A. Faizal Rahman ,
|
10 Mei 2013
|
‘Tsunami Cina’ dan tindak balas susulan
Kemerosotan
sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13
amatlah ketara. Di bandar-bandar besar, sokongan mereka merosot serendah
10%. Akibatnya, walaupun berjaya mengekalkan kuasa di peringkat pusat,
prestasi BN kali ini lebih teruk dari prestasi terburuknya sebelum ini
(2008). Jika pencapaian buruk PRU12 dijelaskan dengan ‘tsunami politik’,
kemerosotan pencapaian BN PRU-13 dikaitkan dengan ‘tsunami Cina’.
Biarpun
ungkapan ‘tsunami Cina’ benar dari segi statistik, olahan media perdana
bersifat reaktif dan emosional. Ungkapan tersebut diolah bagi
menegaskan rasa kecewa terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong
BN. Contohnya, tajuk-tajuk utama akhbar harian seperti , ‘Apa lagi Cina
mahu?’, dan juga berita television yang dipenuhi dengan luahan kecewa
pemimpin BN kepada masyarakat Cina.
Selaku kerajaan, tindakan
menyalahkan segmen masyarakat yang tidak memberikan kemenangan yang
diingini, menonjolkan ketidakmatangan kepimpinan (apatah lagi jika
disusuli dengan penindasan seperti yang dilakukan kepada rakyat Kelantan
selama ini). Ia juga menyerlahkan hipokrasi slogan 1Malaysia. Adakah
polisi ‘segalanya’ 1Malaysia itu hanya untuk meraih undi? Dan, tidakkah
ia hipokrit apabila undi yang diraih tidak ’1Malaysia’, semangat
1Malaysia yang dilaung-laungkan hilang entah ke mana?
Pengolahan
ungkapan ‘tsunami Cina’ juga bersifat provokatif. Ia membakar sentimen
perkauman; menakut-nakutkan masyarakat Cina dan menaikkan kemarahan
masyarakat Melayu. Bukankah ini tindakan provokasi yang mengancam
ketenteraman awam? Bukankah kerajaan BN dahulu yang memberi jaminan
keamaan semasa dan selepas proses pilihan raya?
Pelik jika
diteliti perilaku pemimpin-pemimpun BN. Sikap mereka dilihat sama-sekali
tidak konsisten, sebelum dan selepas PRU. Puncanya – tidak lain, tidak
bukan, hanyalah kerana sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalan penjajah
yang diwarisi dan diguna pakai kerajaan selama ini, hampir-hampir
digagalkan pada PRU13.
Persepsi salah mengenai aktivis Cina
Penulis
berpeluang berkerjasama dengan aktivis-aktivis Cina sepanjang tempoh
kempen PRU-13. Apa yang penulis saksikan, pergerakan aktivis Cina ini
cukup berbeza dari persepsi orang Melayu tentang mereka.
Dari
sudut demografi, aktivis Cina ini adalah dari golongan pertengahan dan
majoritinya dari golongan muda. Mereka terdiri daripada pemilik
perniagaan kecil seperti pengusaha kedai komputer dan butik pakaian, dan
juga mahasiswa. Mereka adalah golongan majoriti Cina yang rata-rata
berfikiran sederhana dan tradisional. Mereka bertutur dalam bahasa Cina
sesama sendiri, tetapi memilih untuk menggunakan bahasa Melayu apabila
bergaul dengan orang Melayu.
Mereka bukanlah tauke-tauke
kapitalis yang licik menipu orang Melayu. Perlakuan dan karakter mereka
tidak ubah seperti mana-mana kelas pertengahan; tidak kiralah orang
Melayu, atau orang putih, mahupun orang Afrika – ‘simple-minded’, rajin
bekerja dan suka berjenaka. Walaupun penguasaan bahasa Melayu mereka
ditahap sederhana sesetengahnya (selaku rakyat Malaysia), usaha bertutur
dalam bahasa Melayu, lebih-lebih lagi golongan muda, boleh diberi
pujian. Yang pastinya, mereka bukanlah golongan Cina yang berbahasa
Inggeris pelat Cina.
Dasar perjuangan mereka bersifat sejagat -
menegakkan keadilan, kebebasan bersuara, menentang kezaliman dan
menyokong usaha meningkatkan kualiti kehidupan. Mereka tidak berhajat
mengambil alih tampuk kepimpinan negara atau ingin menjadikan negara
ini, negara komunis. Besar kemungkinan, falsafah komunisme itu pun
mereka tidak tahu. Mereka menghormati konsep demokrasi raja
berpelembagaan dan tidak berhajat untuk menukarkan negara ini kepada
negara republik seperti Singapura. Melalui pengamatan penulis, tiada
bau-bau fahaman komunis ataupun republikan dalam kalangan mereka.
Persamaan
status ekonomi, karakter dan dasar perjuangan membuatkan aktivis Cina
ini diterima baik oleh kelompok-kelompok pro-perubahan kaum-kaum lain,
terutamanya Melayu. Solidariti antara dua kaum terbesar ini cukup sihat,
bukan sahaja pada peringkat kepimpinan, malah di peringkat akar umbi.
Jika dahulu ceramah-ceramah politik tertumpu kepada kaum-kaum tertentu,
kini ceramah-ceramah politik melibatkan penyertaan pelbagai kaum.
Isu-isu yang dibincangkan merentasi sempadan perkauman dan bersifat
sejagat, tidak hanya menyentuh hal-hal perkauman yang sempit. Kini,
bukanlah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina berpelukan dengan
seorang Tok Guru, dan seorang lebai makan semeja dengan amoi Cina.
Perpaduan
antara kaum inilah yang hampir-hampir meranapkan sistem ‘pecah dan
perintah’ yang selama ini diguna pakai BN untuk mengekalkan kuasa.
Pecah dan perintah
Hampir
seluruh rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan menengah (sekolah
menengah) memahami konsep ‘pecah dan perintah’ penjajah British. Ramai
juga kalangan masyarakat yang sedar akan penggunaan dasar yang sama oleh
kerajaan BN selama ini. Banyak penulisan dan komentari yang menerangkan
bagaimana kerajaan memecahbelahkan masyarakat dengan isu-isu perkauman
untuk kekal berkuasa, hinggakan pakcik-pakcik di kedai kopi mampu
membuat analisa tepat mengenai pendekatan tersebut. Namun, disebabkan
serangan sentimen agama dan perkauman yang bertalu-talu menjelang PRU13
yang lepas, ahli-ahli fikir dan masyarakat keseluruhannya, bagaikan leka
dengan apa yang dilakukan kerajaan. Secara terang-terangan kerajaan
sekali lagi, tanpa sebarang pengubahsuaian, menggunakan pedekatan ‘pecah
dan perintah’. Oleh itu, ada baiknya kita mengulang kaji secara ringkas
konsep ini.
Semasa menjajah Tanah Melayu, British memecahkan
kosentrasi kuasa politik dan ekonomi penduduk Tanah Melayu mengikut
kaum. Raja-raja dijadikan simbol dan kuasa mereka dibataskan kepada adat
istiadat dan hal ehwal agama. Orang Melayu dibiarkan menjalani
kehidupan tradisional di kampung-kampung. Kaum-kaum pendatang Cina
dikerah berkerja di lombong-lombong bijih timah, India di estet-estet
ataupun pegawai kerajaan, dan Nepal (Gurkha) sebagai pegawai
keselamatan. Kaum peniaga Cina ditempatkan di bandar-bandar untuk
menjalankan kegiatan ekonomi. Masyarakat dipecah-pecahkan supaya
konsentrasi kuasa politik dan ekonomi berpecah kepada poket-poket kecil
mengikut kaum. Oleh sebab kuasa politik dan ekonomi tidak lagi tertumpu,
upaya dan sumber untuk menentang penjajahan dilemahkan. Ini memudahkan
pihak penjajah memerintah dan mengaut segala hasil negara. Inilah ‘pecah
dan perintah’ ala British.
Setelah Merdeka, perpecahan
masyarakat dibiarkan pemerintah negara yang mewarisi kuasa dari British.
Pegawai tadbir Melayu asuhan British mewarisi kuasa politik dan
kapitalis Cina menguasai ekonomi. Mereka membentuk golongan elit negara.
Hubungan antara mereka amatlah erat. Bagi mengekalkan kuasa dan
kekayaan dikalangan kelompok mereka, dasar ‘pecah dan perintah’
penjajah, bukan sahaja dibiarkan berterusan, tetapi disuburkan lagi,
hingga ke hari ini. Apabila rakyat berpecah-pecah, tumpuan bagi
menidakkan pembolotan kekayaan negara (oleh golongan elit) dilemahkan.
Bagi memecah-belahkan rakyat, sentimen perkauman disemat kepada
pemikiran rakyat biasa. Cina akan digambarkan sebagai ‘penipu’,
‘perompak hak Melayu’, ‘komunis’, ‘cuba memurtadkan Melayu’ oleh
pemimpin Melayu kepada bangsanya. Manakala, Melayu digambarkan sebagai
‘malas’, ‘ekstrem beragama’, ‘ingin potong tangan’ dan ‘rogol wanita
Cina yang tidak menutup aurat’ oleh pemimpin Cina kepada bangsanya.
Tidak hairanlah jika kelas pertengahan dan bawahan Melayu dan Cina
saling curiga-mencurigai dan tidak pernah bersatu (hinggalah baru-baru
ini). Ini memudahkan golongan elit membolot kekayaan negara. Ini semua
‘pecah dan perintah’ ala BN. Dulu British, kini BN.
Walau
bagaimanpun, strategi ini sudah basi. Masyarakat dari golongan
pertengahan, terutamanya masyarakat Cina sudah celik. Kesedaran
masyarakat dijelmakan dalam trend mengundi yang beralih kepada Pakatan
Rakyat (PR). Pemimpin BN yang hanya tahu memerintah dengan kaedah ‘pecah
dan perintah’ mula terdesak. Hasilnya – reaksi tidak bertanggungjawab
seperti yang dibincangkan di awal penulisan.
Kedudukan Islam
Masyarakat
Cina bangkit sejak 2008 lagi. Kebangkitan mereka bersebab, bukannya
secara tiba-tiba atau spontan. Mereka merasakan yang mereka dizalimi,
suara mereka tidak didengari dan kehidupan mereka semakin menekan.
Sebagai
kaum Muslimin, pendekatan Islamik adalah dengan menjadi pembela kepada
golongan yang merasakan diri mereka teraniaya. Renungkan penyebaran
Islam di zaman sahabat. Mereka menakluki wilayah dari Parsi hingga ke
Mesir. Ini dikecapi dalam tempoh satu generasi sahaja. Asas perjuangan
mereka bukanlah bermotifkan politik, emperialisme ataupun ekonomi,
tetapi untuk membebaskan penduduk setempat dari kezaliman Kisra Parsi
dan Maharaja Rom dan menegakkan keadilan Islam. Inilah konsep dakwah
yang paling efektif – menegakkan keadilan. Kita, selaku Muslimin, harus
mencontohi para sahabat – dalam konteks negara ini; membela nasib orang
Melayu, Cina, India, Bangla dan sesiapa sahaja yang dizalimi, ‘tanpa
mengira bulu’. Manakala, prejudis dan penindasan terhadap masyarakat
bukan Melayu sama-sekali tidak Islamik dan counter-productive kepada
penyebaran Islam.
Malangnya, pertubuhan-pertubuhan yang
menonjolkan diri sebagai pembela agama seperti Perkasa, ISMA (Ikatan
Muslimin Malaysia) dan Jati (NGO Hassan Ali) dilihat keliru dan gagal
menghayati konsep Islam ini. Mereka masih terjerat dalam permainan
‘pecah dan perintah’ kerajaan. Secara sedar atau tidak, mereka menjadi
ejen atau ‘tali barut’ kerajaan dalam menakut-nakutkan umat Islam yang
susah dan miskin. Kata pertubuhan-pertubuhan ini, ‘Cina akan mengambil
alih kerajaan’, ‘negara ini akan menjadi negara Kristian’ dan
sebagainya. Racun-racun pemikiran begini membuatkan umat Islam yang
mundur terus mundur dan ketakutan, curiga terhadap perubahan dan
prejudis terhadap kaum lain. Kesannya, orang-orang kampung, golongan
miskin dan tua mengundi secara defensif kepada BN, walhal, merekalah
golongan yang paling beruntung jika perubahan berjaya dilakukan pada
PRU-13. Usaha untuk meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ secara mutlak
terbantut – semuanya angkara kebodohan dan kemunafikkan
pertubuhan-pertubuhan ‘pembela agama’ tersebut.
Projeksi
Arus
perubahan ini tidak boleh disekat lagi. Masyarakat Cina sudah bangkit
secara total. Masyarakat Melayu (Islam) pula tidak mungkin diperbodohkan
selama-lamanya. Sedikit masa lagi akan sedarlah orang Melayu
keseluruhannya. PRU14 mungkin melihatkan penolakkan mutlak rakyat kepada
BN, jika isu-isu perkauman dan agama terus dipermainkan.
Jadi,
bagi pemimpin BN – usahlah marah kepada rakyat yang sudah muak dengan
sistem ‘pecah dan perintah’ itu. Tidak perlu menuding jari kepada
masyarakat Cina atau Melayu yang tidak menyokong BN. Bertindaklah secara
waras dan pimpinlah secara ikhlas. Buang sahaja slogan-slogan hiprokrit
1Malaysia dan Transformasi itu dan ini. Transformasi yang lebih utama
adalah transformasi pendekatan pemerintahan kepada yang adil dan
saksama. Jika ia terlalu sukar, ada baiknya di-’tranformasikan’ sahaja
tompok kepimpinan BN. Jika tidak juga, rakyat pasti akan menolak BN
secara mutlak di PRU akan datang. Ketika itu, rakyat akan menyambut
kemenangan mereka sebagai ‘Merdeka semula’, dan BN akan disamakan dengan
penjajah – perompak khazanah negara, didalam catatan sejarah.