2 Oktober 1187 Pembebasan Al-Aqsa oleh Salahuddin Al-Ayubi
Jurnal | Dr. Mohd Roslan Mohd Nor
Keadilan Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa
Pencerobohan Palestin oleh Tentera Salib benar-benar mencabar
Salahuddin al-Ayubi, apatah lagi setelah khabar mengenai kekejaman
Tentera Salib terhadap Muslim telah tersebar. Ia membakar semangat jihad
Salahuddin untuk membebaskan bumi Palestin daripada tangan Tentera
Salib. Pembebasan bumi Palestin daripada kuasa penjajahan menjadi
keutamaan kepadanya memandangkan bumi tersebut sebagai salah satu
daripada tempat suci bagi umat Islam.
Bahā’ al-Dīn ibn Shaddād, seorang penulis biografi mencatatkan kata-kata Salahuddin bahawa,
“Ketika Tuhan mengizinkan saya untuk menakluki Mesir, saya
menyedari bahawa Dia juga menginginkan saya menakluki kawasan pantai
Syria, kerana Dia telah meletakkan ilham ini dalam fikiran saya.”
Realitinya, ungkapan tersebut bukanlah suatu perkara yang baru,
kerana kebanyakan Muslim berhasrat sama seperti beliau. Namun dalam
keadaan ini Salahuddin kelihatan lebih bertanggungjawab berbanding
Muslim lain dalam membebaskan Palestin dan kawasan sekitarnya. Matlamat
beliau akhirnya dapat direalisasikan setelah beliau berpeluang menjadi
pengganti kepada Nūr al-Dīn Zangī yang telah meninggal dunia di Damsyik
pada 569H/1174. Penggantian itu berlaku setelah beliau mendapat banyak
persetujuan daripada para panglima, pemimpin agama dan juga para pemikir
Islam.
Misi Salahuddin dan tenteranya melawan Perang Salib dalam
membebaskan Palestin daripada cengkaman pihak musuh telah menghasilkan
satu kemenangan yang besar. Sebelum menakluki Palestin, Salahuddin telah
berjaya membebaskan pelbagai wilayah sekitarnya. Perang Hittin jelas
mencerminkan budi pekerti Salahuddin yang mulia terhadap para panglima
Tentera Salib yang berjaya ditangkapnya. Antaranya ialah Raja Guy dari
Lusignan. Suatu ketika, Salahuddin meminta Raja Guy dan Raynald dari
Chatillon, kedua- duanya di bawa ke khemah menghadapnya dan meminta Raja
Guy duduk di sebelahnya. Melihat tetamunya yang kehausan, Salahuddin
menghulurkan minuman kepada Raja Guy. Serentak itu, Salahuddin berkata,
“Kami tidak memberikan kepadanya air untuk menyelamatkannya.” Walaupun
begitu, mengikut tradisi Arab, sikap ramah kepada tetamu dengan
memberikan minuman kepada mereka adalah sebagai tanda nyawanya dalam
keadaan selamat.
Salahuddin kemudian bergerak ke arah Raynald lalu membunuhnya
dengan pedang bagi memenuhi janjinya disebabkan oleh tindakan Raynald
yang bertindak menyerang kumpulan kafilah yang tidak bersenjata sewaktu
dalam tempoh gencatan senjata. Lebih buruk lagi, penghinaan Raynald
terhadap Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar menguji kesabaran Salahuddin,
menyebabkan dia berjanji tidak akan memaafkan serta akan membunuh
Raynald jika berjaya ditangkap. Guy yang menyaksikan kejadian tersebut
berasa gementar kerana merasakan saat pembunuhannya bakal tiba selepas
Raynald dibunuh Salahuddin, namun ditenangkan oleh Salahuddin dengan
berkata, “Bukan suatu kebiasaan bagi raja-raja membunuh raja-raja yang
lain, tetapi dia telah melampaui batas.”
Salahuddin akhirnya mengeluarkan perintah kepada para tenteranya
supaya melayan para tetamunya dengan baik, malah Raja Guy dihantar
pulang ke Damsyik dengan rasa hormat.
Layanan yang berbeza antara Raja Guy dan Raynald secara tidak
langsung telah membentuk pola yang berbeza dalam mengurus berdasarkan
kepada keadaan. Hanya yang melampaui batas sahaja akan diambil tindakan,
sebaliknya musuh yang tidak melampaui batas akan dimaafkan oleh
Salahuddin dan layak menerima layanan yang mulia daripada beliau. Ini
boleh dikatakan sama dengan tindakan Umar al-Khattab ketika beliau
memberikan jaminan kepada non- Muslim di Islamicjerusalem, melalui
perjanjian yang dikenali sebagai al-‘Uhdah al-‘Umariyyah.
Dalam misi menakluki Palestin, Salahuddin tidak menyerang Tentera
Salib secara membabi buta bagi menjaga hubungan kedua- dua belah pihak,
lebih-lebih lagi bagi memelihara kesucian al-Aqsa. Ini juga demi
mengelak daripada mana-mana bahagian bangunan rosak. Beliau mengambil
inisiatif mencontohi cara Umar al-Khattab ketika beliau berusaha
menakluki kawasan tersebut pada zaman awal Islam. Justeru, Salahuddin
bertindak menghantar utusan kepada pihak Tentera Salib agar menyerah
kalah, namun permintaan Salahuddin ditolak. Setelah dikepung 40 hari
oleh tentera Salahuddin, akhirnya kemenangan berpihak kepada
Salahuddin.
‘Imād al-Dīn al-Iṣfahānī melaporkan seramai lebih daripada 100,000
orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan
oleh tentera Islam. Sikap pemaaf Salahuddin terhadap masyarakat
Kristian telah menyebabkan beliau tidak menghukum bunuh mereka
berbanding yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam sebelum
ini. Bahkan mereka semua dibebaskan dengan syarat membayar wang tebusan
diri. 10 dinar untuk lelaki, 5 dinar untuk perempuan, dan 2 dinar untuk
kanak-kanak. 7000 daripada orang-orang miskin juga dibebaskan dengan
jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar sekaligus. Namun, sekiranya ada
antara mereka tidak mampu membayar wang tebusan diri tersebut, secara
automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.
Pendekatan Salahuddin tersebut secara tidak langsung dapat
mengelak pertentangan di Islamicjerusalem tanpa berlakunya pertempuran
atau pertumpahan darah yang lebih dahsyat. Ia sekaligus mencerminkan
kebaikan Islam itu sendiri di mata pihak musuh. Sesungguhnya diri
Salahuddin itu dihiasi dengan akhlak Islam yang indah. Pada pendapat
penulis, cara beliau melayan tawanan Kristian itu sendiri cukup
menggambarkan perwatakannya sebagai seorang yang pemaaf dan bersikap
belas kasihan, sekalipun dengan musuh Islam itu sendiri. Dari sudut
teori dan praktikalnya, layanan yang baik terhadap golongan bukan Islam
dan bersikap belas kasihan terhadap mereka adalah semata-mata bagi
menunjukkan kebaikan dan sikap pemaaf Islam itu, yang mana kebaikan itu
mengatasi segala keburukan dan perkara-perkara negatif yang lain.
Matlamatnya adalah untuk menyedarkan masyarakat Kristian khasnya serta
penganut agama lain umumnya, mengenai Islam sebagai agama yang mengasihi
manusia yang lain serta bersifat kemanusiaan.
Maher Y. Abu Munshar dalam bukunya Islamic Jerusalem and Its
Christians mengulas bahawa dalam menentukan bentuk layananterhadap
masyarakat Kristian, Salahuddin telah membuat pembahagian kepada dua
kelompok utama.
Pertama, pihak Tentera Salib yang telah membuat pelbagai kekejaman
ke atas masyarakat Arab serta Yahudi. Kedua, penduduk peribumi Kristian
di Palestin yang terdiri daripada kaum Arab dan bukan Arab yang
mengikut aliran gereja Greek Ortodoks.
Selaku penduduk peribumi Palestin, mereka meminta hak untuk terus
mendiami bumi Palestin. Namun, Salahuddin telah mengenakan syarat supaya
mereka membayar wang tebusan diri dulu kemudian barulah dibenarkan
untuk tinggal di Palestin dengan menerima pemerintahan Islam serta
dikehendaki membayar jizyah.
Secara umum, sistem jizyah diwujudkan sebagai pulangan kepada
keamanan dan perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Muslim.
Sehubungan itu, sistem jizyah bukan satu bebanan kepada bukan Muslim,
malah merupakan satu keringanan yang besar berbanding sistem cukai yang
dilaksanakan oleh pemerintahan Rom Timur sebelumnya. Walaupun demikian,
golongan yang tidak berkemampuan diberi pertimbangan dan mereka boleh
dibebaskan tanpa syarat. Justeru, masyarakat bukan Islam, seperti
Kristian Ortodoks dan sebagainya, yang mahu tinggal di bawah
pemerintahan Islam terus dibiarkan kekal mendiami bumi Palestin. Mereka
diberikan ruang pilihan yang bebas untuk mengamalkan ritual keagamaan
masing-masing yang selama ini telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan mereka.
Cerminan akhlak mulia Salahuddin itu dapat dibuktikan lagi dengan
layanannya terhadap masyarakat Kristian yang telah menebus diri mereka
untuk bebas. Ini berlaku apabila beliau telah membekalkan sejumlah wang
serta haiwan tunggangan setelah melihat para tebusan membawa ibu bapa
dan tetangga mereka yang sudah berumur. Salahuddin juga memerintahkan
tenteranya supaya mengiringi mereka bagi memastikan mereka ini selamat
tiba ke destinasi yang diingini. Dalam hal ini, Geoffrey Regan
mengatakan bahawa,
Para pekerja Salahuddin yang tidak mampu melihat penderitaan para
pelarian itu telah meminta para pekerja yang lain turun dari haiwan
tunggangan, lantas menetapkan bahawa rombongan Kristian yang sudah
berumur supayamenaiki tunggangan mereka, malah tentera Salahuddin
sendiri yang memegang anak-anak Kristian dengan tangan mereka.
Ibn al-Athīr dan al-Iṣfahānī adalah dua daripada ahli sejarah yang
merekodkan sikap ramah serta belas kasihan Salahuddin terhadap
perempuan yang mulia, dengan membenarkan mereka meninggalkan Palestin
tanpa sebarang wang tebusan.
Sebagai contoh, Permaisuri Sybil, seorang permaisuri Byzantine,
yang telah menjadi ahli agama dan menubuhkan sebuah tempat peribadatan
dan mempunyai ramai pengikut di bawahnya, telah diberikan jaminan
keselamatan oleh Salahuddin. Bahkan permintaannya untuk meninggalkan
tempat tersebut bersama para pengikutnya telah diterima oleh Salahuddun
dengan belas kasihannya tanpa sebarang syarat. Malah, beliau telah
membawa Permaisuri Sybil bertemu dengan suaminya yang dipenjarakan di
Nablus dan membenarkannya berada di sisi suaminya.
Runciman dalam bukunya A History of the Crusades menyatakan bahawa
ramai daripada kaum perempuan Kristian yang menebus diri mereka datang
menghadap Salahuddin sebelum mereka keluar meninggalkan kota tersebut
dalam keadaan dukacita. Ada di antara mereka berkata,
Wahai Sultan, sebagaimana kamu lihat, kami akan pergi meninggalkan
tempat ini sekarang. Kami sebagai para isteri, ibu-ibu, anak-anak
perempuan kepada para tahanan. Kami akan meninggalkan tempat ini
selama-lamanya dan meninggalkan para tahanan yang menjadi pelindung
kepada kami. Jika kamu membunuh mereka, kehidupan kami akan musnah. Jika
kamu membebaskan mereka, kamu telah mengurangkan kesakitan dan
kesusahan kami kerana kami tidak dapat hidup tanpa adanya penjaga.
Mendengar masalah tersebut, Salahuddin bertindak membebaskan anak
remaja kepada ibunya, suami kepada isterinya dan bapa kepada anaknya.
Malah mereka diberikan sejumlah wang daripada perbendaharaan sesuai
dengan keperluan mereka. Sementara, para tahanan yang masih berbaki pula
dijamin oleh beliau bahawa mereka akan dilayan sebaik mungkin dan penuh
belas kasihan. Menurut Runciman, layanan Salahuddin kepada masyarakat
Kristianbegitu bertentangan dengan perbuatan Tentera Salib semasa
penaklukan Perang Salib Pertama.
Selain itu, ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya Salah al- Din
al-Ayyubi (Saladin), turut menyatakan pendapat daripada William B.
Stevenson bahawa ramai daripada masyarakat Kristian yang meninggalkan
Palestin tanpa membayar terlebih dahulu wang tebusan. Pendapat ini turut
disokong oleh Stanley Lane Poole yang turut menyatakan hal yang sama,
bahkan menyatakan bahawa Salahuddin membenarkan para pendeta dan
masyarakat Kristian yang berharta membawa bersama-sama harta peribadi
ketika meninggalkan Palestin. Al-Iṣfahānī menyatakan bahawa Heraclius
dan para paderinya dikatakan meninggalkan kota tersebut dengan perhiasan
emas dan perak yang penuh sarat, selain daripada satu gerabak perhiasan
dan barang-barang berharga daripada Gereja Suci Sepulchre. Sebaliknya,
orang Muslim akan membeli barangan yang mereka tidak ingini. Jelas di
sini bahawa Salahuddin tidak membenarkan Muslim yang lain melanggar hak
asasi manusia dengan cara tidak membenarkan mereka merampas barangan hak
milik peribadi bukan Muslim, namun dikehendaki membelinya sekiranya
berkeinginan.
Di samping itu, permintaan saudaranya, al-Mālik al-‘Ādil supaya
membebaskan 1,000 orang masyarakat Kristian yang terdiri daripada
orang-orang yang kurang upaya serta miskin turut dipenuhi oleh
Salahuddin. Bahkan, beliau bukan sekadar membebaskan sejumlah 1,000
orang, tetapi sebanyak 10,000 orang kesemuanya, termasuk tahanan yang
sudah berusia. Tindakan ini jelas menggambarkan sikap dan layanan
baiknya terhadap masyarakat Kristian.
Apabila diamati dari sudut keagamaan, kelihatannya Salahuddin
mengamalkan toleransi yang tinggi terhadap masyarakat Kristian. Beliau
sesekali tidak menghalang penganut Kristian daripada melaksanakan ritual
keagamaan mereka, bahkan tidak mengubah aspek demografi mereka. Atas
fakta ini, Karen Amstrongberpendapat bahawa,
“Islam tidak berusaha untuk membina masjid di mana-mana bahagian Kristian di Baitulmuqaddis.”
Dapat dilihat di sini bahawa pemerintah Islam sesekali tidak masuk
campur dalam hal keagamaan orang yang bukan beragama Islam. Di bawah
pemerintahan Islam jugalah menyaksikan penganut Kristian terus melakukan
penziarahan tempat suci mereka di Palestin. John Wilkinson menguatkan
lagi pandangan ini apabila beliau mengatakan bahawa ziarah orang-orang
Kristian ke Baitulmuqaddis pada waktu tersebut “tidak terganggu.”
Bahkan, gereja atau sinagoga iaitu rumah ibadat penganut Yahudi terus
kekal terpelihara. Dengan kata lain, tempat peribadatan mereka dijamin
tidak akan dicerobohi.
Keadaan ini telah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang tidak berusaha untuk menghentikan hak penganut bukan Islam.
Semasa berlaku pengepungan ke atas Acre, seorang ibu daripada
Tentera Salib mengadu kehilangan anaknya apabila seorang Muslim
dikatakan memasuki khemahnya dan menculik anaknya yang berusia 3 bulan.
Kemudian, beliau mengambil keputusan berjumpa dengan Salahuddin atas
saranan daripada putera raja yang menyatakan bahawa Salahuddin
sememangnya memiliki hati budi yang baik. Beliau berkata, “Pergi dan
beliau akan membawa anak kamu kembali.”
Mendengar aduan perempuan Kristian tersebut, Salahuddin
memerintahkan agar anaknya segera dicari. Akhirnya setelah pencarian
dilakukan, didapati anak kecil tersebut telah dijual di pasar. Justeru,
Salahuddin memerintahkan supaya sejumlah wang diberikan kepada pembeli
terbabit agar anak tersebut dapat diserahkan kembali kepada ibunya.
Salahuddin dikatakan tidak berganjak selagi anak tersebut tidak dibawa
kepada ibunya. Setelah bayi tersebut diserahkan kembali kepada ibunya,
perempuan Kristian itu berdoa, lalu dibawa pulang ke khemahnya dengan
menaiki kuda. Berdasarkan kisah ini, dapatlah dikatakan bahawa
Salahuddin sememangnya seorang kesateria yangmemiliki hati yang begitu
baik dan mengambil berat terhadap segala masalah rakyatnya, sekalipun
dia itu seorang yang beragama Kristian.
Hubungan antara Muslim dan Kristian jelas kelihatan setelah
berlakunya Perang Salib Ketiga (1189-1892). Kejatuhan Palestin ke tangan
umat Islam membuatkan penganut Kristian tidak berpuas hati kerana bagi
mereka, Palestin adalah hak milik mereka yang tidak boleh dikongsi sama
sekali dengan umat agama lain seperti yang telah dijelaskan di atas.
Walaupun Raja Richard memenangi sebahagian daripada wilayah di Palestin,
namun beliau gagal mendapatkan kembali kota Baitulmuqaddis. Kemuncak
peperangan ini akhirnya berakhir dengan Perjanjian Damai Ramallah yang
ditandatangani pada 2 September 1192. Perjanjian tersebut secara tidak
langsung menandakan berlakunya komunikasi antara dua pemimpin. Namun
demikian, perjanjian tersebut terpaksa ditangguhkan buat seketika kerana
Raja Richard telah jatuh sakit secara tiba-tiba.
Secara tersiratnya, terdapat perilaku yang mulia oleh Salahuddin
terhadap musuhnya yang beragama Kristian iaitu Raja Richard apabila
beliau telah memberikan layanan baik yang semaksimum mungkin kepada Raja
Richard setelah mengetahui musuhnya itu jatuh sakit ketika di Jaffa.
Raja Richard telah mendapat bantuan perubatan dan sekaligus mendapat
makanan yang diidamkannya daripada Salahuddin. Kesinambungan daripada
peristiwa terbabit, ternyata budi pekerti Salahuddin telah memberi kesan
yang mendalam kepada Raja Richard sehingga beliau berkata kepada salah
seorang pengikut Salahuddin,
Tolong sampaikan salamku kepada sultan dan katakan kepadanya,
“Demi Tuhan! hendaklah dia mengabulkan permintaanku untuk berdamai
kerana semua ini harus segera berakhir. Negeriku di seberang lautan
sudah hancur. Justeru,peperangan ini sesekali tidak akan mendatangkan
kebaikan, baik untuk kami, mahupun untuk kalian!”
Berdasarkan kepada pernyataan Raja Richard tersebut dapat difahami
bahawa layanan baik Salahuddin terhadap musuhnya telah menguatkan lagi
tekad musuhnya untuk berdamai seperti yang telah dinyatakan di atas.
Menariknya, selepas sahaja perjanjian tersebut ditandatangani kedua belah pihak, Salahuddin telah membuat satu pengisytiharan,
Dengar semua! Keamanan telah diatur. Sesiapa dari tempatnya
berhasrat untuk mengunjungi tempat kami, maka dia boleh berbuat
demikian. Barang siapa dari tempat kami berkeinginan mahu mengunjungi
tempat kalian, maka kami boleh melakukannya juga. Laluan rombongan
ziarah dari Syria juga telah dibuka sekarang.
Daripada jaminan keamanan tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa
penganut Kristian terus diberi kebebasan oleh Salahuddin, iaitu dalam
bentuk kebebasan untuk bergerak sebebas kaum Muslim. Salahuddin sendiri
telah menghulurkan bantuan dalam bentuk pengawalan untuk mengawal para
rombongan ziarah sehingga mereka kembali semula ke Jaffa, bahkan
memerintahkan tenteranya supaya menyediakan makanan dan melayani mereka
dengan penuh kebaikan.
Di samping itu, masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga
mempunyai hak untuk memiliki rumah, kedai dan tanah. Pintu turut terbuka
untuk orang Kristian memasuki lapangan pekerjaan tanpa sebarang bentuk
diskriminasi. Matlamat daripada tindakan Salahuddin tersebut, tidak lain
dan tidak bukan, adalah semata-mata bagi menjaga keamanan bumi Palestin
kerana ia bukan sahaja hak milik umat Islam, namun dikongsi bersama
antara dua lagi kepercayaan yang lain iaitu Kristian dan Yahudi. Seperti
yang telah ditegaskan oleh Salahuddin dalam sesi perundingan bersama
orang-orang yang terkemuka ketika membincangkan usaha-usaha perdamaian
di antara dua pihak,
Palestin [Islamicjerusalem] adalah milik kami, sama juga milik
kamu. Bagi kami, ia lebih bermakna berbanding kamu kerana di sana Nabi
kami melakukan Israk Mikraj. Janganlah berharap bahawa kami akan
menyerahkan tempat ini kepada kamu. Penaklukan ke atasnya suatu ketika
dahulu adalah suatu perkara yang tidak terduga, berpunca daripada
kelemahan umat Islam ketika itu...”
Perjanjian perdamaian ini juga dapatlah dikatakan sebagai tanda
pengiktirafan Raja Richard kepada keseluruhan kepimpinan dan kedaulatan
Salahuddin. Justeru seiring dengan perjanjian damai tersebut, Raja
Richard telah menyerahkan anak saudara lelakinya untuk dijaga oleh
Salahuddin. Beliau juga menaruh kepercayaan yang cukup tinggi terhadap
Salahuddin bagi menjaga gereja di Palestin, lantaran keyakinannya yang
cukup tinggi bahawa Salahuddin adalah seorang yang berpegang teguh
terhadap perjanjian yang telah dimeterai.
Jelas, penganut Kristian di Palestin sememangnya berada dalam
keadaan yang selesa semasa di bawah pemerintahan Salahuddin. Pembukaan
kembali Palestin oleh Muslim di bawah Salahuddin ini telah
memperlihatkan satu dimensi baru yang menyegarkan apabila layanan
istimewa dalam segenap aspek tidak hanya terhenti sekadar umat Islam
sahaja, malah termasuk kalangan yang bukan Islam. Ia seperti yang pernah
dilakukan oleh Umar al-Khattab yang pernah memberi jaminan keselamatan
kepada golongan bukan Islam di Islamicjerusalem. Oleh itu, pendapat yang
diutarakan oleh Stanley Lane Poole harus disokong kerana ada kewajaran
dalam pendapat beliau yang memuji Salahuddin. Pandangan beliau adalah
berdasarkan kepada layanan Salahuddin terhadap masyarakat Kristian
seperti dibincangkan di atas. Menurutnya,
Rahsia di sebalik kehebatan Salahuddin terpancar pada kecintaan
rakyatnya. Sedangkan pihak lain cuba menggapainya dengan
menakut-nakutkan, melalui kekerasan dan kedudukan, beliau menyempurnakan
hasratnya dengan kebaikan.
Seharusnya, nasihat Salahuddin kepada anaknya mengenai sumber
kekuatan yang terdapat pada diri beliau, harus dijadikan pegangan oleh
pemerintah Muslim era kini mahupun akan datang. Ini terutama dalam misi
menubuhkan sebuah kerajaan dan pemerintahan yang benar-benar berdaulat
dan diterima ramai. Kata Salahuddin,
Cuba memenangi hati rakyat, dan meneliti kemakmuran mereka,
lantaran itu menjamin kegembiraan mereka... Saya menjadi hebat seumpama
ini kerana saya telah berjaya memenangi hati rakyat dengan kelembutan
dan kebaikan.”
Oleh yang demikian, sikap yang ditunjukkan oleh Salahuddin
terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam, terutamanya masyarakat
Kristian, boleh digambarkan sebagai suatu tindakan yang matang. Ia
sekaligus menjadi faktor wujudnya keamanan di Palestin pada waktu
tersebut seperti yang telah digambarkan di atas.
Kesimpulan:
Salahuddin al-Ayubi telah memberi ruang yang terbuka kepada
golongan Kristian dan jaminan keselamatan kepada mereka. Jelas, ia
menunjukkan bahawa kewujudan pelbagai latar agama di kalangan rakyat
tidak menjadi penghalang kepada pemerintahan Islam untuk membangunkan
wilayahnya. Golongan Kristian di Islamicjerusalem dan kota
Baitulmuqaddis telah mendapat layanan yang baik dari seorang pemimpin
Muslim yang telah berjaya membebaskan wilayah tersebut buat kali yang
kedua. Keadilan yang diberikan itu sungguh berharga dalam hal hubungan
antara Muslim dan Kristian. Keadilan harus mewarnai kehidupan seharian,
tanpa mengira agama dan bangsa. Justeru, dalam hal ini, Salahuddin
sesekali tidak mengamalkan dasar mengecualikan orang lain, namun
menangani mereka dengan keadilan. Ini patut menjadi contoh teladan
kepada pemimpin, ilmuwan dan masyarakat Islam seluruhnya.
(via Mr. Reader)
No comments:
Post a Comment