Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.” (al-Bukhari)
Huraian:
Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur’an.
Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek.
Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.
Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya.
Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya.
Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment