Lopeh Dicicah Gula@Lopez de Sequeira..
Pongsu Dalam Belukar@Alfonso De Albuquerqe
TATKALA kita dilaungkan yang Malaysia kini sudah 54
tahun mencapai kemerdekaan, kita seolah-olah lupa yang
negara sebenarnya dijajah selama 446 tahun.
Nyata usia kemerdekaan negara masih terlalu `muda'
berbanding tempoh tanah watan kita dijajah.
Antara penjajah pertama yang menduduki bumi bertuah
milik kita ialah Portugis apabila mereka menjajah
Melaka pada 1511 dan mendudukinya selama 130 tahun.
Bermula daripada Portugis, tanah air kita dijajah pula
oleh Belanda, British dan Jepun sebelum ia diserah
kembali untuk ditadbir anak watan sebagai sebuah
negara merdeka pada 31 Ogos 1957.
Sejarah panjang penjajahan negara ini bermula dengan
berlabuhnya angkatan laut Portugis yang digelar
`Benggali Putih' di Melaka pada 1509. Diketuai Lopez
de Sequeira, angkatan laut Portugis dihantar Raja
Portugal kononnya untuk menjalinkan hubungan
persahabatan antara Kerajaan Portugal dan Kerajaan
Melaka.
Bagaimanapun, terdapat niat lain di sebalik jalinan
hubungan ditawarkan Portugis. Berbekalkan slogan
`Gospel, Gold and Glory' (Injil, Emas dan
Kemasyhuran), mereka mula belayar ke Timur seawal abad
ke-15.
Kedatangan Portugis ke Timur dikaitkan dengan
keinginan mereka meneruskan Perang Salib; mereka ingin
menghancurkan Kerajaan Islam di Timur termasuklah
Kerajaan Melaka yang terkenal sebagai Pusat
Pengembangan Islam di Nusantara seterusnya menyebarkan
ajaran Kristian.
Selain itu, pelayaran mereka ke Timur juga bertujuan
mengaut kekayaan menerusi perdagangan rempah seperti
lada hitam, kayu manis, bunga cengkih dan buah pala.
Sebelum itu, perdagangan rempah dimonopoli pedagang
Islam yang mendapatkan bekalan di Melaka sebelum
menjual pada harga tinggi di Eropah. Portugis
berpendapat jika mereka berjaya menguasai Selat
Melaka, mereka akan berjaya mengambil alih kekayaan
itu daripada pedagang Islam.
Berikutan itu, dengan bermanis muka, Lopez de Sequeira
masuk menghadap Sultan Melaka ketika itu, Sultan
Mahmud Shah dan bagai menanam tebu di tepi bibir,
lelaki Portugis terbabit mula menaburkan janji manis
mengenai kebaikan jalinan hubungan antara kedua-dua
kerajaan.
Tanpa menyedari niat serong di sebalik kata-kata Lopez
de Sequeira, Sultan Mahmud Shah menyambut baik hasrat
Portugis malah membenarkan mereka berniaga di Melaka.
Baginda juga memberi jaminan keselamatan sepanjang
Portugis berniaga di situ.
Bagaimanapun, hasrat Portugis untuk menguasai
perdagangan dan menentang Islam diketahui pedagang
Islam dari Jawa dan Gujerat lalu mereka segera
memaklumkan muslihat bangsa asing itu kepada Bendahara
Tun Mutahir.
Bendahara Tun Mutahir pantas menyampaikan berita itu
kepada Sultan dan menasihati baginda supaya menangkap
orang Portugis termasuk pegawai kanan mereka, Ruy de
Araujo.
Lopez de Sequeira yang ketakutan kerana menyedari
tembelang mereka sudah pecah, bertindak melarikan diri
ke pangkalan mereka di Goa, India sekali gus
meninggalkan beberapa anak kapalnya ditangkap dan
dibunuh tentera Melaka.
Tindak balas Melaka itu segera disampaikan kepada Raja
Portugal dan pada 1510, satu angkatan laut diketuai
Alfonso de Albuquerque dihantar untuk menyerang
Kerajaan Melayu itu.
Sebaik tiba, Alfonso de Albuquerque menghantar utusan
menuntut askar Portugis yang ditawan segera dibebaskan
dan Melaka perlu membayar ganti rugi kepada mereka.
Wizurai Portugis itu juga meminta untuk mendirikan
kubu di Melaka tetapi semua tuntutan itu ditolak
dengan beraninya oleh Sultan Mahmud Shah.
Melihat tuntutannya tidak dilayan, ledakan meriam
daripada kapal perang Portugis dilepaskan pada 25
Julai 1511 seterusnya bermulalah serangan pertama
Portugis terhadap Melaka.
Soldadu perang Portugis segera mendarat di pantai
Melaka dan peperangan hebat terus berlaku. Suatu
ketika, askar Portugis berjaya menguasai jambatan
Sungai Melaka tetapi pahlawan tempatan segera bangkit
menentang.
Serangan balas diketuai Sultan Ahmad Shah menyebabkan
angkatan Portugis terpaksa berundur.
Portugis kembali menyusun strategi dan melancarkan
serangan kedua pada 10 Ogos 1511. Pertempuran hebat
meletus lagi di bumi Melaka dan selepas dua minggu
bertempur, akhirnya Alfonso de Albuquerque berjaya
menawan dan menjajah Melaka.
Sultan Ahmad Shah dan ayahandanya, Sultan Mahmud Shah;
pembesar, kerabat diraja serta beberapa rakyat
terpaksa berundur ke Muar. Dari Muar, mereka berundur
ke Pahang seterusnya Bentan.
Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mendirikan kerajaan baru
selepas kemangkatan anakandanya, Sultan Ahmad Shah.
Selepas penawanan Melaka, Sultan Mahmud Shah beberapa
kali cuba merampas kembali negaranya daripada Portugis
tetapi gagal.
Seterusnya pada 1511 kekal dalam ingatan kebanyakan
kita - ia adalah tahun di mana Melaka yang menjadi
simbol kegemilangan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu
atau mungkin mewakili tanah air kita, buat pertama
kalinya dijajah bangsa asing.
Kelemahan pemerintahan Melaka punca dijajah
PENJAJAHAN Melaka oleh Portugis pada 1511 turut
berpunca daripada beberapa kelemahan negara itu
sendiri.
Melaka yang dibuka pada 1400 oleh Parameswara atau
Sultan Iskandar Shah mencapai kemuncak kegemilangannya
sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan di zaman
pemerintahan Sultan Mansor Shah iaitu dari 1458 hingga
1477.
Bagaimanapun, selepas kemangkatan Sultan Mansor Shah,
zaman kegemilangan Melaka semakin menurun. Sultan
Alauddin Riayat Shah yang menggantikan baginda, mati
diracun pada 1488 seterusnya diganti Sultan Mahmud
Shah.
Di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah, beberapa
masalah dalaman timbul dalam Kerajaan Melaka antaranya
kelemahan pentadbiran, masalah perpaduan, kelemahan
ketenteraan sehingga akhirnya, kedatangan dan serangan
Portugis menyebabkan Melaka akhirnya dijajah.
Kelemahan dalam pentadbiran kerajaan berlaku apabila
Bendahara Tun Perak meninggal dunia pada 1498 dan
jawatannya diganti Bendahara Tun Mutahir yang bersikap
pilih kasih sehingga mencetuskan iri hati di kalangan
pembesar lain.
Sikap pilih kasih itu juga menyebabkan Tun Mutahir
difitnah yang beliau cuba mengatasi kekayaan Sultan
menyebabkan Sultan Mahmud Shah amat murka. Tanpa usul
periksa, baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tun
Mutahir dan keluarganya.
Selepas kematian Tun Mutahir, barulah Sultan Mahmud
Shah menyedari kesilapannya. Dalam kekesalahn, baginda
menyerahkan tampuk kepimpinan kepada anakandanya,
Sultan Ahmad Shah tetapi pengganti baginda adalah
seorang pemerintah yang tidak cekap dan lemah.
Pengganti Bendahara Tun Mutahir iaitu Tun Pepatih
Putih adalah seorang yang uzur menyebabkan kewibawaan
pentadbiran Melaka menjadi semakin lemah. Masalah
dalaman semakin menjadi-jadi dengan amalan rasuah dan
fitnah berleluasa.
Cukai kepada pedagang pula semakin tinggi menyebabkan
pedagang mula beralih untuk berniaga di pelabuhan lain
yang mengenakan cukai lebih rendah seperti Acheh,
Bantam, Patani dan Brunei.
Masalah perpaduan di kalangan penduduk Melaka timbul
apabila Tun Mutahir dilantik sebagai bendahara
menggantikan Tun Perak. Pelantikan Tun Mutahir
menimbulkan persaingan antara Orang Melayu dengan
India-Muslim dan kemuncak masalah adalah pembunuhan
Tun Mutahir akibat fitnah.
Kesan masalah itu turut merebak kepada rakyat jelata
di mana masyarakat Melaka semakin berpecah-belah dan
tidak bersatu padu. Keadaan itu turut menjejaskan
perdagangan di Melaka.
Kelemahan askar Melaka yang hanya menggunakan senjata
tradisional seperti keris, panah, sumpit beracun,
perisai dan tombak turut menjadi punca kekalahan dan
penjajahan Melaka oleh Portugis.
Walaupun ada antara tentera Melaka menggunakan
senapang dan meriam, senjata api milik Portugis
ternyata lebih hebat malah meriam mereka mampu
menembak ke sasaran yang lebih jauh.
Struktur dan strategi ketenteraan Portugis juga nyata
lebih lengkap dan terlatih berbanding tentera Melaka.
Portugis mendapat sokongan dari pangkalan tentera
mereka di Goa semasa melancarkan peperangan sebaliknya
askar upahan Melaka dari Jawa bertindak melarikan diri
semasa serangan Portugis.
Semua kelemahan itu menyebabkan Melaka akhirnya
berjaya dijajah Portugis dan seharusnya ia menjadi
iktibar kepada kita pada hari ini, semoga sempena
kemerdekaan negara yang ke-50, sejarah hitam
penjajahan itu tidak akan berulang.
FAKTA:
Pemerintahan Portugis
1511: Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 10
Ogos dan membuat permintaan membina kubu Portugis di
Melaka tetapi permintaannya ditolak Sultan. Selepas 10
hari mengepung, Portugis berjaya menawan Kota Melaka
pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam
bulan. Dengan tewasnya Sultan Mahmud Shah, Portugis
memerintah Melaka selama 130 tahun.
1513: Patih Unus dari Jawa, seorang pahlawan Jawa yang
menjadi Sultan Demak di Sumatera menyerang Kerajaan
Portugis di Melaka.
1518-1519: Sultan Mahmud Shah mengerah rakyatnya
membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa
tiga bulan dalam usaha menawan kembali negara itu.
1521: Gereja St Paul dibina Kapten Portugis, Duarte
Coelho dan dinamakan `Our Lady of The Hill', tetapi
kemudian ditukar Belanda kepada tempat persemadian
bangsawan dan dinamakan Gereja St Paul.
1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan
Melaka.
1525: Laksamana Hang Nadim mengepung Kota A Famosa.
Portugis membuat catuan makanan dari Goa.
1526: Seangkatan kapal besar di bawah Pedro
Mascarenhaas dihantar Portugal untuk memusnahkan
bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat
Melaka ke Kampar, Sumatera.
1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.
1537: Acheh menyerang Portugis di Melaka pada kali
pertama.
1545: Buat pertama kalinya, Fr Francis Xavier tiba di
Melaka. Pada keseluruhannya, beliau membuat lima
lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka
sebagai pusat operasinya di Timur.
1548: Kolej St Paul, sekolah pertama di Melaka, dibina
St Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan
orang tempatan yang murtad memeluk Kristian.
1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak menawan Melaka
dan mengepungnya selama tiga bulan.
1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan
serangan Acheh. Acheh mengawal Selat Melaka selama 60
tahun.
1582: Portugis membantu Johor daripada serangan Acheh
dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan
Johor pertama yang melawat Melaka.
1587: Johor menyerang Portugis secara besar-besaran
melalui serangan darat dan laut tetapi gagal.
1597: Belanda membuat serangan pertama ke atas Kota
Portugis Melaka.
1606: Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge
bekerjasama dengan Sultan Johor untuk menguasai
Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila
Portugis mendapat bantuan dari Goa.
1615-1616: Acheh menyerang Melaka.
1628-1629: Acheh memerintah Melaka selama lapan bulan
sebelum Portugis kembali mengambil Melaka.
1636: Kapal Belanda memusnahkan kapal Portugis di
pelabuhan.
1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan
menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor
No comments:
Post a Comment