Islamic Clock

Ustaz Muhammad Kazim Elias - Hidupnya Allah Dengan Ilmu (part 2)

Ustaz Dato' Badlishah

Ustaz Auni Mohamad

Ustaz Shamsuri kisah akhir zaman

Ustaz Azhar Idrus - Soal Jawab Masjid Saidina Umar AlKhattab Cenderawasih Kuantan - 22 Mac 2012

Ustaz - Dr. Rozaimi Ramle

Ustaz Ahmad Rozaini . Ummat Nabi yang terbaik( 1-12)

SAJAK ADI PUTRA

Currency Conversion

Sunday, March 30, 2014

ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN

*ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN
*Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai *facebook
DrMAZA.com*dan
*twitter realDrMAZA *)

Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah
agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari
mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang
disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari
segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang
lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun
semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan
agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.

Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat
Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang
terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis
sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah
Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat
membezakan antara israiliyyat.

*Cakap Orang Tua Tak Semua Betul*

Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi
yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia
adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan
juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya
tidak dibantah. *“Orang tua selalu betul”*. Hari ini barangkali tidak.
Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap
‘ketinggalan bas’.

Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah.
Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan
ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘*tuhan*’ yang
tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan
Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘*mandi safar*’ itu syirik, namun
oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘*ustaz*’, maka sekian lama
kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala
bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas.
Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’*francais*’ oleh
yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘*
sewaktu*‘ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat
kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus.
Generasi baru sudah mula celik.

*Sains Menolak Dongeng*

Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas.
Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan
berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula
mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam
masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di
masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa.
Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi
diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah
itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘*
kancil*’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan
seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.

Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh
bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan
berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini,
generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita
melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk
memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej
dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak
sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini.
Dahulu barangkali seorang ‘*ustaz*’ boleh bercerita dengan bebas jampi
penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu
dipertikaikan.

Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai
bahawa: *“Sesungguhnya
bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor
lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu
tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”*

Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini
adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika
mengulas riwayat ini:

“Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan
perkara-perkara merepek ini”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif,
m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah)

Kata Abu Syahbah :

“Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah,
Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah:
Maktabah al-Sunnah)

 Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka
menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada
atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini
adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi
ini terapung-apung di angkasa.

*Fokus Tajdid*

Kita menyeru kepada *tajdid *(pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita
katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan
antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa
mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti
kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak
menolak bentuk-bentuk *khurafat*.

Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan
antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah
al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan
kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan
fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya
iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi :

“Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari
kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam
al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi
metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka
telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada
berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak
lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada
sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan
kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas
al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)

 Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia
terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang
telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak
khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya
Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun
yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang
tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh
kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di
kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang
berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan
yang merosakkan agama.

Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan
meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.
Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada
inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah
lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian
besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran
hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah :

(maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat
kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada
Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya
Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)

Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat
dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang
Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman
yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya.
Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang
diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang
tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut.
Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat.
Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain
dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba
abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya
tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’
Qasas al-Sabiqin, 3/150)

Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada
tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu
pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada
perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk
pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa
Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah
telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa
Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan
seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur
kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu
sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain:

“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan
berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak
mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan
cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau
bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil,
menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap
pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak
melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan
kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan
kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran,
pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang
terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan
cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.

Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan
cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi
kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method
al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka
sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak
sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat
lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan
al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan
menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini
dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan
mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari
sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari
manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”.
(Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s.
85, Jordan: Maktabah al-Manar)

Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru.
Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim
membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa
mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu
memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi
memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika
waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang
termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah,
tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan
tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan
wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.

*Mengelirukan Wajah Islam*

Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti
kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam
mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang
dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu
menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar
sesetengah ‘*ustaz*’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000
tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji
umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.
Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!!
Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat.
Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia
dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan
Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau
al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:

“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di
medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk
dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas
di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba
menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan
mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka
memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak
sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum
muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah
al-Risalah).

Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru.
Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen

No comments:

Post a Comment