
2) Segala bentuk sumber pendapatan, hak pemilikan dan pengagihan dalam bajet 2010 adalah sama sekali bertentangan dengan fiqh amwal fil Islam. Bentuk bajet yang dibentangkan adalah dirangka berdasarkan system ekonomi kapitalisme dan sama sekali tiada persamaan dengan sumber pendapatan dan kewangan dalam Islam. Kapitalisme mencipta sendiri hukum pendaatan Negara dan perbelanjaan, sesuai dengan aqidah sekular. Ini bercanggah dengan Firman Allah swrt:
“Maka demi Tuhan mu, mereka sekali-kali tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang kamu perselisihkan antara mereka.” (An Nisa’ 65)
Sabda Rasullulah saw:
“Sesiapa sahaja yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati urusan kami maka ianya pasti tertolak” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Dalam Shahih Muslim dari Jabir bin Abdullah berkata:
“Saya sedang sakit, kemudian saya dijenguk oleh Rasulullah saw bersama Abu Bakar. Mereka dating untuk menjenguk ketika saya dalam keadaan saya tidak sedarkan diri. Pada masa itu, baginda berwudhu dan mengalirkan air wudhunya kepada saya, kemudian saya tersedar. Saya bertanya, “ Wahai Rasulullah, bagaimanakaha caranya saya mengambil keputusan tentang harta saya?” Baginda tidak meberikan jawapan sehingga turunlah ayat tentang harta waris.
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa segala bentuk hukum wajib diambil secara rinci berdasarkan hukum yang telah diturunkan oleh Allah dan bukannya mengambil sumber hukum dari ideologi kufur seperti kapitalisme hari ini.
3) Secara purata, 70 peratus sumber pendapatan yang dibentang dalam bajet adalah bersumber dari cukai langsung mahupun cukai tidak langsung. Walhal cukai tersebut adalah jelas haram di sisi Islam. Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang memungut cukai tidak akan masuk syurga” (Hadith riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Al Hakim)
“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” (Hadith Riwayat Ahmad)
“Sekiranya kami menjumpai pemungut cukai sempadan, maka bunuhlah dia” ( Hadith Riwayat Ahmad)
4) Tindakan mengenakan cukai akan menyebabkan kenaikan harga barang. Ini adalah sangat jelas haram berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ma’qal bin Yasar:
“ Sesiapa sahaja yang mencampuri urusan harga kaum Muslimin untuk menaikkannya, maka sesungguhnya Allah swt berhak untuk menempatkannya dalam api neraka pada hari kiamat kelak:
5) Bajet ini tidak membezakan antara bentuk kepemilikan individu, umum dan Negara sebagai mana yang dijelaskan Islam. Akibatnya, Negara merampas harta yang secara syar’inya adalah kepemilikan umum mahupun kepemilikan individu. Rasulullah saw bersabda:

“Harta seorang Muslim tidak dihalalkan (bagi orang lain), selain mengikut kerelaan hatinya”
“Harta setiap Muslim, kehormatannya dan darahnya diharamnkan bagi Muslim yang lain” (Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Antara contohnya, hak milik umum seperti petroleum menjadi hak milik konsesi Petronas, wang rakyat digunakan bailout syarikat berkepentingan dan cukai dari pendapatan kita.
6) Penafian pendapatan negara yang yang tunjukkan oleh A Quran dan Sunnah seperti jizyah, anfal, ghanimah, kharaj, usyur, fa’I dan rikaz. Inilah pendapatan yang wajib diambil dan diusahakan oleh negara tetapi telah dinafikan dalam system sekular demokrasi hari ini.

7) Pendapatan negara yang bersumberkan riba’ dan menyuburkan riba. Riba’atau nama lainnya faedah/interest merupakan antara sumber pendapatan utama dalam bajet. Pakej-pkej raangsangan untuk memastikan sector perbankan yang berasaskan riba’ terus anjal.

Maksud Hadis Rasulullah S.A.W
“Rasulullah saw melaknat orang memakan riba, yang memberi makan riba, penulisnya, dan dua orang saksinya. Belia bersabda; Mereka semua sama”. (HR Muslim)

JIKA CUKAI DAN RIBA HARAM, JADI APAKAH SUMBER PENDAPATAN NEGARA ISLAM?
Islam menjelaskan hak kepemilikan kepada 3 bahagian, iaitu:
a. Harta milik negara
b. Harta milik umum
c. Harta milik inidvidu

a. Harta Milik Negara
Allah telah menjelaskan kepemilikan milik negara adalah
i. Ghanimah dan Anfal (Rampasan harta dari perang)
Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anfal. Katakanlah bahawa anfal itu untuk Allah dan Rasulnya. (Al Anfal :1)
Dan ketahuilah bahawa sesunggunya dari ghanimah yang kamu sekalian peroleh, maka seperlimanya untuk Allah dan Rasulnya. (Al Anfal : 41)
ii. Fa’I (Harta Rampasan tanpa berperang)
Dan apa saja fa’I yang diberikan Allah dan Rasulnya (dari harta benda)mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan tidak pula seekor unta pun, tetapi Allah yang member kekuasaan kepada RasulNya terhadap siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Al Hasyr :6)
iii. Kharaj – hak kaum Muslim ke atas tanah kharajiah (seluruh wilayah yang Islam masuk dengan jalanj jihad kecuali Makkah). Ia adalah berdasarkan ijma’ suquti para sahabat terhadap tindakan Umar ketika menjadi khalifah yang tidak membahagi-bahagikan wilayah khaibar.
a. Kharaj Unwah (Kharaj Paksa)
b. Kharaj Sulhi (Kharaj damai)
iv. Usyur – hak kaum muslimin terhadap tanaman di tanah usyuriah (wilayah ummat Islam yang tersebar dengan jalan selain jihad seperti Malaysia).

v. Jizyah – cukai ke atas kaum kafir dzimmi yang tinggal dalam Khilafah Islam.

“ Sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedangkan mereka dalam keadaan tunduk” (At Taubah : 29)

vi. Khumus dari Rikaz – galian yang yang terhad
vii. Harta kelolaan negara (marafiq) – harta-harta dan apa-apa yang dikelolakan oleh negara seperti perkhidmatan bas, pos dan sebagainya.
viii. Dharibah – harta yang diambil dari orang Islam dan mampu sahaja sekiranya seluruh dana yang ada habis atau tidak mencukup.

“keluarlah kalian dalam keadaan ringan mahupun berat. Dan berjihadlah dengan harta dan diri kalian di jalan Allah. Itulah yang lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui” (At Taubah : 9)
ix. Zakat
x. Harta ahlu riddah (orang murtad) dan harta tanpa tuan.
b. Harta Milik Umum
Harta milik umum adalah harta yang ditetapkan oleh Syar’ (Allah) sebagai milik bersama kaum Muslim. Ia tidak boleh dijadikan milik negara dan tiada ada mana-mana individu atau syarikat yang berhak memonopolinya.
Harta jenis ini boleh dikategorikan kepada 3 jenis, iaitu:-
i. Keperluan yang diperlukan oleh ummat dalam kehidupan seharian. Sabda Nabi
“ Ummat Islam berkongsi tiga perkara iaitu air, oasis dan bahan api”

ii. Harta yang keadaan asalnya terlarang bagi mana-mana individu memilikinya seperti kaabah, mina, masjid, jalan raya dll. Sabda rasulullah saw:
“Mina adalah milik orang-orang yang lebih dahulu sampai”
“Kalian dilarang duduk di jalan-jalan umum”
iii. Seluruh bahan galian yang bersifat tidak terbatas atau istilaf fiqihnya ma’al idd (air yang mengalir) seperti besi, timah, petroleum, gas dan bahan-bahan sumber alam yang bersifat sedemikian. Diriwayatkan oleh Abidh bin Hamal al Mazaniy
Sesungguhnya dia bermaksud meminta lombong gram dari Rasulullah. Maka baginda member kepadanya. Semasa baginda memberikannya, berkata seorang lelaki yang ada pada majlis tersebut, “ Apakah engkai mengetahui apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya apa yang telah engkai berikan itu adalah laksana air yang mengali (ma’al idd)”. Lantas baginda bersabda, “ (kalau begitu) tarik kembali darinya”.
C. Harta hak individu
Adalah harta yang dimiliki oleh individu yang diperolehi secara sah. Adalah haram bagi mana-mana pihak merampasnya.

Inilah penjelas ringkas sumber pendapatan negara Islam, yang telah ditunjukkan oleh Al Quran, ditunjukkan oleh Rasulullah dan diamalkan oleh khulafaur rasyidin. Ia sama sekali berbeza dengan mana-mana budget negara kapitalisme hari ini termasuk budget 2010 yang dibentang siang tadi. Ia merupakan suatu kewajipan yang wajib kita lakukan. Tanpa wujudnya khilafah, hukum amwal ini akan hanya jadi hukum yang bersawang tanpa perlaksanaan.

Kesimpulan
Dunia hari ini diatur menggunakan ideology kapitalisme. Sekularisme adalah aqidah bagi ideology, demokrasi adalah system pemerintahannya dan kapitalisme adalah system ekonominya. Bajet yang dibentangkan hari ini adalah sebahagian dari apa yang diajar oleh ideology kapitalisme. Ia bertentangan sama sekali dengan fiqh amwal dalam system ekonomi Islam. Akibat dari kehancuran system khilafah Islamiah , system pemerintahan Islam dan juga ekonomi sama-sekali tidak terlaksana dalam kehidupan hari ini. Maka, sumber pendapatan dan perbelanjaan yang jelaskan oleh Islam sama sekali dipraktikkan. Inilah yang membawa kesengsaraan kepada ummat dunia hari ini. Marilah sama-sama kita berdakwah untuk mengembalikan system khilafah Islam agar hukum seluruh hukum syara’ dapat dilaksanakan.

Petikan Maksud Al-Quran Surah Al Maidah

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengkehendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (Al Maidah :49-50)

Tujuh mitos, tujuh pembohongan

Tujuh mitos, tujuh pembohongan
Hishamuddin Rais
Okt 1, 09
2:46pm
Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat.

Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja.

Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos: Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut, maka kita akan mencari perlindungan.

Peranan untuk melindungi kita daripada hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini, ada hantu adalah nasihat yang bersalurkan penakutan. Nasihat ini baik kerana cuba menjaga keselamatan. Ia juga tidak baik kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu, tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka.

Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan dan kemudian terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.

Pertama: Pengumpulan pengalamnan. Kedua: Kaji selidik. Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.

Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori.

Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua.

Tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta.

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation. Bohong. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi.

Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah. Bohong. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata.

Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita. Bohong. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan.

Di zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio repuklik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika.

Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu. Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India.

Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu.

Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik. Bohong. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar.

Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik.

Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.

Dokument-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.

Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional.
--~--~---------~--~----~------
------~-------~--~----~